UNTUK PENJELASAN LANJUT, KLIK DI SINI
Raggie Jessy Rithaudeen
Pribumi merujuk kepada pengertian etnik manusia berdasarkan tempat yang tidak berhijrah dari tanah airnya dan bukannya penduduk yang menetap atau penjajah.
Ini berkait secara langsung dengan elemen warisan, yang telah wujud sebelum hadirnya Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dan merangkumi elemen asal dan tradisi.
Selepas kemerdekaan, elemen warisan ini dipandang tinggi dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai “tiang seri Perlembagaan Perekutuan” kerana fungsi pentingnya dalam sejarah dan proses pembentukan negara.
“Tiang seri Perlembagaan Perekutuan” ini mempunyai empat paksi utama, iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak dan kedudukan Istimewa Orang Melayu, Kedaulatan Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.
Empat paksi ini telah dirangkumkan dalam sebuah perjanjian yang dikenali sebagai kontrak sosial, sekaligus menjadikan “tiang seri Perlembagaan Persekutuan” asas kepada kontrak sosial.
Kontrak Sosial merujuk kepada satu permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan dalam kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Istilah kontrak sosial dengan sendirinya tidak ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Namun, disebabkan kewujudan secara bertulis “tiang seri Perlembagaan Persekutuan” yang menjadi asas kepada kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dengan sendirinya didirikan di atas Kontrak Sosial.
Ini termasuk kesediaan orang Melayu untuk memberi kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dengan syarat-syarat yang dirangkumkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam bentuk “tiang seri Perlembagaan Persekutuan.”
Asal usul Kontrak Sosial
Asas kepada perjanjian Kontrak Sosial bermula dengan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946.
Pada dasarnya, Malayan Union telah mengancam kedudukan orang Melayu dari aspek politik dan ekonomi di Tanah Melayu.
Disebabkan penentangan meluas orang Melayu, pihak British telah bersetuju untuk menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 selepas kegagalan membentuk Malayan Union.
Persekutuan ini diisytiharkan dibawah Perintah Majlis Persekutuan Tanah Melayu 1948 menerusi satu perjanjian yang meliputi Sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
Menerusi perjanjian ini, pihak British telah memberi pengiktirafan secara rasmi dan bertulis, buat kali pertama, kepada status orang Melayu sebagai penduduk asal di kawasan jajahan British di Semenanjung (Malaysia) yang diberi nama Tanah Melayu.
Seterusnya, hal ini membawa kepada kerjasama antara etnik dalam menuju kemerdekaan.
Menerusi kerjasama ini dan pengiktirafan bertulis pihak British bahawa tanah ini Tanah Melayu, penubuhan sebuah jawantankuasa perhubungan pada tahun 1949 yang terdiri daripada pelbagai etnik telah berusaha menyelesaikan sesentengah masalah perlembagaan, politik dan ekonomi.
Suruhanjaya Reid kemudian dipertanggungjawabkan untuk mengggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada 1956.
Hal ini terjadi kerana rangka Perlembagaan perlu ada peluang sepenuhnya untuk pertumbuhan sebuah negara yang bersatu padu, bebas dan demokratik.
Oleh itu, penekanan diberi dalam sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957.
Antara elemen warisan ialah kesultanan dan pemerintahan beraja yang telah wujud dalam sistem sosial dan raja berkuasa mutlak sejak berabad lamanya.
Selepas merdeka, pindaan dilakukan dengan berkonsepkan Raja Berperlembagaan yang bertindak atas nasihat Kabinet yang mana dilindungi dibawah Perkara 38(4).
Seterusnya, di bawah pentadbiran Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Agama Islam dalam Perkara 160 memberi definisi Melayu sebagai seorang beragama Islam yang lazimnya bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu,
Dalam hal ini, Melayu dan Islam adalah unsur yang saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan Perlembagaan.
Selain itu, Bahasa Melayu terkandung dalam Perkara 152, membabitkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tanpa menafikan hak-hak bangsa lain menggunakan bahasa mereka.
Akhir sekali, kedudukan istimewa orang Melayu disentuh dalam Perkara 153, iaitu tanggungjawab YDPA memjamin kedudukan istimewa orang Melayu, termasuk Perkara 89, iaitu tanah rizab Melayu, dan 90, iaitu undang-undang berkenaan tanah adat.
Jadual 13 pula membabitkan persempadanan kawasan pilihan raya.
Perkara 18 (Sarawak) dan Perkara 20 (Sabah) dalam Perjanjian Malaysia pada tahun 1963 membabitkan persetujuan dalam tuntutan tentang imigresen, bahasa, kewangan dan hak istimewa bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti yang terkandung dalam Senarai II dan Senarai III
Rumusan
“Perlembagaan Persekutuan merangkumi, secara bertulis, empat paksi utama yang menjadi “tiang seri Perlembagaan Perekutuan.”
“Empat paksi ini merupakan syarat utama Kontrak Sosial, berpandukan Perjanjian (bertulis) Persekutuan Tanah Melayu yang mengiktiraf masyarakat Melayu-Islam sebagai pribumi dan pewaris kawasan Semenanjung tanah jajahan British (kini Semenanjung Malaysia).
“Perjanjian ini menjadi asas kepada penubuhan Perlembagaan Persekutuan, yang seterusnya, mengiktiraf beberapa suku kaum di Sabah dan Sarawak sebagai pribumi Sabah dan Sarawak.
“Disebabkan pribumi Sabah dan Sarawak terikat kepada asas penubuhan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sama, keseluruhan Malaysia merangkumi tanah warisan Melayu (Semenanjung) dan Sabah dan Sarawak, yang diwarisi oleh masyarakat pribumi di situ.
“Dengan itu, kehidupan bersama masyarakat bukan pribumi di Tanah Warisan Melayu mahupun di Sabah dan Sarawak sebagai warganegara Malaysia, adalah tertakluk kepada persetujuan dan pemahaman ini.
“Tidak ada apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sehingga hari ini yang membawa maksud selain daripada apa yang disebutkan dalam rumusan ini.”
UNTUK PENJELASAN LANJUT, KLIK DI SINI
