Dirikan tembok kerohanian, elakkan persengketaan sesama umat Islam

GERAKAN BANGSA NASIONAL

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT, dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita menyambut Tahun Baru Hijrah 1441. Te­ma sambutan Maal Hijrah kali ini, iaitu “Menyantuni Umat Membawa Rahmat,” amat mendalam maknanya dan bertepatan dengan Al-Qur’an yang telahpun meletakkan agenda menyantuni ummah dengan penuh kelembutan dan hikmah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 125, maksudnya:


“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Memetik hujah dari terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) karya Hj Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, dakwah, biarlah ia mendekatkan bukan menjarakkan manusia. Apatah lagi bersikap kasar dan mengguris perasaan, ia perlu dielakkan. Dalam pada masa sama, dakwah secara hikmah dan bijaksana boleh didatangkan dalam bentuk pengajaran biasa, nasihat yang baik serta dialog dan perbincangan.

Menurut HJ Mohamad lagi, dakwah boleh difahami sebagai mengajak, memanggil, menjemput, menyeru dan memandu. Secara terperinci, dakwah bermaksud apa juga usaha yang dilakukan dengan pendekatan tertentu untuk mengajak manusia kepada keredhaan Allah SWT. Tugas dakwah adalah tugas mulia yang diwariskan para Rasul. Ia bukan kerja biasa- biasa, tetapi ia kerja luar biasa.

Saudara saudari sekalian,

Biarpun Hijrah dari sudut definisi membawa maksud perpindahan, ianya membawa pengertian yang lebih luas dan menjadi pemisah di antara yang hak dan yang batil. Hijrah tidak harus hanya dirujuk dari sudut material, tetapi menyeluruh meliputi fizikal dan rohani ke arah kehidupan yang lebih baik dan mulia dalam lingku­ngan rahmat dan keredaan ilahi.

Dalam kita menjurus ke arah kebaikan dan kemuliaan, kita harus ambil iktibar daripada kejayaan Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat yang berjaya menyatupadukan dan mempersaudarakan seluruh umat Islam di Madinah, sekaligus membentuk kesatuan ummah yang mantap dan kukuh, yang akhirnya berjaya menubuhkan sebuah negara Islam Madinah yang maju, aman dan makmur.

Justeru, penghijrahan kita harus menyeluruh di mana setiap perwatakan dan tingkah laku kita harus bijaksana dengan ada tatasusilanya, sopan santunnya, nilai peradabannya dan etikanya. Ianya peluang bagi umat Islam merapatkan saf dan menghindari sengketa agar kita sama-sama mampu memantapkan lagi perpaduan dan usaha penyatuan ummah. Malah, kita harus bertindak dari sekarang untuk kembali memperkukuhkan dan memantapkan silaturahim demi membentuk ukhuwah Islamiah yang lebih teguh.

Islam sentiasa ada musuhnya. Umat Allah sentiasa akan diuji oleh musuh Islam ini yang digerakkan Syaitan yang tugasnya menghasut manusia agar umat-Nya mensyirikkan Allah. Sekiranya kita sendiri tidak mampu berhijrah akal dan budi ke arah kebijaksanaan demi memantapkan lagi perpaduan ummah, masakan kita mampu elakkan daripada tersungkurnya suatu peradaban Islam yang ulung ke muka bumi. Jadi ayuh kita tunaikan tuntutan hijrah tahun ini dengan bersatu mendirikan tembok kerohanian yang tidak mampu ditembusi musuh.

Akhir kalam, bersempena dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu “Menyantuni Umat Membawa Rahmat,” marilah kita bersyukur ke hadrat Ilahi atas nikmat keamanan dan keharmonian yang telah kita kecapi dan berikrar akan sentiasa berusaha mengecapi penyatuan dalam ertikata menyeluruh dengan mampu melupakan sengketa lama dan bermuzakarah ke arah kesepakatan.

Sekian,

WabillahiTaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...