
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
AsSalamualaikum dan Salaam Sejahtera
1. Semalam, 10.04.2020, HARIAN METRO bertajuk “Pengerusi GLC diumum minggu depan?” telah melaporkan:
“BEBERAPA pemimpin disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam waktu terdekat.”
2. Di dalam Laporan media yang sama, disenaraikan juga beberapa nama Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN PERIKATAN NASIONAL (PN) yang dikatakan akan dilantik menerajui Agensi Persekutuan/GLC berkaitan. Satu senarai nama-nama Pengerusi 20 Agensi Persekutuan/GLC juga telah tertular dalam media sosial sejak sehari dua yang lalu.
3. Sekiranya Laporan HARIAN METRO 10.04.2020 dan tularan media sosial itu adalah BENAR, yang mana tidak dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan PN sehingga tulisan ini, maka satu PERSOALAN penting yang perlu ditanya di tahap ini adalah:
“Adakah pelantikan Pengerusi Agensi Persekutuan/GLC semasa musim COVID-19 dan PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) ini satu tindakan yang munasabah ?”
4. Sebelum saya menjawab PERSOALAN di atas, saya perlu nyatakan bahawa ianya adalah HAK mana-mana Kerajaan Persekutuan untuk menentukan bahawa Peneraju mana-mana Agensi Persekutuan/GLC akan menuruti polisi ataupun wawasan Kerajaan Persekutuan itu, maka isu tentang peletakan jawatan secara sukarela ataupun pemberhentian pelantikan mana-mana Pengerusi Agensi Persekutuan/GLC itu tidak dipersoalkan sama sekali.
4. Walhal, selepas penukaran Kerajaan Persekutuan daripada PH kepada PN pada 01.03.2020, dan setelah diumumkan senarai Jemaah MENTERI baru pada 09.03.2020, saya sendiri secara sukarela telah meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi PERDA melalui surat peletakan jawatan bertarikh 13.03.2020 yang berkuatkuasa mulai 14.03.2020, kerana MANDAT lantikan saya itu telahpun tamat, dan untuk membolehkan Kerajaan Persekutuan PN menentukan hala tuju PERDA diterajui oleh individu yang mereka bebas pilih sendiri.
5. Namun, ianya tidak bermakna bahawa dalam hal keadaan negara kita sedang diancam dengan gejala COVID-19 sekarang ini, dan dalam kewujudan PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN sejak 18.03.2020 yang kini dilanjutkan sehingga 28.04.2020, dan besar kemungkinan dilanjutkan lagi selepas daripada ini, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri TS MUHYIDDIN YASSIN dalam ucapannya semalam, 10.04.2020, maka saya nyatakan secara JUJUR dan OBJEKTIF sememangnya TIADA KEPERLUAN di masa ini untuk mengisi kekosongan itu dengan melantik Pengerusi Agensi Persekutuan /GLC pada masa COVID-19 dan PKP ini, atas alasan-alasan berikut :
(a)(i) Kebanyakan daripada Agensi Persekutuan /GLC sememangnya adalah tertakluk dengan PKP dan tidak dapat menjalankan operasi harian biasa mereka, sampaikan saya difahamkan ada juga antara mereka seperti PERDA, sudah diberi arahan untuk tidak membenarkan kerja harian dan aktiviti biasa Agensi itu dijalankan samada di Pejabat ataupun lokasi lain aktiviti biasa, dan warga kerja dinasihatkan berada dan bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP itu.
(a)(ii) Maka di manakah keperluan untuk melantik Pengerusi untuk menerajui Agensi Persekutuan/GLC berkaitan, pada masa ini ??!!
(a)(iii) Walhal, pihak Pengurusan, Pegawai dan Warga Kerja yang sedia ada di Agensi Persekutuan/GLC itu, seperti PERDA, sememangnya mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk menguruskan kerja harian mereka masing-masing, tanpa lantikan Pengerusi masing-masing pada masa ini.
(b)(i) Pada kebiasaannya, jawatan Pengerusi akan melibatkan pemberian elaun bagi tujuan perjalanan, penginapan dan perbelanjaan lain dalam melaksanakan kerja jawatan itu.
(b)(ii) Maka dengan tiada lantikan Pengerusi untuk menerajui Agensi Persekutuan/GLC berkaitan pada masa inu, bukankah sejumlah wang Rakyat bagi tujuan pembayaran elaun itu, dapat digunakan untuk perbelanjaan penting semasa COVID-19 kini, termasuk perbelanjaan keperluan dan makanan “front liners” mahupun bekalan makanan kepada yang miskin di dalam/luar bandar yang sedang melalui kehidupan penuh dugaan tanpa akses untuk mencari sesuap nasi dalam tempoh PKP ini ??!!
(c)(i) Dengan Rakyat diminta untuk mematuhi dengan ketat syarat-syarat pergerakan di bawah PKP, adakah ianya ADIL dan SAKSAMA untuk Kerajaan Persekutuan sendiri membuat pergerakan dan percaturan POLITIK untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN PN melalui pelantikan-pelantikan yang dilaporkan itu ??!!
(c)(ii) Bukankah yang ADIL dan SAKSAMA adalah untuk kesemua pihak dalam POLITIK samada PN ataupun PH mahupun parti-parti komponen dalam PN ataupun PH melaksanakan GENCATAN GERAKAN POLITIK semasa COVID-19 dan PKP kini !!
(c)(iii) Dengan Ahli-Ahli Perlimen berkenaan tidak pun dapat melaksanakan tanggungjawab utama mereka untuk hadir bersidang di Dewan Rakyat sehingga sekurang-kurangnya 18.05.2020, apakah keperluan mereka dilantik dengan tugasan sekunder sebagai Pengerusi Agensi Kerajaan/GLC yang bukannya pun tujuan utama mereka dipilih sebagai Wakil Rakyat ??!!
(d) Bukankah prinsip KEDAULATAN UNDANG-UNDANG (Rule of Law) tidak benarkan perbezaan dalam pemakaian undang-undang atau peraturan antara RAKYAT BIASA dan AHLI POLITIK?
7. Hatta, adalah disarankan agar Kerajaan Persekutuan TANGGUHKAN PELANTIKAN mana-mana lantikan Pengerusi Agensi Persekutuan/GLC selepas tamat COVID-19, dan selepas tamat tempoh PKP kelak.
BERANI KERANA BENAR,
DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA
