Raggie Jessy Rithaudeen
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Tindakan Datuk Seri Ismail Sabri membuat sidang media untuk mengumumkan sokongan 31 ahli parlimen Barisan Nasional terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada gunanya.
Ini kerana UMNO telah menulis dua warkah kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bukti penarikan sokongan 11-12 ahli parlimen dari parti itu terhadap Muhyiddin, termasuk bukti penarikan sokongan tiga individu yang turut dinamakan oleh Ismail Sabri.
Justeru, langkah yang tepat bagi Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri ialah samada menunjukkan bukti sokongan 31 ahli parlimen Barisan Nasional yang dinamakannya itu kepada media atau menulis warkah kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bukti itu.
Ismail Sabri turut perlu menjelaskan kepada media dari mana datangnya sokongan tambahan terhadap Muhyiddin bagi menggantikan defisit sokongan yang dihadapi beliau susulan penarikan sokongan ahli-ahli parlimen UMNO.
Dengan membuat sidang media tanpa mempersembahkan sebarang bukti, Ismail Sabri bukan hanya membuang masa, beliau sedang mengucar kacirkan lagi politik tanah air daripada memberi tumpuan terhadap perang menangani wabak Covid-19.
Amat jelas bahawa tumpuan kerajaan kini semata-mata untuk cuba mengekalkan kuasa dan kedudukan menerusi mesyuarat demi mesyuarat di kediaman Muhyiddin dan di hotel-hotel bagi mempengaruhi lebih ramai ahli parlimen untuk menyokong Muhyiddin.
Jika Muhyiddin tidak ada majoriti, beliau seharusnya meletakkan jawatan secara kehormat untuk memberi laluan kepada Yang Di-Pertuan Agong agar pentadbiran baharu yang lebih bertanggungjawab dapat ditubuhkan dengan segera.
Jika diperhatikan, Istana Negara sehingga kini masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubungan pertemuan antara Muhyiddin dengan Yang Di-Pertuan Agong yang berlangsung Rabu lalu.
Justeru, rakyat Malaysia seharusnya menunggu kenyataan rasmi ini daripada berpandu kepada perutusan Muhyiddin atau sidang media Ismail Sabri kerana kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah terbukti mengelirukan parlimen berhubung titah Yang Di-Pertuan Agong dan terus menerus menderhaka serta mencabar kuasa dan titah Seri Paduka Baginda Tuanku di khalayak umum.
WAJIB BACA:
Muhyiddin melakukan kesalahan jenayah jika tidak buat laporan polis
