HALATUJU KAMI: PERUTUSAN RASMI PENGERUSI GAGASAN TIGA (G3), RAGGIE JESSY

Raggie Jessy

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Azwanddin Hamzah selaku penasihat kehormat tetap Gagasan Tiga (G3), dan juga saudara Amran Ahmad Nor, selaku Timbalan Pengerusi Gagasan Tiga (G3), kerana diberi kepercayaan dan mandat menerajui gabungan NGO-NGO yang terbesar yang pernah termetrai dalam sejarah tanahair kita ini.




Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Bermulanya usaha menubuhkan Gagasan Tiga (G3) ini adalah hasil dari pelbagai pertemuan dan perbincangan yang diadakan di antara Dato’ Azwanddin dan saya sendiri selama tempoh beberapa bulan bermula sejurus selepas tamatnya pilihanraya umum ke-14 (PRU14).

Pertemuan dan perbincangan tersebut menjurus kearah satu kata sepakat, di mana Dato’ Azwanddin dan saya bersetuju untuk membentuk satu gagasan kumpulan-kumpulan yang diterajui orang-orang Islam, terdiri daripada NGO-NGO dan aktivis-aktivis yang ingin memartabatkan kedudukan raja-raja Melayu di sisi perlembagaan dan kacamata rakyat sebagai raja berperlembagaan dan ketua agama Islam.

Perbincangan kami turut menekankan betapa perlunya gagasan tersebut demi memelihara kesucian agama Islam, disamping menjaga kebajikan ummah dan memupuk penyatuan umat Islam di seluruh negara, baik dari pangkal hinggalah ke pucuk dan bukan hanya bertumpu kepada barisan pimpinan politik yang sedia ada.

Justeru itu, satu pertemuan yang dipengerusikan oleh Dato’ Azwanddin di pejabat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersama wakil-wakil beberapa NGO, termasuk Pergerakan Malaysiaku Tanahairku pimpinan saya sendiri, dan Consent Malaysia, pimpinan saudara Amran, telah memutuskan untuk menubuhkan Gagasan Tiga (G3), iaitu satu Gagasan perpaduan berunsur “Kuasa Ketiga” (Third Force) bagi memenuhi empat objektif utama yang digariskan dalam pertemuan tersebut.

Objektif-objektif tersebut adalah:

  • Memelihara kesucian agama Islam
  • Memupuk penyatuan Melayu
  • Memperkasakan keunggulan Institusi Raja-Raja
  • Menjaga kebajikan ummah

Pertemuan yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 1hb November 2018 dan memutuskan untuk melantik saya sebagai pengerusi Gagasan Tiga (G3) dan Amran sebagai penolong pengerusi gagasan.

Sejurus kemudian, barisan kepimpinan Gagasan Tiga (G3) yang baru dilantik tersebut mengistiharkan berlangsungnya mesyuarat pertama Gagasan Tiga (G3), sekaligus menyaksikan perlantikkan Dato’ Azwaddin Hamzah sebagai penasihat kehormat tetap Gagasan Tiga (G3).

Loading...

Tertubuhnya Gagasan Tiga (G3) ini adalah atas kesedaran, bahawa kuasa-kuasa politik Melayu-Islam yang sedia ada di tanahair ini telah lama diterajui barisan-barisan kepimpinan yang tidak muak dan jemu bertelagah, baik sesama sendiri di dalam kelompok politik yang sehaluan pandangan ideologinya mahupun di antara kelompok-kelompok politik yang berbeza pandangan ideologi.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Sudah jelas lagi bersuluh, bahawa barisan kepimpinan Islam kelompok-kelompok politik yang sedia ada lebih mementingkan kuasa dan kedudukan masing-masing di “takhta politik tanahair” dari melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah, demi memelihara dan menyatukan umat-Nya kearah perlaksanaan syariah Islam.

Alangkah ajaibnya, bahawa sungguhpun barisan-barisan kepimpinan Melayu-Islam ini telah selama bertahun-tahun melaung-laungkan perlunya umat Islam bersatu, namun mereka sendiri tidak pernah bermuzakarah kearah penyatuan dengan seikhlas-ikhlas yang mungkin sambil mengenepikan kepentingan kuasa, wang dan kedudukan.

Saban tahun saya perhatikan, bahawa setiap kali adanya ura-ura akan berlaku satu pertemuan di antara pemimpin-pemimpin Melayu-Islam kearah penyatuan kelompok-kelompok politik berteraskan Islam, sudah pasti isu kuasa dan kedudukan dimainkan pihak-pihak berkepentingan sehinggakan tidak pernah tercapainya kata sepakat di antara kuasa-kuasa politik Melayu-Islam di tanahair tercinta ini.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Negara kita telah menikmati kemerdekaan selama 61 tahun.

Amat menyedihkan, bahawa di dalam 61 tahun tersebut, bukan hanya pemimpin-pemimpin Melayu-Islam gagal menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah dalam menyatukan kaum Muslimin dan Muslimat, mereka lebih giat bertelagah untuk merebut kuasa, sehinggakan telah wujud pelbagai kelompok sosiopolitik yang jauh tersasar dari nilai peradaban Islam dan budaya Melayu.

Sesungguhnya, peradaban inilah yang menekankan akan perlunya hamba Allah memiliki dan memelihara akidah, ilmu, akhlak dan nilai-nilai norma masyarakat yang murni, seperti bertoleransi, tolong menolong, menghormati agama lain, bersifat sederhana serta amalan-amalan yang mencerminkan nilai-nilai yang baik.

Umat Islam di tanahair tercinta ini perlu faham, bahawa peradaban inilah yang mampu mengatasi segala ancaman dari puak-puak fasiq dan munafiq, yang kian lama kian bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, semata-mata kerana dijanjikan kuasa, wang dan kedudukan sekiranya berjaya memecah-belahkan umat Islam.

Sekiranya asas-asas peradaban ini tidak diendahkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam konteks kepimpinan negara, dan sekiranya pemimpin-pemimpin tersebut terus-menerus membelakangkan nilai peradaban Islam demi mengejar kuasa, wang dan kedudukan, maka sudah tentu ia akan menjurus ke arah keruntuhan sesebuah tamadun Islam yang terulung di rantau Asia Tenggara dan tersungkurnya suatu peradaban Islam yang terulung di bumi Allah ini.

Asas-asas peradaban inilah yang telah lama diperjuangkan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, yang saban tahun menekankan akan perlunya umat Allah memiliki sifat kesederhanaan dan toleransi dalam bermuzakarah kearah penyatuan ummah.

Malangnya, sifat-sifat murni yang dimiliki pemimpin seperti Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang inilah yang menjadi nadi penggerak kepada puak-puak fasiq dan munafiq, yang memperkasakan usaha mereka untuk memperlagakan pemimpin-pemimpin Melayu-Islam demi mengejar kuasa, wang dan kedudukan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Wujudnya puak-puak fasiq dan munafiq yang berkepentingan ini telah menjurus kepada perpecahan ummah dan secara tidak langsung membuka ruang kepada kelompok-kelompok politik pimpinan bukan Islam seperti DAP, untuk memperlagakan pemimpin-pemimpin Melayu-Islam kearah kesesatan aqidah.

Tingkah-laku beberapa pemimpin dari kelompok-kelompok politik pimpinan kaum bukan Islam inilah yang telah menyebabkan pemimpin-pemimpin dari PAS dan UMNO mencurah lebih banyak tenaga selama berdekad lamanya untuk membuktikan ‘ke-Islaman’ masing-masing daripada berusaha untuk menyatukan ummah menerusi muzakarah perpaduan.

Tidak dapat dinafikan, bahawa ketidakmampuan UMNO untuk berkerjasama dengan PAS telah juga didorong oleh pemimpin-pemimpin berkepentingan dari kedua-dua parti tersebut, yang tidak pernah jemu mematahkan segala apa usaha kerjasama yang dirancang barisan kepimpinan masing-masing, kerana khuatir, akan dipinggirkan sekiranya parti-parti tersebut bergabung.

Alangkah sedihnya, bahawa tindak-tanduk puak-puak berkepentingan ini akhirnya menjurus kepada berpecahnya PAS dan UMNO dan tertubuhnya parti-parti yang entah ke mana nilai peradaban Islamnya, seperti Amanah, PKR dan PPBM.

Malah, wujudnya parti Amanah pimpinan golongan yang saya kira sesat dari segi keimanan barisan kepimpinannya kepada Allah SWT merupakan contoh yang paling baik bagi menjelaskan bagaimana puak-puak politik pimpinan kaum bukan Islam seperti DAP berjaya memperlagakan pemimpin-pemimpin Melayu-Islam, sehinggakan wujudnya dua parti Islam (PAS dan Amanah) yang masing-masing mengakui bahawa Islam merekalah yang lebih hebat.

Perpecahan parti-parti pimpinan Melayu-Islam seperti inilah yang akhirnya mengucar-kacirkan suasana politik tempatan, sehinggakan wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam baik di arena politik kebangsaan mahupun di peringkat perkampungan dan institusi kekeluargaan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Sudah sampai masanya kaum Melayu-Islam mengambil satu langkah ke belakang dan mengimbas kembali kesilapan-kesilapan lampau, sambil berkata, “cukuplah, cukuplah kami diperlagakan sebegini sehingga tersungkurnya parti-parti pimpinan Melayu-Islam di tanahair sendiri.”

Ya, katakanlah, bahawa sudah cukup kami dipaksa melutut dan meminta belas kasihan dari golongan-golongan fasiq dan munafiq yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin bukan-Islam yang tertentu untuk memecah-belahkan ummah, sehingga tersungkurnya satu peradaban Islam yang terulung di bumi Allah ini.

Lafazkanlah, wahai hamba Allah, bahawa sudah cukup kami bersabar, kerana setiap jenis kesabaran itu ada hadnya di sisi Allah, di mana kami hamba Allah diwajibkan berjuang demi menegakkan syiar Islam sambil membimbing ummah kearah penyatuan dan kebenaran.

Tidak dapat saya nafikan, bahawa kelompok-kelompok politik pimpinan Melayu-Islam yang sedia ada hari ini mampu bermuzakarah kearah perpaduan dan penyatuan ummah, sepertimana yang disarankan agama Islam dan menurut perintah-perintah Allah SAW.

Tetapi biar apa sekalipun, saya tetap dengan pendirian saya, bahawa selagi tidak wujudnya satu kuasa ketiga dari kalangan rakyat yang mementingkan perpaduan ummah dan kedudukan raja-raja Melayu di sisi perlembagaan, maka selagi itulah kelompok-kelompok pimpinan Melayu-Islam yang sedia ada akan sentiasa dibelengu anasir-anasir jahat yang akan giat berusaha memecah-belahkan kaum Melayu-Islam ke tahap kritikal.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Saya amat yakin, bahawa kuasa-kuasa politik yang sedia ada hari ini sudah tidak mampu lagi menggali semula nilai-nilai peradaban Islam kami, yang satu masa dahulu, bukan hanya terulung di dunia, bahkan digeruni oleh puak penjajah sendiri sehinggakan mereka sanggup menghormati adat-istiadat istana-istana diraja dan membenarkan raja-raja Melayu terus kekal sebagai ketua agama Islam.

Biarpun begitu, bukan niat kami di Gagasan Tiga (G3) untuk menggantikan kuasa-kuasa politik yang sedia ada ataupun bermusuhan dengan parti-parti politik pimpinan bukan Islam, malah kami sanggup berkerjasama dengan mana-mana pihak yang sehaluan dengan kami kearah perpaduan dan penyatuan ummah serta permuafakatan sejagat dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum.

Justeru itu, saya menyeru kepada kaum Muslimin dan Muslimat sekalian, supaya sama-sama kita raikan tertubuhnya Gagasan Tiga (G3) ini, yang misi utamanya tak lain tak bukan adalah untuk menjurus kearah tertubuhnya satu barisan kepimpinan Islam yang berusaha giat untuk memperkasakan institusi diraja, di samping memelihara kesucian agama Islam, memupuk penyatuan orang Melayu dan menjaga kebajikan ummah.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Gagasan tiga (G3), kerana diberi kepercayaan dan mandat menerajui gabungan NGO-NGO yang terbesar yang pernah termetrai dalam sejarah tanahair kita ini. Saya dengan ini mengishtiharkan Gagasan Tiga (G3) sebagai satu usahasama yang wujud kearah kesejahteraan sejagat, dan mengalu-alukan pihak media untuk bersama-sama meraikan perutusan rasmi yang bakal dibuat Lembaga Pengarah Kebangsaan (LPK) Gagasan Tiga (G3) pada 21hb November 2018.

Ayuh, saudara-saudari seagamaku, sebangsaku, marilah kita bersama-sama renungi maksud Surah Ali ‘Imran, Ayat 26. Ianya tidak akan datang sendirian, melainkan kita sendiri berusaha kearah apa yang tertulis dalam maksud ayat tersebut:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...