Enam undang-undang baru Malaysia yang korang kena tahu

Ask Legal

Setiap tahun parlimen Malaysia akan bertemu dan berbincang di mana undang-undang baru akan diluluskan (atau ditolak). Menurut Perkara 66 Perlembagaan Malaysia, parlimen mempunyai kuasa untuk berbuat demikian ni termasuk jugalah melakukan sebarang perubahan kepada undang-undang yang sudah sedia ada. Pada tahun ini, persidangan pertama kali diadakan pada 16 Mac.

Tapi bagaimana undang-undang ni digubal?

Untuk wujudnya sebuah undang-undang baru, ia perlu dimulakan dengan bacaan pertama dan ketika ia dicadangkan, ahli Dewan Rakyat tidak perlu berdebat dan bacaan tersebut hanyalah sebagai formaliti. Undang-undang tersebut akan dibacakan kali kedua di mana time tu baru ahli Dewan boleh berdebat dan undian akan di ambil.

Kalau undian dari bacaan dari kedua tu lulus, undang-undang tersebut akan mendapat bacaan ketiga di mana sesetengah isu akan dibahaskan lebih mendalam dan bila semua dah settle dan mendapat persetujuan majoriti Dewan Rakyat (lebih 2/3), undang-undang tersebut akan dibawakan kepada Dewan Negara dan disitu ahli Senat akan periksa balik undang-undang tersebut (lebih kurang double check lah) sebelum ia di keutarakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

1. Kena bayar cukai pelancongan kalau tinggal kat hotel mahal

File PDF : RUU Cukai Pelancongan 2017

Dibentangkan pada bulan April tahun ni, undang-undang cukai pelancongan ni telah disebulungi kontroversi apabila rakyat Malaysia sendiri tidak dikecualikan dari cukai tersebut. Ia kemudiannya telah digubalkan semula di mana rakyat Malaysia tidak perlu membayar cukai kalau hotel tersebut diklasifikasikan tiga bintang ke bawah. Tapi bagi para pelancong pula, mereka perlu membayar cukai tu tanpa mengira klasifikasi hotel. Sebanyak RM20 dikenakan untuk hotel lima bintang, RM10 untuk empat bintang, RM5 untuk tiga bintang, dan RM2.50 untuk dua bintang.

Apa yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai haritu telah ditangguhkan pada awal bulan Ogos, ni adalah kerana sistem cukai tersebut tak siap lagi kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Muhamed Nazri Abdul Aziz. Setakat ni hanya semenanjung Malaysia saje yang melaksanakan undang-undang tersebut manakala Sabah dan Sarawak masih lagi ragu-ragu dalam perlaksanaan sebab mereka taktau sama ada nak luluskan atau tidak.

2. Whatsapp/WeChat/PM kanak-kanak benda ‘nakal’ sekarang ni merupakan kesalahan besar

Apa yang bermula sebagai investigative journalism oleh sebuah kumpulan wartawan R.age telah mendapat perhatian orang ramai apabila R.age menerbitkan satu video dan artikel di mana terdapat sebilangan lelaki warga Malaysia yang asyik mengorat kanak-kanak bawah umur ke arah gelombang maksiat. Laporan tersebut telah bertukar menjadi sebuah mini series dan kemudiannya mendapat perhatian para ahli Dewan Rakyat.

Pada awal tahun 2017 RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan berbeza dengan Akta Kanak-Kanak 2001, mangsa bawah umur sekarang dinaik taraf sebagai saksi yang sah atau saksi yang diiktiraf dalam mahkamah. Malah menurut undang-undang tersebut, takyah sentuh tapi hanya perlu menunjukkan video lucah atau bersembang lucah dengan kanak-kanak sudah mencukupiuntuk mendakwa seseorang dalam mahkamah.

3. Pemandu part time kena daftar dengan kerajaan demi keselamatan penumpang

File PDF : Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam (Pindaan 2016) 

Berbeza dengan undang-undang yang kami tulis kat atas ni, RUU Pengangkutan Awam sebenarnya dah lama ada dan kali ni ia di-modify untuk melibatkan sekali perkhidmatan e-hailing (satu gang dengan Uber, Grab). Dibacakan pada hari sama RUU Cukai Pelancongan, undang-undang ni bertanggungjawab untuk mendaftarkan pemandu e-hailing kepada kerajaan.

Ia juga bertindak sebagai database untuk kerajaan bagi pemandu-pemandu e-hailing yang pernah ada rekod jenayah. Selain dari tu, undang-undang baru ni bertindak sebagai penguatkuasa untuk SPAD memeriksa dan memastikan setiap kenderaan yang digunakan oleh perkhidmatan e-hailing berada dalam keadaan selamat untuk penumpang dan juga pemandu.

4. Pengambilan insuran untuk Grab Car dan Uber

Diluluskan pada bulan April tahun ni, undang-undang ni mewajibkan semua pemandu teksi persendirian dan e-hailing untuk mendfatar dan mendapatkan insuran bekerja. Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, bagi yang dah mendaftar mereka kena carumkan sebanyak 1.25% dari pendapatan bulanan mereka setiap bulan di mana insuran tersebut melindungi pemandu selama 12 bulan berturut-turut yang berkuat kuasa dari tarikh caruman di buat.

Motif undang-undang ni adalah untuk melindungi pemandu jika terlibat dalam kemalangan sewaktu bekerja dan menjamin keselamatan sosial pekerja. Riot juga berharap undang-undang ni akan diperluaskan ke industri lain pada masa akan datang tapi buat sementara waktu ni hanya pemandu e-hailing dan teksi peribadi saje kena buat. Gagal mematuhi undang-undang tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

5. Hak asasi untuk flora dan fauna Malaysia

File PDF : Rang Undang-Undang Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 

Jangan biarkan nama yang panjang ni mengelirukan korang! Undang-undang ni sebenarnya berfungsi sebagai pelindung untuk flora dan fauna Malaysia. Secara amnya undang-undang ni bertindak sebagai garis panduan dan kuatkuasa untuk syarikat komersial dan pihak pengajian untuk guna alam sekitar dengan kadar yang berpatutan dan dilakukan secara berperikemanusian.

Tapi bagi sesiapa yang nak pergi memancing atau memetik buah untuk tujuan rekreasi atau makanan harian, mereka dikecualikan dari undang-undang ni. Senang cerita hanya syarikat atau organisasi besar saje yang termaktub dalam undang-undang ni. Dalam undang-undang ni juga, ia memberi kuasa kepada Unit Perancang Negeri (setiap negeri ada satu) untuk memberi atau menarik permit dan juga membuat siasatan jika berlaku salah laku.

6. Lebih banyak perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga

Sebelum ni kami di Asklegal ada tulis secara terperinci pasal undang-undang ni (tekan sini untuk baca), tapi secara dasarnya ia merupakan satu ubah suai dari undang-undang yang sama. Kat dalam pindaan baru ni, ia memberikan hak dan perlindungan lebih kepada mangsa. Seperti contoh, mangsa sekarang ni mempunyai perlindungan lebih menyeluruh dan lebih cepat sebab kalau sebelum ni perlindungan tersebut hanya berkuat kuasa kalau penyerang tersebut disabit dalam mahkamah, sekarang dah tak perlu.

Selain dari tu, definisi untuk keganasan rumah tangga juga telah diperluaskan. Sebelum ni ia hanya meliputi serangan fizikal dan mental mangsa saje tapi dengan pindaan undang-undang baru ni, harta, keraguan keselamatan diri sendiri juga telah dimasukkan sekali. Pindaan kali kedua akta ni telah diluluskan pada bulan April tahun ni.

Tentulah ada lagi Rang Undang-Undang yang tak termasuk dalam artikel ini!

Sewaktu kami periksa laman sesawang parlimen, ada beberapa undang-undang yang tangkap perhatian kami seperti pindaan undang-undang bankrap (kami ada tulis artikel pasal ni, tekan sini untuk baca) dan undang-undang kewangan. Sebab utama undang-undang tersebut tak masuk dalam artikel ni adalah kerana undang-undang tersebut tidak mempunyai impak direct dalam kehidupan seharian kita berbanding undang-undang yang ada kat dalam list ni.

Tapi kalau korang nak tengok list penuh undang-undang yang diluluskan dan dibatalkan di parlimen dari tahun 1990 sampailah ke harini boleh tekan kat sini.

Source: Ask Legal

Comments

Comments