Hadi: Mahathir ‘pembangkang’ agenda Islam

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“(Kata Allah) Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (dalam menghadapi diri kamu sendiri. Dan bersabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh-musuh kamu). Dan bertugaslah kamu (di mana sahaja kamu diletakkan). Dan bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut perintah-Nya dan meninggal larangan-Nya) supaya kamu mendapat kemenangan (di dunia dan kemenangan di hari akhirat).”

(ali-‘Imran: 200)

Terlebih dulu kita bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah memilih kita dengan petunjuk-Nya bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS yang ditubuhkan oleh ulama-ulama dan pemimpin Islam tahun 1951. Setelah diharamkan Hizbul Muslimin, diharamkan Sarekat Islam, diharamkan perjuangan Islam di zaman penjajah.

Tujuan ditubuhkan PAS ialah untuk mengumpulkan umat Islam seramai-ramainya supaya memenangkan pemimpin-pemimpin yang ditugaskan untuk mendirikan kerajaan Islam. Kerana mendirikan kerajaan Islam ini satu kewajipan yang sangat besar yang tak boleh dipandang ringan.

Besarnya kewajipan ini sehingga apabila wafatnya, matinya Nabi Muhammad S.A.W, setelah para sahabat menyembahyangkan jenazahnya, sembahyang masing-masing tidak ada imam, kerana tidak ada siapa yang layak jadi imam untuk sembahyang jenazah Nabi S.A.W. Sembahyang masing-masing, muslimin-muslimat, Muhajirin Ansar, keluarga Nabi, budak-budak yang boleh sembahyang. Kemudian ketika nak ditanamkan jenazahnya, hanya beberapa orang sahabat sahaja yang ada bagi menyelesaikan penanaman jasad Nabi S.A.W. Semua yang lain ramai-ramai berhimpun di Saqifah Bani Sa’idah. Hari ini jadi tempat cetak Quran di Madinah.

Mereka berhimpun di situ tujuannya untuk memilih siapakah yang akan jadi ketua kerajaan menyambung kerajaan Islam yang diajar oleh Nabi S.A.W mengikut al-Quranul Karim. Ada tiga calon. Keluarga Nabi mencalonkan Saidina Ali Bin Abi Talib K.W.J. Orang Madinah mencalonkan Sa’ad Bin Ubadah R.A. Kalangan Muhajirin sahabat-sahabat yang berhijrah yang lain mencalonkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A. Bila mereka mendengar Hadis Nabi S.A.W yang dibaca:

الأئمة من قريش

“Pemimpin (hendaklah dipilih) daripada Quraisy”

Quraisy ialah Kabilah Arab yang paling ramai sekali jumlahnya dan paling kuat. Lalu mereka semua bersetuju memilih Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A. Ini adalah Pilihan Raya Umum memilih siapa menjadi pemimpin negara. Menunjukkan betapa wajibnya perkara ini sehingga lebih besar daripada menanam jasad Nabi S.A.W.

Hari ini orang kita buat main-main dalam masalah mengundi pilihan raya ini kerana mereka tak tahu bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar di dalam ugama Islam. Pendakwah-pendakwah dan ulama-ulama yang bawa Islam ke Tanah Melayu bukan sekadar mengajar mengucap dua kalimah syahadah, bukan sekadar sembahyang, puasa, zakat, haji, mereka juga mendirikan kerajaan Islam.

Di Negeri Terengganu ada batu bersurat. Batu bersurat ini ditulis di atasnya hukum-hukum Islam yang diamalkan oleh kerajaan Terengganu di masa itu. Oleh kerana kita lama dijajah, banyak orang kita tak tahu dalam perkara ini, maka menjadi satu kesulitan, payah kepada PAS untuk mengajak orang Islam menyokong perjuangannya.

Banyak orang Islam tenggelam di dalam kejahilan. Dalam pilihan raya tahun 1955 sebelum kita merdeka, pilihan raya yang pertama, PAS bertanding dalam lapan kerusi sahaja, lapan calon daripada 52 kerusi. Menang satu. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin di Kerian Laut Perak satu kerusi saja menang. 51 lagi daripada Umno, MCA dan MIC. Dengan satu kerusi yang kita menang ini PAS telah berjaya berdakwah melalui memorendum kepada Suruhanjaya Reid yang ditubuh oleh orang putih supaya meletakkan Islam adalah ugama kepada Tanah Melayu, ugama rasmi.

Walaupun satu kerusi, kita telah berjaya meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama persekutuan, dalam masa yang sama kita tidak ganggu penganut-penganut ugama lain. Inilah yang diajar oleh Quran yang diajar oleh Nabi S.A.W. Penganut-penganut ugama lain tunduk di bawah kerajaan Islam. Biar mereka tengok adil dan baiknya Islam ini. Lepas merdeka tahun 1959, pilihan raya. Negeri Terengganu negeri yang pertama menang, negeri yang pertama PAS menang ialah Terengganu. Lepas itu baru Kelantan. Pada masa itu pilihan raya dibuat peringkat negeri, tidak sekali gus. Start dengan Perlis, PAS tak menang, tak ada satu kerusi pun.

Kedah, PAS tak menang satu kerusi pun. Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, PAS tak menang satu kerusi pun. Sampai giliran Terengganu PAS menang 13 kerusi daripada 24 kerusi. Umno enam kerusi, MCA satu kerusi, Parti Negara empat kerusi. PAS 13 kerusi. Lepas itu barulah orang Kelantan naik semangat, Kelantan kita menang 28 daripada 30 kerusi. Oleh kerana kita menang sikit di Terengganu apabila wakil rakyat kita diculik, dibawa pelari, wakil rakyat kita ada yang kena beli. Tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu jatuh melalui undi tidak percaya. Kita boleh bertahan di Kelantan. Kelantan kita ambil balik setelah jatuh tahun 1979.

Apabila tahun 1973 selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, berperang Melayu Cina di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang, kerajaan mengisytiharkan darurat, isytihar darurat. Dalam keadaan darurat ini, PAS diajak menyertai kerajaan. Maka PAS buat Muktamar, Dewan Ulama kita bermesyuarat. Kita setuju masuk kerajaan dengan lapan syarat. Yang penting ialah tiga syarat, yang pertama kita tidak terikat dengan Parti Perikatan, kita parti yang tersendiri. Yang kedua diberi peluang untuk melaksanakan Islam dalam kerajaan. Yang ketiga PAS bebas berdakwah mengajar di Kementerian-kementerian, pejabat kerajaan, Universiti-universiti. Tiga syarat yang penting.

Akhirnya Tun Razak Perdana Menteri masa itu terima syarat itu. Dan kita masuk kerajaan. Masa kita masuk kerajaan, berlakulah kesedaran, kesedaran Islam di pejabat-pejabat kerajaan, Universiti-universiti. Pegawai-pegawai yang bertugas di zaman British banyak pencen lepas seorang-seorang pencen. Pelajar-pelajar Universiti yang baru lulus mengambil alih pentadbiran kerajaan menyebabkan pengaruh Islam masuk dalam jentera kerajaan.

Di sini merisaukan kalangan-kalangan yang tak setuju dengan Islam. Antara yang tak setuju dengan Islam ini ialah Dr Mahathir, hidup lagi dia. Ini tak setuju kesedaran Islam. Berlaku pertembungan yang berakhir dengan diisytiharkan darurat di Kelantan. Dan PAS dipecat daripada Barisan Nasional kita bergerak sendiri, menang puak-puak yang tak setuju dilaksanakan Islam ini dalam Umno. Maka berlaku pertembungan yang dahsyat. Walau bagaimanapun kita sudah berjaya dalam tahun 1957, tahun 60-an, masa itu banyak suara-suara menghinakan Islam. Kalau memerintah dengan Islam banyak orang kudung tangan, kena kerat tangan. Memerintah dengan Islam tak cukup batu nak buat jalan raya. Memerintah dengan Islam tak cukup batu nak buat bangunan, menghina Islam kerana mereka jahil, mereka tak tahu.

Bila kita masuk kerajaan 1974, 1973, 1974, kefahaman Islam mula ada dalam jentera kerajaan. Akhirnya suara-suara menghina Islam ini makin lama makin koho, makin lama makin senyap. Dan hari ini orang tak berani kalau dia nak bercakap politik suku ugama suku. Tak berani lagi nak hina hukum Islam, suara tidak kuat lagi. Tetapi cita-cita untuk melaksanakan Islam itu masih dihalang.

Kita memerlukan wakil rakyat yang ramai sama ada di Parlimen ataupun Dewan Negeri. Kita balik semula di Kelantan tahun 1990, kita perintah Kelantan. 1999 kita menang di Terengganu. Masa kita menang di Kelantan dan Terengganu, kita luluskan syariat Islam melalui Dewan Negeri. Tetapi mendapat tentangan daripada kerajaan pusat.

Apabila Perdana Menteri tulis surat kepada al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz, sekiranya Kerajaan Kelantan melaksanakan syariat Islam kerajaan pusat akan bertindak. Terengganu dibawa ke mahkamah untuk halang melaksanakan syariat. Oleh kerana perjuangan kita bukan perjuangan Terengganu Kelantan sahaja, perjuangan kita seluruh Malaysia, bukan Terengganu Kelantan sahaja. Kita sebahagian daripada Malaysia. Maka kita mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia ini supaya kita mendapat kerusi yang sebanyak-banyaknya.

Dalam pilihan raya ini, di peringkat pusat, kita berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi. Kalau kerusi kita lebih, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh bentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan, DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa tak boleh bentuk kerajaan. Kalau kita dapat 40 kerusi, parti lain akan dapat kerusi-kerusi dia.

40 kerusi ini sudah cukup bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam ataupun tidak. Bermakna kita ada kekuatan dengan 40 kerusi. Kita akan usaha dapat 40 kerusi di peringkat Parlimen. Dan kita usaha untuk mempertahankan Kelantan. Berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan usahakan. Kalau kita mendapat kejayaan, insyaa Allah kita tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu sendiri bagaimana wajibnya mereka balik kepada Islam. Islam menyelamatkan mereka di dunia sehingga hari akhirat.

Maka untuk kita menang di Terengganu, kerusi yang kita dah menang, Bukit Payong, kita dah menang mesti pertahankan, mesti menang juga. Termasuk kerusi yang menang tempat lain kena menang lagi. Dan tambah dua tiga empat kerusi lagi insyaa Allah kita boleh memerintah Negeri Terengganu sekali lagi. Kita jangan lupa masa kita memerintah tahun 1999, kita telah meluluskan undang-undang diri Negeri Terengganu. Hukum yang paling tinggi Quran, Hadis, Ijma Ulama, dan Qias.

Di mana apa yang kita buat ini, Umno tak berani nak hapus, masih ada lagi sekarang. Cuma tak boleh nak berjalan kalau kita tak menang. Kena kita menang baru boleh berjalan, boleh kita sambung balik. Maka perjuangan kita dalam pilihan raya ini sangat besar maknanya, besar ertinya untuk mengembalikan semula Islam ini memerintah menyelamatkan kita dunia sehingga hari akhirat.

Sumber: Harakah Daily

Comments

Comments