
“Muhyiddin dijangka akan cuba berunding dengan Mahathir dan ahli-ahli parlimen pembangkang dulu bagi membincangkan kemungkinan pembangkang dan PPBM membentuk kerajaan. Jika rundingan ini berlaku tetapi gagal, Muhyiddin berkemungkinan besar akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri bagi mengelakkan kemungkinan kluster mahkamah mempengaruhi kerajaan dan bersetuju diadakan Mageran”
Raggie Jessy Rithaudeen
هاڽ ساتو سبب محي الدين سوكوڠ اسماعيل صبري، ايت ڤون دجڠك تيدق برتاهن لاما
Sertai saluran Telegram TTF di sini
PPBM sudah mula berpecah susulan Langkah Royale Chulan di mana sekutu rapat Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ismail Sabri, dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Biarpun Perikatan Nasional memiliki perwakilan lebih besar berbanding Barisan Nasional dalam kerajaan gandingan kedua-dua gabungan itu, PPBM dibuli di Perak apabila Menteri besar dari parti itu digantikan dengan seorang daripada UMNO dalam rampasan kuasa yang dicatur oleh presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kini, presiden PPBM pula hilang jawatan Perdana Menteri tetapi masih sanggup bekerjasama semula dengan pihak yang mencatur penggulingannya.
Kenapa Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan pihak (UMNO) yang menggulingkannya sebanyak dua kali (2016 dan 2021)?
Berdasarkan apa yang saya difahamkan, Muhyiddin sedang membeli masa sementara PPBM melakukan percaturan-percaturan tertentu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Muhyiddin sedar bahawa PPBM tidak memiliki sokongan akar umbi, dan perkara ini terbukti tidak lama selepas Pilihan Raya Kecil Slim di mana Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
Susulan pengumuman itu, PPBM menyaksikan pengunduran lebih 75 peratus pemimpin bahagian dan lebih 80 peratus akar umbi parti itu di seluruh negara, di mana semua yang berundur mengisytiharkan sokongan padu mereka terhadap prinsip perjuangan Mahathir.
Kawasan Parlimen Pagoh yang dipegang Muhyiddin turut goyang dengan pengunduran ramai ahli parti dan pemimpin-pemimpin bahagian.
Jadi misi asal Muhyiddin adalah untuk kuasai UMNO?
Ya.
Muhyiddin sedar bahawa PPBM berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas ehsan bantuan jentera Pilihan Raya PKR dan DAP dan menerusi sokongan penyokong tegar kedua-dua parti berkenaan.
Atas dasar inilah Muhyiddin cuba mempengaruhi ahli-ahli parlimen UMNO dengan jawatan menteri kanan dan pengerusi syarikat-syarikat penting berkait kerajaan dengan harapan ahli-ahli parlimen ini akan memihak kepadanya.
Muhyiddin berharap bahawa langkah ini akan memampukannya menguasai UMNO menerusi proksinya dalam parti itu pada pemilihan UMNO atau EGM agar PPBM akan memiliki jentera Pilihan Raya UMNO dan Barisan Nasional.
Untuk ‘memiliki’ jentera ini, Muhyiddin merancang dari awal lagi untuk menggabungkan UMNO dan PPBM untuk membentuk parti UMNO-BERSATU, atau UMNO 3.0.
Namun, apabila diberi kata putus oleh Zahid, Muhyiddin terpaksa melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membeli masa sementara beliau mencatur untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen PKR dan DAP.
Apakah kata putus Zahid?
Zahid mengugut untuk menarik sokongan UMNO terhadap kerajaan dan Muhyiddin melainkan Muhyiddin bersetuju dengan syarat-syarat tertentu, termasuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.
Walaupun Muhyiddin tahu pengaruh Zahid dalam UMNO tidak begitu besar, beliau sedar ada di kalangan ahli-ahli parlimen dari parti itu akan bersetuju untuk menarik sokongan terhadap kerajaan.
Ini kerana ramai ahli parlimen dalam UMNO tidak menyukai PPBM dan ingin mengelakkan situasi di mana Muhyiddin berjaya menguasai UMNO menerusi bantuan proksinya dalam parti itu.
Jadi Muhyiddin mengalah?
Tidak.
Sebaliknya, Muhyiddin membeli masa.
Muhyiddin tidak ingin memasuki sebarang perjanjian dengan Najib atau Zahid dan lebih rela meletakkan jawatan sebagai perdana menteri (sekiranya ahli-ahli parlimen dari UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan) seandainya beliau gagal mendapatkan sokongan pembangkang.
Setelah meletakkan jawatan, Muhyiddin berharap Pakatan Harapan akan mempelawa PPBM kembali bersama gabungan itu untuk membentuk kerajaan baharu.
Tetapi disebabkan kepimpinan Pakatan Harapan berdegil untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mengarahkan semua ahli parlimen PPBM untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Apabila kepimpinan UMNO yakin bahawa PPBM akan menyokong Ismail Sabri, arahan dikeluarkan agar semua ahli parlimen UMNO menyokong calon yang sama dan mengenepikan perbezaan sesama sendiri demi mengembalikan UMNO ke tampuk kepimpinan negara.
Atas arahan inilah Ismail Sabri berjaya dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-9, dan menerusi langkah inilah PPBM mengelakkan undi UMNO berpecah agar Anwar tidak mampu dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Jadi, langkah PPBM sokong Ismail Sabri adalah untuk mengelakkan kemungkinan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri?
Ya.
Muhyiddin khuatir ahli-ahli parlimen dari kem Zahid akan tiba-tiba menyokong Anwar jika Ismail Sabri tidak mendapat sokongan dalam bilangan yang mencukupi untuk melayakkan dirinya sebagai Perdana Menteri.
Justeru, langkah PPBM boleh disifatkan sebagai langkah mengelakkan kemungkinan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, bukannya langkah untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Inilah sebabnya Muhyiddin mengumumkan tidak lama selepas upacara menghadap Yang Di-Pertuan Agong oleh 114 ahli parlimen Perikatan Nasional dan Barisan Nasional bahawa sokongan Perikatan Nasional terhadap Ismail Sabri adalah bersyarat.
Bagi Muhyiddin, beliau tidak kisah jika Yang Di-Pertuan Agong menolak sokongan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional terhadap Ismail Sabri atas dasar ianya bersyarat dan melantik Mahathir sebagai pengerusi Mageran, asalkan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.
Tetapi memandangkan Yang Di-Pertuan Agong menerima juga sokongan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional walaupun bersyarat, Muhyiddin dijangka tidak akan mengekalkan sokongannya terhadap Ismail Sabri bagi satu tempoh masa yang lama.
Kerana Muhyiddin takut PPBM akan ditelan UMNO?
Ya.
Sebilangan tertentu ahli-ahli parlimen PPBM dijangka akan beralih ke UMNO jika Muhyiddin terus berdiam diri dan mengekalkan sokongannya terhadap Ismail Sabri biarpun PPBM dimalukan oleh UMNO.
Ahli-ahli parlimen ini tahu bahawa PPBM ketandusan akar umbi dan jentera pilihan raya dan akan pupus terus ketika pilihan raya umum ke-15 jika kekal sebagai sekutu Barisan Nasional.
Mereka juga sedar bahawa PAS akan kembali bersekutu dengan UMNO kerana tidak ada logik PAS berpaut pada PPBM lagi.
Justeru, Muhyiddin dijangka akan cuba berunding dengan Mahathir dan ahli-ahli parlimen pembangkang dulu bagi membincangkan kemungkinan pembangkang dan PPBM membentuk kerajaan.
Jika rundingan ini berlaku tetapi gagal, Muhyiddin berkemungkinan besar akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri bagi mengelakkan kemungkinan kluster mahkamah mempengaruhi kerajaan dan bersetuju diadakan Mageran.
Logiknya, Muhyiddin yang selama ini berdendam dengan Najib dan UMNO kerana mencantasnya enam tahun lalu tidak akan berdiam diri setelah dicantas buat kali kedua, dan kita sedia maklum pekat mananya dendam Muhyiddin terhadap UMNO.
