“Seeloknya, Anwar diminta menumpu kepada kegagalannya sebagai Perdana Menteri, kerana mana-mana filem yang ditayangkan di pawagam tidak mampu mengurangkan kos sara hidup atau mengubah hakikat bahara kerajaan Anwar telah ‘menghalalkan’ satu bentuk nepotisme”
Raggie Jessy Rithaudeen
فيليم انور: تيه اونتولد ستوري تيدق ممڤو كورڠكن كوس سارا هيدوڤ اتاو ڤدم اڤي نيڤوتيسمى يڠ دڽالاكن انور سنديري
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Sebaik selepas Pilihan Raya Umum ke-15, media sosial menjadi tapak serangan Laskar Siber pro-PH dan pro-BN terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini termasuk mereka yang menegakkan kebenaran dengan menonjolkan kepincangan kerajaan, penipuan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional terhadap penyokong mereka dan kegagalan kerajaan menunaikan pelbagai janji manifesto di samping menangani isu kos sara hidup, antara lain.
Retorik yang selalu digunakan oleh Laskar Siber ini ialah “Move On, ini kerajaan YDPA,” dan cukup nyata sekali ini adalah skrip yang terancang.
Malangnya, laskar-laskar ini lupa bahawa “kerajaan-kerajaan YDPA terdahulu” diserang hebat oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, termasuk kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (diserang oleh Barisan Nasional dan otai-otai pro-Anwar), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
TONTON: ANWAR, ZAHID PALING BANYAK GANGGU GUGAT KERAJAAN YDPA TERDAHULU
Malah, bukan hanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlibat secara langsung dalam komplot menumbangkan kerajaan mandat rakyat, Anwar berkali-kali cuba menyahstabilkan kerajaan sejak 2008 lagi dengan retorika “I have the numbers” yang dilaung-laung pada sidang media.
Kini, sebuah filem yang saya difahamkan berkisar di sekitar kes rasuah dan sodomi pertama Anwar akan ditayangkan Mei ini.
Tidak kira apa yang ditayangkan, sejarah tidak mampu diubah – Anwar didapati bersalah melakukan rasuah menerusi proses mahkamah yang sahih dan hukuman sudah pun dijalankan.
Andai kata penerbit filem memiliki maklumat baharu yang mampu membuktikan bahawa tuduhan terhadap Anwar tidak benar atau dirancang, beliau harus serahkan bukti kepada pihak berkuasa dan menuntut keadilan, bukannya menyiarkan sesuatu yang tidak lebih daripada sebuah karya.
Pada hemat saya, filem yang bakal ditayangkan sekadar mencadangkan bahawa ada penyokong Anwar yang tidak mampu “move on.”
Seeloknya, Anwar diminta menumpu kepada kegagalannya sebagai Perdana Menteri, kerana mana-mana filem yang ditayangkan di pawagam tidak mampu mengurangkan kos sara hidup atau mengubah hakikat bahara kerajaan Anwar telah ‘menghalalkan’ satu bentuk nepotisme.
Elok juga Anwar merujuk kepada kad laporan 100 hari yang telah saya sediakan untuk tatapan umum:
Kad Laporan Anwar (100 hari):
1. Kerajaan berjaya suburkan Nepotisme, semua menteri dibenarkan lantik ahli keluarga
2. PM pandai bercakap, penyelesaian tidak ada
3. Kos sara hidup makin menggila
4. Harga minyak tak turun ke paras RM1.80 biarpun Rafizi Ramli kata ini mudah diuruskan
5. Tol tidak dimansuhkan, tidak dikurangkan, tiada pengumuman kajian ke arah penghapusan tol
6. Tiada dasar/kerangka kerja pemulihan ekonomi jangka pendek, sederhana atau panjang diumumkan
7. Tidak ada laporan komitmen pelabur asing yang mampu meyakinkan peniaga dan usahawan bahawa ekonomi dan ringgit boleh diperkasakan oleh kerajaan pimpinan Anwar
8. TPM masih tertuduh jenayah, berdepan 47 pertuduhan jenayah (ini sudah pasti menakutkan pelabur).
9. Harga dan bekalan telur masih belum diselesaikan sepenuhnya
10. Persepsi palsu ditimbulkan kononnya harga barangan naik disebabkan peniaga mengambil kesempatan
11. Lim Kit Siang buat kenyataan bersempadankan Islamofobia (kononnya Malaysia akan menjurus ke negara Islam disebabkan gelombang hijau)
12. Ramasamy buat kenyataan yang sentuh sensitiviti perkauman (mempersoalkan penguasaan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam dengan cara yang begitu berat sebelah, berbaur rasisme)
13. Tiada tindakan terhadap Ramasamy atau Kit Siang, tetapi seorang ahli sukan berbangsa Melayu dihukum sebab buat kenyataan rasis yang dikira menghina kaum India
14. Sudah ada tayangan rasmi (Januari 2023 secara rasmi) filem tempatan secara maya di mana Islam diserang, PM diam bila isu dibangkitkan
Ini baru 14, ada lagi…
