
“Rakyat Jaga Rakyat, Pemimpin Jaga Poket” bukanlah “kata-kata kesat,” khususnya jika kita kaitkan dengan lanskap politik terkini. Saya sendiri bersetuju, bahawa “Rakyat Jaga Rakyat, Menteri Jaga Poket.” Ini pandangan ikhlas dari saya”
Raggie Jessy Rithaudeen
هنتيكن كظاليمن، جاڠن بولي رعيت
Baru-baru ini, kemunculan kain rentang dengan ungkapan “Rakyat Jaga Rakyat, Menteri Jaga Poket” disifatkan sebagai “kata-kata kesat” oleh pihak tertentu yang mendakwa ianya satuk bentuk penghinaan terhadap pemimpin.
Di sini, ingin saya tegaskan, ungkapan sedemikian bukanlah “kata-kata kesat” sepertimana yang didakwa, tetapi kebenaran dari satu sudut berdasarkan perkembangan politik masakini dan apa yang dicerminkan oleh kepimpinan negara pada ketika ini.
Ya, saya sendiri bersetuju dengan ungkapan ini berdasarkan pemerhatian peribadi saya, dan ingin tambah, “Rakyat Jaga Rakyat, Menteri Jaga Poket, Negara Makin Hancur.”
Ini bukannya hasutan, tetapi hak saya sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab untuk menyatakan kebenaran agar timbul kesedaran di kalangan mereka yang terkhilaf atau terpesong dari landasan kebenaran.
Jadi jangan salahkan rakyat atau hukum rakyat kerana berkata benar, kerana sesungguhnya, tingkah laku pentadbiran pusat dan menteri-menteri kita sememangnya tersasar jauh, buruk, tidak bertanggungjawab dan mengarut hingga menjadikan keadaan tidak menentu.
Inilah sebabnya rakyat tidak tenteram dan meluat dengan kepemimpinan negara.
Hukumlah pentadbiran pusat, hukumlah kerajaan persekutuan. Hukumlah pemimpin yang putarbelit Agama untuk halalkan kesalahan menteri.
Hukumlah pemimpin yang melanggar terus perundangan negara berhubung isu sensitif dengan menghina penganut Agama Kristian.
Hukumlah pemimpin yang rakus kuasa hingga sibuk cuba jatuhkan kerajaan negeri yang dipilih rakyat tatkala rakyat ditimpa kesusahan disebabkan wabak Covid-19.
Hukumlah pemimpin yang menggunakan dana milik negara dan rakyat untuk mengayakan diri masing-masing menerusi pengagihan jawatan tak tentu hala tatkala ramai pengusaha bankrap dan sengsara disebabkan wabak Covid-19.
Hukumlah pemimpin yang terang-terang melanggar SOP ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sabah hingga mengancam nyawa rakyat tatkala orang awam disaman, diheret ke mahkamah atau ditahan hampir setiap hari kerana kesalahan-kesalahan kecil, termasuk kesalahan “tidak memakai topeng muka dengan cara yang betul.”
Hukumlah pihak yang menaikkan kain rentang secara haram di tempat awam tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa.
Tetapi janganlah hukum mereka yang berkata “Rakyat Jaga Rakyat, Menteri Jaga Poket,” kerana dari kaca mata banyak pihak, ungkapan ini memberikan gambaran tepat apa yang dialami oleh rakyat pada ketika ini.
Allah selamatkanlah Malaysia, maafkanlah pemimpin-pemimpin yang terpesong ini.
Halakan mereka ke landasan yang benar agar mereka mendapat kekuatan untuk menghentikan “politik darjat,” “politik petik dalil” dan “politik wang, kuasa serta kedudukan” yang mengancam Agama, Bangsa dan Negara.
Jangan dibuli rakyat lagi.
Janganlah pula pemimpin yang melabelkan dirinya lebih ‘Islamik’ daripada orang lain kerana duduk dalam parti ‘Islam’ menegur pemimpin lain “hilang jati diri” sedangkan pemimpin partinya sendiri terpesong aqidah hingga diberi ‘tiket percuma’ untuk petik dalil dan menghalalkan segala yang haram.
Sesungguhnya, saya tidak takutkan pemimpin, khususnya yang tersasar dari landasan kebenaran, kerana pemimpin itu sekadar manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.
Yakinilah, bahawa pemimpin yang tidak boleh ditegur, dibawa berbincang atau mengaku kekhilafannya tidak layak bergelar pemimpin, jauh sekali “pemimpin rakyat” atau “pemimpin Islam.”
Janganlah sesekali cuba menghalang mereka yang melakukan kerja Allah, kerana sesungguhnya, mereka yang benar-benar sayangkan Agama, Bangsa dan Negara tidak akan takut untuk berjuang demi kebenaran.
Kami pejuang.
Kami hanya takutkan Allah SWT, dan kepada Nya kami berserah. Anda juga tidak harus takutkan pemimpin yang terpesong aqidahnya hingga sanggup melakukan segala yang terlarang tatkala rakyat dipaksa memuju mereka. Berani kerana benar, selebihnya serah kepada Allah.
Mukadimah: “Rakyat Jaga Rakyat, Pemimpin Jaga Poket” bukanlah “kata-kata kesat,” khususnya jika kita kaitkan dengan lanskap politik terkini. Saya sendiri bersetuju, bahawa “Rakyat Jaga Rakyat, Menteri Jaga Poket.”
Ini pandangan ikhlas dari saya.
Wallahu A’lam
