Felda: Peneroka bengang kerajaan lewat bayar ‘gaji’

KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa gagal membayar wang saraan hidup atau ‘gaji’ kepada peneroka Felda yang kini lewat memasuki dua minggu.

Ahli Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Nasaie Ismail mendakwa peneroka sepatutnya menerima wang tersebut selewat-lewatnya pada tarikh 25 hari bulan pada setiap bulan.

“Pokoknya semua masalah ini dilakukan oleh siapa pun, ia berlaku di bawah pemerintahan baharu. Felda mengalami masalah kewangan yang tenat, hutang berjumlah hampir RM9 bilion dan sudah cukup matang untuk dibayar hutang-hutang tersebut.

“Peneroka pula menerima wang saraan hidup lambat yang tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahan lalu. Jika peneroka yang bergantung sepenuhnya hidup kepada wang tersebut, ia sangat menyeksakan untuk perbelanjaan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nasaie turut menjelaskan aduan mengenai kelewatan permbayaran tersebut telah diajukan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Ab. Ghani Mohd. dan pengarah-pengarah kanan yang lain sebanyak tiga kali.

Namun, katanya, tiada jawapan yang tuntas dijelaskan oleh mereka.

“Kami dimaklumkan oleh Setiausaha MPNF bahawa surat dan pemakluman sudah dihantar kepada menteri yang berkaitan Felda untuk bertemu. Namun sudah lebih dua minggu tiada jawapan diberikan.

“Maklumat yang sampai kepada kita, Felda tidak ada wang untuk membayar gaji peneroka sehinggakan terpaksa meminjam lagi dengan pihak-pihak yang lain. Itu khabar yang kita dengar,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Comments

Comments