“Debat Perdana malam ini merupakan satu-satunya cara Kluster Mahkamah boleh meyakinkan Anwar bahawa mereka sanggup memberi peluang yang tidak mampu diberikan oleh Ismail Sabri atau Perikatan Nasional, iaitu peluang bagi Anwar membuktikan bahawa beliau lebih layak menerajui kerajaan berbanding Najib”
Raggie Jessy Rithaudeen
ديبت نجيب-انور بوليه تنتوكن چالون ڤي عيم، تڤي عيم جك قلوستر محكمه، كم انور ستوجو تومبڠكن اسماعيل صبري
Pada 20hb April 2022, saya menulis:
Tahukah anda kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba terbuka untuk berunding dengan semua pihak, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri?
Cuba selidik tiga senario berikut:
SENARIO 2
Senario 2 hampir sama dengan senario 1, cuma bezanya, kem Anwar memasuki perjanjian rahsia ke arah kerjasama politik bersama Kluster Mahkamah, bukannya PPBM.
Kluster Mahkamah kemudian bertindak menarik sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri, dan Yang Di-Pertuan Agong bersetuju menerima akuan-akuan bersumpah daripada Kluster Mahkamah dan ahli-ahli parlimen UMNO yang menyokong Kluster Mahkamah sebagai bukti Ismail Sabri hilang majoriti.
Seri Paduka Baginda Tuanku kemudian berjumpa dengan semua MP untuk mengesahkan siapa yang mendapat sokongan majoriti.
Berdasarkan perjanjian yang dicapai antara kem Anwar dan Kluster Mahkamah, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi Perdana Menteri ke-10, manakala Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri sehingga Julai 2023.
DAP kemudiannya boleh memberi pelbagai alasan, termasuk alasan yang diberikannya ketika menandatangani MoU bersama kerajaan, iaitu ‘sokongan’ terhadap Najib hanya “sementara” dan “demi kestabilan politik tanah air.
KLIK LINK INI UNTUK MENELITI DUA LAGI SENARIO
Malam ini, Najib dan Anwar akan bertembung dalam Debat Perdana yang kononnya bertujuan mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara, termasuk persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Sebenarnya, kita sudah lama tahu bahawa kem Anwar dan Kluster Mahkamah mengadakan pelbagai perbincangan ke arah pembentukan jajaran politik baharu, samada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Malah, sebelum ini, apabila Zahid gagal mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen UMNO terhadap pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, beliau mengutus surat secara rahsia kepada pihak Istana Negara.
Dalam surat itu, Zahid menipu pihak Istana Negara dan Yang Di-Pertuan Agong kononnya seluruh UMNO menyokong pencalonan Anwar.
Surat berkenaan disokong secara bertulis oleh Najib, dan dihantar tidak sampai 48 jam selepas Zahid berjumpa dengan Muhyiddin di kediamannya untuk menjanjikan sokongan padu UMNO terhadap kepimpinannya.
Namun, apabila Zahid mendapat pengesahan beberapa ahli parlimen bahawa mereka bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin, Zahid tiba-tiba membuat pusingan-U dan memberikan sokongan padu terhadap pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Inilah Zahid Hamidi – beliau boleh berubah pendirian pada bila-bila masa dan memungkiri janji kepada siapa sahaja.
Kini, Zahid tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Ismail Sabri dan ingin parlimen dibubarkan secepat mungkin, agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan dan Kluster Mahkamah dapat menguasai semula tampuk kepimpinan negara.
Jadi, jangan terkejut jika Anwar dan Zahid tiba-tiba kembali berunding ke arah pembentukkan jajaran politik baharu, dan jangan terkejut jika Kluster Mahkamah bertindak menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dalam masa terdekat.
Zahid dan Najib amat terdesak kerana Ismail Sabri tidak bersetuju mengusulkan pembubaran parlimen, barangkali kerana beliau tidak diberikan kata putus, dalam bentuk hitam putih, bahawa beliau akan menjadi calon tunggal perdana menteri sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
Kluster Mahkamah tahu bahawa Anwar kini mempunyai pilihan untuk memasuki perjanjian samada dengan Ismail Sabri atau Perikatan Nasional, berdasarkan tiga senario yang pernah saya bincangkan (rujuk link di atas atau klik di sini).
Justeru, debat Perdana malam ini merupakan satu-satunya cara Kluster Mahkamah boleh meyakinkan Anwar bahawa mereka sanggup memberi peluang yang tidak mampu diberikan oleh Ismail Sabri atau Perikatan Nasional, iaitu peluang bagi Anwar membuktikan bahawa beliau lebih layak menerajui kerajaan berbanding Najib.
Kemudian, kem Anwar dan Kluster Mahkamah boleh sahaja merumuskan siapa lebih layak menjadi calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, andai kata debat ini menjurus kepada satu persetujuan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
WAJIB TONTON:
