TTF: Menjelang PRU-14, pelbagai tohmahan dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Berikut merupakan ulasan oleh seorang bekas ahli DAP berkenaan dakwaan kononnya kerajaan menggunakan 3 taktik bagi memastikan pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14.
****************************************
“Liew Chin Tong, jangan jadi macam budak-budaklah,” kata bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat mengulas dakwaan kerajaan menggunakan 3 taktik bagi memastikan pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Chin Tong dipetik FMT semalam mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar, persempadanan semula kawasan pilihan raya dan penyalahgunaan kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah Putrajaya.
Bercakap kepada Malaysian Digest, Tuan Tat berkata, pilihan raya belum lagi bermula, tetapi kenyataan oleh Chin Tong ibarat pembangkang sudah mengaku kalah.
Beliau kemudiannya membidas setiap satu dakwaan dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kluang itu.
Menjawab dakwaan berkaitan dakwaan Najib mencampuri urusan RoS untuk tidak membenarkan Pakatan Harapan ditubuhkan, Tuan Tat menjelaskan bahawa kesilapan datangnya daripada parti komponen pakatan sendiri iaitu DAP.
Ujarnya, DAP telah melanggar banyak peraturan didalam perlembagaan parti termasuk berkaitan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan perkara tersebut diadukan kepada RoS oleh ahli DAP lantaran tiada keterlibatan Najib dalam isu ini.
“Jika dilihat RoS sangat berlembut dengan DAP dengan tidak membubarkan mereka. Kemudian RoS meminta agar pemilihan CEC diadakan semula”.
Berhubung akta berita palsu, Tuan Tat menegaskan ia sepatutnya disambut baik pembangkang sendiri kerana sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, pastinya akta anti berita palsu boleh digunakan untuk melindungi kerajaan mereka.
“Hanya mereka yang ingin menyebarkan fitnah dan berita palsu sahaja yang tidak mahu undang-undang ini dilaksanakan. Lihat sahaja di Malaysia, berapa banyak berita palsu.
“Terutama dakwaan Malaysia akan bankrap. Macam mana Malaysia nak bankrap kalau rizab negara begitu tinggi. Masa zaman Mahathir dulu sedikit sahaja. Itupun tak bankrap.”
Menyertai DAP selama 18 tahun sebelum melepaskan keahliannya pada 2012, Tuan Tat berkata beliau malu terhadap DAP mempunyai wakil rakyat seperti Chin Tong yang bercakap tanpa menggunakan fakta, sama seperti dakwaan mengatakan proses persempadanan semula ini juga hanya memenangkan BN.
“Jelaskan kepada kita semua kenapa ianya tak baik. Jangan cakap sahaja tanpa fakta sokongan,” tegasnya.
Tambahnya, DAP sebelum ini dengan megah berkata boleh menghapuskan ‘top gun’ dari parti komponen BN – MCA, MIC dan Gerakan – dengan mudah, jadi mengapa perlu risau akan proses persempadanan semula?
Beliau kemudiannya membuat kesimpulan bahawa kenyataan oleh ahli DAP ini sekadar manipulasi pembangkang menjelang PRU14 disamping cubaan untuk meraih simpati rakyat.
Namun, cubaan meraih simpati Chin Tong tidak sehebat simpati ucapan berserta tangisan Penasihat DAP Lim Kit Siang pada 17 April tahun lalu apabila RoS menyatakan bahawa pemilihan CEC tidak sah.
“Chin Tong, anda patut belajar daripada bos anda, kenapa anda tak menangis?
Ingat, Orang ramai terutama masyarakat Cina tidak berhutang apa-apa daripada DAP. Malah, DAP berhutang banyak kepada masyarakat Cina. Ramai orang Cina mengundi mereka.
“Adakah DAP telah menunaikan segala janjinya kepada masyarakat Cina? Segala janji-janji diucapkan oleh pembangkang. Jangan suka-suka nak salahkan kerajaan persekutuan,” Tuan Tat memberi amaran.
Sumber: Malaysian Digest
