
“Zahid secara peribadi mengimpikan jawatan Perdana Menteri dan berharap parlimen dibubarkan secepat mungkin sebelum kes mahkamahnya diputuskan. Najib turut mengimpikan jawatan yang sama, dan perkara ini telah disahkan kepada saya secara peribadi oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Tetapi Zahid dan Najib tidak keberatan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 asalkan Pilihan Raya Umum diadakan sebelum kes-kes mahkamah mereka diputuskan”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڬلڬت كڤيمڤينن امنو بوقتي مجليس ڤموليهن نڬارا دڤرلوكن سڬرا
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Sejak penubuhan kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak serik memporak perandakan politik tanah air dengan pelbagai gelagat dan aksi yang menggangu gugat kestabilan politik tanah air.
Tidak lama selepas Langkah Sheraton, kedua-dua mereka tiba-tiba mengumumkan bahawa penyertaan UMNO dalam kerajaan hanya melibatkan “ahli-ahli parlimen” dari parti itu, bukannya UMNO secara en bloc.
Pengumuman ini bukan hanya mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, ianya sama sekali tidak masuk akal malah menyebabkan akar umbi UMNO keliru.
Ini kerana Zahid dan Najib terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan rundingan-rundingan rahsia yang menjurus kepada Langkah Sheraton, atas dasar kerjasama meilbatkan Barisan Nasional, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
Kemudian, apabila beberapa ahli parlimen ‘mengugut’ untuk melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan, mereka merujuk kepada Zahid dan Najib walaupun mengaku terlibat dalam kerajaan atas “kapasiti peribadi,” bukan parti.
Persoalannya, jika benar penyertaan UMNO dalam kerajaan hanya sekadar “penyertaan ahli-ahli parlimen” dan bukannya parti, kenapa ahli-ahli parlimen ini perlu merujuk kepada presiden parti sebelum membuat keputusan?
Kenapa pula ahli-ahli parlimen ini perlu menunggu keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) atau Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) sebelum bertindak, dan bagaimanakah Zahid boleh menuntut agar kedudukan mereka dalam kerajaan diputuskan oleh kepimpinan parti?
Inilah yang dinamakan propaganda, dan propaganda lapuk inilah yang telah dimainkan oleh Zahid dan Najib dari awal lagi sejak penubuhan kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Matlamat Najib dan Zahid bukanlah untuk berjuang demi agama, bangsa atau negara, tetapi untuk menyelamatkan tengkuk masing-masing daripada sabitan bersalah (Najib) dan kes mahkamah yang sedang berjalan (Najib dan Zahid).
Zahid secara peribadi mengimpikan jawatan Perdana Menteri dan berharap parlimen dibubarkan secepat mungkin sebelum kes mahkamahnya diputuskan.
Najib turut mengimpikan jawatan yang sama, dan perkara ini telah disahkan kepada saya secara peribadi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.
Malah, Rosmah mengaku kepada saya bahawa dialah yang mendesak Najib untuk kembali memgang jawatan Perdana Menteri dan presiden UMNO.
Tetapi Zahid dan Najib tidak keberatan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 asalkan Pilihan Raya Umum diadakan sebelum kes-kes mahkamah mereka diputuskan.
Untuk menimbulkan persepsi bahawa mereka cukup berpengaruh, Zahid dan Najib mendesak ahli-ahli parlimen UMNO untuk keluar dari kerajaan, yakni meletakkan jawatan dalam kerajaan atau syarikat-syarikat berkait kerajaan.
Dengan itu, Zahid dan Najib berharap bahawa Muhyiddin akan menjadi cemas dan percaya bahawa kerajaan akan jatuh pada bila-bila masa jika beliau tidak berunding dengan Zahid.
Persoalannya, bagaimanakah sesiapa boleh mengharapkan menteri-menteri UMNO untuk berfungsi dalam keadaan sebegini, sedangkan menteri-menteri ini sentiasa memikirkan ugutan Zahid dan Najib kepada Muhyiddin?
Bukankah ini akan membantutkan tadbir urus negara dan keberkesanan kerajaan, dan bukankah tindakan ugut mengugut antara kepimpinan PPBM, UMNO dan PAS bukti keretakkan kritikal dalam blok kerajaan?
Sudah pasti tindakan ugut-mengugut ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati sesama menteri-menteri PPBM, UMNO dan PAS, dan sudah pasti rasa tidak puas hati ini akan menjurus kepada perselisihan faham.
Satu contoh yang paling nyata ialah pertengkaran yang berlaku di antara menteri-menteri UMNO dan PPBM ketika mesyuarat kabinet berhubung kelulusan operasi syarikat-syarikat di bawah “Total Lockdown.”
Ketidaksefahaman ini menjurus kepada “Total Lockdown Seprauh Masak,” yang bercanggah jelas dengan janji kerajaan persekutuan untuk menutup seluruh sektor ekonomi dan sosial di bawah fasa satu Pelan Pemulihan Negara.
Disebabkan percanggahan ini, jumlah kes baharu Covid-19 yang direkodkan semalam (hari pertama, minggu ke-6 “Pelan Pemulihan Negara”) jauh lebih tinggi daripada jumlah kes yang direkodkan pada hari pertama “Total Lockdown.”
Bukankah ini bukti jelas kegagalan kerajaan dan Pelan Pemulihan Negara, dan bukankah UMNO sama-sama bertanggungjawab ke atas kegagalan ini?
Satu lagi contoh peranan UMNO dalam kegagalan kerajaan ialah Pilihan Raya Negeri Sabah.
Sebelum Pilihan Raya tersebut, pemimpin-pemimpin UMNO dan PPBM masing-masing terlibat dalam misi rahsia untuk menyogok ADUN dari Sabah agar ADUN ini berpaling tadah dan menyertai Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Ini menjurus kepada “pertandingan tarik tali” antara PPBM dan UMNO bagi jawatan Ketua Menteri Sabah dan akhirnya menggangu gugat kestabilan politik di Sabah sehingga tercetusnya Pilihan Raya di negeri itu.
Bukan hanya Pilihan Raya ini membantut usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di Sabah, ianya menjurus kepada kegilaan dalam penularan wabak tersebut di seluruh negara yang tidak pernah reda hingga ke hari ini.
Akibatnya, beratus ribu peniaga kecil dan sederhana besar terpaksa gulung tikar setelah perniagaan mereka mengalami kerugian teruk akibat daripada pelbagai bentuk kekangan pergerakan yang dikenakan hingga ke hari ini.
Malah, bukan hanya sejuta lebih rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, bilangan kes bunuh diri meningkat secara mendadak disebabkan ramai yang hilang kerja mula menghidap penyakit kemurungan. Kesemua ini menjadikan rakyat resah, gelisah, keliru dan tidak tenteram.
Apakah UMNO tidak mengaku peranannya dalam kesengsaraan ini?
Sudah tiba masanya Raja-Raja Melayu bermuzakarah ke arah penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN), kerana semakin lama UMNO, PPBM dan PAS dibenarkan berkuasa, semakin mudarat kehidupan rakyat dan masa depan negara.
Sekiranya ditubuhkan, MPN akan membolehkan tumpuan khusus diberikan kepada permasalahan negara dan menurangkan terus percaturan dan percakaran tak tentu hala yang diamalkan oleh kepimpinan UMNO, PPBM dan PAS yang menjadi sebab utama kerajaan gagal.
Andai kata MPN diwujudkan, tidak ada halangan untuk parlimen bersidang, malah setiap persidangan dijangka lebih menumpu kepada soal permasalahan rakyat daripada percakaran antara ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan.
Ini kerana ahli-ahli parlimen akan tahu pentadbiran kewangan, ekonomi, kesihatan, sosial dan pendidikan negara berada di bawah bidang kuasa MPN dan akan kekal begitu sehingga penggal parlimen ke-14 berakhir.
Justeru, ahli-ahli parlimen akan lebih menumpukan perhatian kepada isu-isu yang dibawa oleh MKN dan akan berfikir tentang kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Pihak MPN pula tidak perlu risau tentang isu keabsahan kerajaan atau percubaan menggulingkan kerajaan kerana MPN bukannya kerajaan dan akan terus mentadbir urus aspek kewangan, ekonomi, kesihatan, sosial dan pendidikan negara sehingga parlimen dibubarkan.
Ini sekaligus akan melumpuhkan keupayaan pemimpin-pemimpin yang kemaruk kuasa seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memporak-perandakan politik negara dan pentadbiran persekutuan.
WAJIB BACA:
Sekumpulan ahli parlimen UMNO rancang gabungan baharu tanpa Najib, Zahid (Pendedahan)
