Hanya Agong, parlimen tentukan kedudukan PM

Kesemua 18 Ahli Parlimen PAS tidak akan menyokong sekiranya ada Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri. Sumber (gambar): Fail TTF

Dato’ Takiyuddin Hassan

GESAAN pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut. Ini merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak.

Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga (3) keadaan:


1. Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela;

2. Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat; dan

3. Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam konteks sekarang, sekiranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah (simple majority), ini secara tidak langsung membawa maksud Tun Dr Mahathir telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya ini adalah benar, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya segera mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut. Beliau juga boleh membawa Usul Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, maka Perdana Menteri mempunyai dua (2) pilihan, iaitu meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya.

Maka di sini ditegaskan sekali lagi bahawa kesemua 18 Ahli Parlimen PAS tidak akan menyokong sekiranya ada Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri.

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...