
Raggie Jessy Rithaudeen
د مانكه محي الدين يسٓ؟
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Lazimnya, apabila ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada rakyat, beliau samada membuat ‘perutusan rasmi’ tanpa kehadiran wartawan atau kenyataan rasmi secara bertulis kepada media.

Kebanyakkan perutusan dan kenyataan ini menyelit ungkapan “kerajaan prihatin” atau “kerajaan berjiwa rakyat,” seolah-olah segala kebajikan rakyat dipelihara dan tidak ada masalah berbangkit atau salah silap melibatkan kerajaan.
Namun, setiap kali ada perutusan, rakyat akan terus ke media sosial untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak tahan lagi dengan pentadbiran Muhyiddin yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa biarpun negara binasa dan rakyat menderita.
Malah, Muhyiddin dilihat lebih mementingkan kebajikan dan keselesaan menteri dan timbalan menteri, ada diantaranya bongkak dan berlagak seperti mereka berasal dari dunia kayangan dan boleh melakukan atau berkata apa sahaja.
Ini tidak pernah menghalang Muhyiddin untuk terus membuat perutusan atau kenyataan rasmi, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dan semuanya aman, damai dan tenteram dan rakyat gembira dengan pentadbiran kerajaan.
Tetapi lain pula halnya semalam, di mana Muhyiddin mengerahkan setiausaha sulitnya untuk membuat kenyataan media.
Kenyataan yang dibuat agak pelik.
Tiba-tiba sahaja, Muhyiddin seolah-olah sanggup ‘mendengar’ cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak berhubung cara menangani wabak Covid-19.
Malangnya, tidak ada sebarang pengakuan dari setiausaha sulit Muhyiddin berhubung kegagalan kerajaan selama ini atau langkah-langkah yang bakal diambil bagi memperbetulkan keadaan.
Sebaliknya, orang kuat Muhyiddin ini cuba mempertahankan Darurat yang dilaksanakan dengan dakwaan kononnya kerajaan sedang mengurus pandemik, kebajikan dan kehidupan rakyat dengan baik.
Inilah yang memarahkan rakyat, dan tidak ada sepatah pun daripada beribu-ribu perkataan yang diutuskan oleh setiausaha sulit Muhyiddin yang menggambarkan kerajaan insaf dan ingin membawa perubahan.
Malah, beliau tidak berani memaparkan statistik angka Covid-19 selama tempoh Darurat kerana tahu statistik itu akan menunjukkan dengan jelas kegagalan Darurat dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
Seharusnya, setiausaha sulit Muhyiddin menyelitkan bersama data peningkatan luar biasa kadar penggangguran, kadar kematian (bunuh diri), jumlah syarikat yang gulung tikar dan data lain sepanjang tempoh perlaksanaan PKP 1.0, 2.0, 3.0 dan “Total Lockdown” separuh masak.
Data-data ini mampu membuktikan bagaimana sikap kemaruk kuasa kerajaan yang terlalu kyusyuk berpolitik bagi ‘menakluki’ negeri pembangkang hingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri Sabah memudaratkan berjuta-juta rakyat Malaysia.
Rakyat seksa dan sengsara sebab terpaksa menanggung kerugian, beban hutang dan kehilangan pekerjaan akibat perlaksanaan pelbagai bentuk kawalan pergerakan yang tidak ada kesudahannya selama tempoh setahun setengah!
Di manakah Muhyiddin Yassin?
Mengapa beliau yang selama ini tidak gentar membuat perutusan atau kenyataan rasmi tiba-tiba ghaib dan tidak berani berdepan dengan kaca TV bagi menjawab keluhan rakyat?
Apa gunanya Muhyiddin mengerahkan setiausaha sulit beliau untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan sedangkan keluhan rakyat selama ini tidak diendahkan?
Sedarkah Muhyiddin, bahawa rakyat tidak kisah apa jua yang dikatakan olehnya dan hanya inginkan perubahan dalam masa terdekat demi menyelamatkan negara tercinta yang kini berada di ambang kebinasaan?
WAJIB BACA:

