
Abdul Razak Dato’ Mohd Ghazali
Assalamualaikum warramatullahi wabarakatuh
Gerakan Bangsa Nasional (GBN) ingin mengambil kesempatan ini untuk menucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada umat Islam di Malaysia dengan harapan hari yang mulia ini akan diraikan dengan penuh keikhlasan, suka cita dan pengorbanan menurut kemampuan masing-masing.
Sesungguhnya, Allah SWT menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban yang mencerminkan kesanggupan, keberanian dan kesediaan seseorang memisahkan dirinya dengan harta dunia demi membantu orang yang kurang bernasib baik.
Pengorbanan ini tidaklah sia-sia, kerana sesungguhnya, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala kepada mereka yang sanggup melakukan kebajikan bagi orang yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang bentuk pujian dari orang lain.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa simpati kami di GBN terhadap mangsa yang ditimpa bencana ribut yang melanda daerah Sabak Bernam dan beberapa kawasan lain di semenanjung di mana ribut tersebut membawa begitu banyak kemusnahan dan sengsara.
Pihak Lembaga Pengarah Kebangsaan turut ingin menjemput segenap lapisan masyarakat menghadiri majlis terbuka GBN bersama rakyat yang bakal berlangsung di Hotel Summit USJ 17hb Ogos ini.
Saya akhiri perutusan ini dengan harapan semoga ibadat korban tahun ini mendapat ganjaran pahala dan kebajikan daripada Allah SWT sambil meningkatkan ketakwaan kita kepada-Nya seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan pernah sampai pada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)
Wallahu a’lam
