
Acara tersebut diketuai pengarah bersama GBN, Rosdzaman Dato Mohd Yusop, yang turut menekankan perlunya umat Islam di Malaysia memelihara kemuliaan agama Islam, institusi diraja dan kepentingan Bangsa Nasional
PETALING JAYA: Wakil-wakil NGO serta pemimpin PAS dan UMNO hari ini melafazkan ikrar aku janji di Petaling Jaya, Selangor, bagi menyatakan komitmen terhadap sembilan teras yang digariskan kepimpinan Gerakan Bangsa Nasional (GBN) sempena pelancaran Deklarasi Selangor.
Acara tersebut diketuai pengarah bersama GBN, Rosdzaman Dato Mohd Yusop, yang turut menekankan perlunya umat Islam di Malaysia memelihara kemuliaan agama Islam, institusi diraja dan kepentingan Bangsa Nasional.
Hadir sama ialah Pengarah Bersama GBN, Raggie Jessy Rithaudeen, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii; Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah; Blogger dan aktivis, Esmee Mat Isa serta Penasihat Seni Silat Kalam, Prof. Dr Zahalan Man.
Deklarasi Selangor akan dibuka kepada umum bermula 16hb April 2019 untuk memberi peluang kepada rakyat jelata menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap sembilan teras yang digariskan menerusi ikrar aku janji, seperti berikut:
1. Kami rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk menuntut pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
2. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan bekerjasama dengan Raja-Raja Melayu untuk menuntut agar Yang di-Pertuan Agong diberikan hak perlembagaan untuk memecat Perdana Menteri.
3. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk memerangi rasuah dan menentang ahli-ahli politik yang taksub dengan Wang, Kuasa dan Kedudukan (WKK).
4. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk menuntut agar Islamophobia diiktiraf sebagai satu jenayah yang boleh dihukum penjara jika sabit kesalahan.
5. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk melindungi kesucian agama Islam dan Institusi di-Raja, yang mana kedua-duanya pada ketika ini sedang mengalami ancaman yang begitu hebat.
6. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk menentang mana-mana individu atau kumpulan individu yang menimbulkan ancaman terhadap masyarakat Melayu-Islam, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.
7. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk menuntut agar parti DAP, yang kami anggap sebagai musuh Islam, dibatalkan pendaftarannya, demi memastikan bahawa keharmonian, keamanan dan keselamatan negara terjamin sentiasa.
8. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan melakukan apa sahaja dalam batasan undang-undang untuk menegakkan kedudukan istimewa yang dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia kepada masyarakat Melayu-Islam dan orang asli sambil memastikan bahawa hak semua kaum yang lain sentiasa terpelihara.
9. Kami, rakyat Malaysia yang beragama Islam, sesungguhnya, berikrar bahawa kami akan menuntut keadilan untuk Bangsa Nasional demi memastikan bahawa keharmonian, keamanan dan keselamatan negara terjamin sentiasa.
