Di manakah CAT dalam pengagihan bantuan banjir?

YB Dr Muhamad Farid Saad

Dipenghujung bulan Disember 2017, pihak kerajaan negeri telah mengagihkan wang bantuan banjir melalui program Penang Bangkit. Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM 700.00. Wang tersebut adalah hasil dari sumbangan orang ramai dan juga dari peruntukkan kerajaan negeri.

Saya telah menerima pertanyaan daripada anggota masyarakat dari kawasan Balik Pulau, bertanyakan tentang kriteria yang melayakkan seseorang itu menerima wang bantuan banjir tersebut. Saya jawap,” yang rumah mereka mengalami banjirlah”, kata saya dengan yakin. Mereka minta penjelasan bagaimana boleh yang tidak terkena dan terkesan banjir juga boleh dapat bantuan banjir. Bahkan ada yang satu rumah, terdapat lebih daripada seorang yang dapat. Saya hairan dan pelik. Saya katakan yang itu adalah program kerajaan negeri dan saya tidak terlibat. Namun begitu, disebabkan ramai yang bertanya, maka saya ingin bertanya kerajaan negeri, berapakah jumlah sumbangan orang ramai dan berapa pula jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk pemberian kepada mangsa banjir. Berapakah jumlah penerima. Apakah kriteria penerima. Bolehkah dalam satu rumah, yang mendapat lebih satu orang.

Adalah amat malang, jika sekiranya pihak yang diamanahkan dan dipertanggungjawapkan untuk mendapatkan nama dan memberi kelulusan telah menyalahgunakan kuasa dengan memberikan kelulusan kepada diri sendiri. Adalah tidak patut jika didalam sebuah rumah, terdapat lebih dari satu orang yang mengambil wang bantuan banjir kerana syaratnya setahu saya adalah satu rumah layak menerima satu atau sekali sahaja. Menggunakan wang bantuan banjir untuk menjaga kroni dan mendapatkan sokongan politik juga adalah sesuatu yang amat bercanggah dengan prinsip CAT dan juga tidak amanah dalam tugasan.

Seiring dengan amalan pentadbiran yang telus dibawah CAT, saya berharap mendapat penjelasan tentang perkara ini terutamanya penerima-penerima didalam kawasan Parlimen Balik Pulau.

Adun Pulau Betong

Comments

Comments