Hubungan Goldman Sachs, 1MDB, Najib, Jho Low – Kisah penipiuan luar biasa meliputi empat benua (Pendedahan)

Apabila skandal 1MDB meletup di media antarabangsa, Najib mula memberi tekanan kepada media arus perdana tempatan yang melaporkannya dan bertindak memecat beberapa individu yang memulakan siasatan terhadapnya, termasuk Peguam Negara. Sumber (gambar): Fail TTF

“Dalam cerita Rolling Stone, Matt Taibbi menyifatkan Goldman Sachs sebagai “sotong pontianak yang hebat” yang menghisap wang dan bukannya darah, dan merangka “setiap manipulasi pasaran utama sejak Kemelesetan Ekonomi Terbesar dalam sejarah”

Raggie Jessy Rithaudeen

هوبوڠن ڬولدمن ساچهس دڠن 1مدب، نجيب، جهو لوو – ڤنيڤيوان لوار براسا مليڤوتي امڤت بنوا

Kerap kali bila nama Goldman Sachs dikaitkan dengan sebuah syarikat pendanaan dan pelaburan milik sesebuah negara, sesuatu buruk akan berlaku.

Di Malaysia, pihak kerajaan menuduh Goldman membantu sebuah syarikat pendanaan dan pelaburan miliknya, 1MDB, mencuri berbilion dollar milik negara.




Persoalannya, siapakah Goldman Sachs, dan apakah hubungkait bank ini dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Jho Low dan skandal 1MDB?

Goldman Sachs

Goldman Sachs, atau “The Goldman Sachs Group, Inc.,” merupakan sebuah bank pelaburan multinasional di Amerika Syarikat dan perniagaan perkhidmatan kewangan yang beribu pejabat di New York.

Ia menduduki tempat ke-2 dalam senarai bank pelaburan di dunia dari sudut perolehan dan berada di tangga ke-59 dalam senarai Fortune 500 syarikat terbesar di Amerika Syarikat.

TONTON: PENDEDAHAN TERKINI ISU ‘TANAH NAJIB’

Goldman banyak melibatkan diri dengan syarikat-syarikat pendanaan dan pembangunan mencurigakan milik negara-negara yang kurang demokratik.

Sebelum skandal 1MDB meletup, Goldman, yang diasaskan pada tahun 1869, tidak pernah sekalipun mengaku bersalah dalam tempoh lebih 150 tahun ianya ditubuhkan, walaupun kerap dikaitkan dengan skandal dan salah laku.

Ini termasuk peranannya sebagai salah sebuah organisasi pencetus krisis perumahan Amerika Syarikat pada 2008, yang menjurus kepada krisis kewangan global.

Pada ketika itu, Goldman dituduh mengelirukan pelaburnya dan mendapat keuntungan lumayan daripada kejatuhan pasaran rumah tergadai.

Loading...

Ini menjurus kepada siasatan oleh Kongres Amerika Syarikat dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta tuntutan mahkamah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat, menyebabkan Goldman terpaksa membayar sebanyak AS$550 juta sebagai penyelesaian.

Pada tahun 2011, panel Senat Amerika Syarikat mengeluarkan laporan yang menuduh Goldman mengelirukan pelanggan dan terlibat dalam konflik kepentingan, namun Goldman menafikan dakwaan ini.

Dalam cerita Rolling Stone, Matt Taibbi menyifatkan Goldman Sachs sebagai “sotong pontianak yang hebat” yang menghisap wang dan bukannya darah, dan merangka “setiap manipulasi pasaran utama sejak Kemelesetan Ekonomi Terbesar dalam sejarah.

Inilah Goldman Sachs, dan anehnya, Najib beriya-iya hendak melakukan perniagaan bersamanya, biarpun pegawai bank tersebut sentiasa dikaitkan dengan pelbagai skandal mencurigakan yang membawa kesan buruk kepada syarikat atau negara yang berurusan dengannya.

Goldman Sachs dan 1MDB

Skandal 1MDB menjadikan Malaysia terkenal di seluruh dunia kerana melibatkan empat benua dan berbilion dollar Amerika, di samping pemilikan barang-barang kemas, penajaan filem Hollywood dan pesta-pesta yang lebih mewah dan meriah berbanding majlis kenamaan terkemuka di dunia.

Ia turut melibatkan pembelian 14 keping tiara (sejenis barang kemas yang teramat mahal), piala Oscar milik pelakon terkenal Marlon Brando, seutas rantai berlian bernilai AS$27 juta, sebuah piano mahal buat Miranda Kerr (model terkenal) dan sebuah kapal mewah, antara lain.

Skandal ini turut dikaitkan dengan Leonardo Di Caprio (pelakon Hollywood terkenal), Paris Hilton (pelakon Hollywood terkenal), sebuah kapal mewah dan Psy (penyanyi lagi Gangnam Style).

Ini hanyalah cebisan dariapada berpuluh-puluh dakwaan melibatkan perbelanjaan lumayan, pemilikan luar biasa dan penglibatan selebriti yang dikaitkan dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta seorang lagi ahli keluarga Najib.

Goldman pada awalnya menafikan penglibatannya dalam skandal 1MDB, namun akhirnya, mengaku bersalah terhadap konspirasi melanggar undang-undang Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (Foreign Corrupt Practices Act) Amerika Syarikat (AS).

Dengan itu, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 billion (RM12.02 billion) bagi mengakhiri siasatan berhubung peranannya dalam skandal rasuah 1MDB.

Menurut BBC, Goldman mengaku di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) yang pihaknya perlu membayar lebih AS$1 billion bagi tujuan merasuah untuk memenangi kerja “menjaga kepentingan kekayaan milik Malaysia.”

Kemunculan Jho Low

1MDB asalnya bermula sebagai Terengganu Investment Authority (TIA), yang diasaskan pada 2008 oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said.

Pada 27hb Mei 2009, hanya sebulan lebih selepas Najib menjadi Perdana Menteri, Ismee Ismail dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju menandatangani satu perjanjian yang diatur oleh AmInvestment Bank Bhd untuk mengumpul RM5 bilion melalui terbitan nota Islamik jangka sederhana (IMTN).

Ismee dan Shahrul meneruskan perjanjian itu walaupun dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian oleh kerajaan negeri Terengganu.

Ini kerana Shahrol dan Ismee terpaksa mendengar nasihat Jho Low, yang tiba-tiba muncul entah dari mana dan dilantik terus sebagai penasihat TIA, hanya lima hari setelah Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Jho Low pada ketika itu berumur 27 tahun.

Pada 29hb Mei, TIA menerima RM4.385 bilion daripada IMTN yang diterbitkannya.

Dua bulan kemudian, pada 31hb Julai, Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOFI) di bawah arahan Najib mengambil alih TIA dan meminda namanya kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagi menarik pelabur, Jho Low dibenarkan untuk berucap di sebuah majlis penting, di mana beliau memberitahu pelabur bahawa 1MDB diasaskan untuk membantu Malaysia membina infrastruktur dan meningkatkan pembangunan.

Ramai pelabur terbeli dengan penampilan Jho Low, namun akhirnya, beliau menaja pesta-pesta luarbiasa mewah melibatkan selebriti terkenal Hollywood dan membeli hartanah, lukisan mewah, kapal mewah serta jet peribadi menggunakan dana pelabur-pelabur itu.

Kegiatan Jho Low dan Najib akhirnya terbongkar

Di sekitar tahun 2015 dan 2016, beberapa laporan yang muncul di seluruh dunia mengesahkan bahawa lebih AS$4.5 bilion dana 1MDB dicuri antara tahun 2009 dan 2014.

Najib dan Jho Low dikaitkan dengan kecurian itu dan didakwa menyeleweng dan mengubah secara haram dana berbilion ringgit untuk pelbagai tujuan, antaranya, membeli barang-barang kemas dan menaja filem Hollywood yang dikaitkan dengan anak tiri Najib, Risa Aziz.

Jho Low didakwa membantu menubuhkan sebuah syarikat produksi filem yang dikawal bersama oleh Riza, yang seterusnya menaja filem Hollywood “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo Di Caprio.

Penglibatan Jho Low terbukti apabila Leonardo Di Caprio, ketika menerima anugerah Golden Globes bagi lakonannya, mengucapkan terima kasih kepada “Riza dan Jho” kerana menjadi “rakan usaha sama” (collaborator) dalam pembuatan filem “The Wolf of Wall Street.”

Najib sudah pun disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyeleweng dana SRC International, sebuah syarikat subsidiari 1MDB, dan masih sedang dibicarakan atas tuduhan mengubah wang haram dan salah guna kuasa melibatkan 1MDB.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, beberapa pegawai 1MDB terlibat sama dan bertindak seolah-olah syarikat pelaburan dan pendanaan milik Malaysia itu merupakan “akaun bank peribadi milik mereka.”

Bagaimanakah Jho Low dan Najib berjaya meyakinkan pelabur?

Dengan melibatkan Goldman Sachs.

Disebabkan Goldman menduduki tempat ke-2 dalam senarai bank pelaburan di dunia dan merupakan bank berkapasiti besar yang sudah wujud 140 tahun (pada 2009), penglibatannya dengan 1MDB menimbulkan persepsi kononnya 1MDB dan pegawainya boleh dipercayai.

Najib dan Jho Low didakwa bekerjasama dengan dua individu yang merupakan pegawai penting Goldman pada ketika itu, iaitu Tim Leissner dan Roger Ng, yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Amerika Syarikat.

Disebabkan 1MDB merupakan syarikat baharu, Goldman membantu memperkenalkan 1MDB kepada sebuah lagi syarikat pendanaan dan pelaburan yang berurusan dengan bank tersebut, iaitu IPIC.

IPIC merupakan syarikat milik Abu Dhabi yang memiliki aset dan kredit berjumlah AS$70 bilion.

Disebabkan Goldman, IPIC bersetuju menjamin bon-bon yang diterbitkan oleh subsidari 1MDB, dan disebabkan penglibatan Goldman (dalam penjualan bon 1MDB) dan IPIC, pelabur menjadi yakin dengan 1MDB.

Dengan cara ini, Goldman berjaya menjana AS$6.5 bilion buat 1MDB, dan rakyat Malaysia diberitahu bahawa dana tersebut bertujuan untuk membeli syarikat penjana kuasa.

Namun, apa yang rakyat tidak diberitahu ialah AS1.4 bilion daripada dana itu dialihkan ke sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, yang seterusnya didakwa membayar semua yang bersubahat menjana dana tersebut.

Goldman berjaya meraijh AS$600 juta dalam bentuk yuran dan perolehan, namun, menurut pakar kewangan, perolehan itu 200 kali nilai yang sepatutnya dalam urusan jual-beli bon melibatkan syarikat kewangan.

Apa yang Najib buat bila skandal 1MDB meletup?

Apabila skandal 1MDB mula-mula meletup di media antarabangsa, Najib menghalang media arus perdana tempatan daripada melaporkannya.

Namun, apabila keadaan sudah tidak terkawal, Najib bertindak memecat beberapa individu yang samada menyoalnya atau memulakan siasatan terhadapnya, termasuk Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Najib dikatakan tidak berpuas hati dengan Gani kerana menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas (Special Task Force atau STF) yang dianggotai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PAC dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pasukan ini ditugaskan untuk melakukan siasatan terhadap 1MDB di samping siasatan-siasatan yang dikendalikan oleh SPRM, PDRM, PAC, AGC dan BNM secara berasingan untuk mengkaji peranan dan penglibatan Najib dalam 1MDB.

Menerusi Pasukan Petugas Khas, segala maklumat dan dokumentasi yang berkait dengan 1MDB dapat dikongsi bersama oleh setiap agensi terbabit tanpa birokrasi lampau, atau kemungkinan satu-satu perkara dirahsiakan oleh mana-mana agensi bagi tujuan ‘menyelamatkan’ 1MDB atau Najib.

Namun, pada bulan Ogos 2015, SPRM mengejutkan satu dunia apabila memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB dibubarkan walaupun siasatan masih berjalan.

Kemudian, pada 4hb Mac 2016, laporan akhir pengauditan 1MDB dan beberapa dokumen lain tiba-tiba diklasifikasikan sebagai “rahsia rasmi” di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) oleh Najib sendiri.

Kesemua ini dilihat sebagai usaha Najib untuk membantut siasatan 1MDB dengan menghadkan kerjasama antara agensi-agensi kerjaaan, berbekalkan alasan kononnya siasatan-siasatan yang dilakukan secara berasingan oleh BNM, PDRM, SPRM, PAC dan AGC sudah memadai.

Persoalannya, bagaimanakah Najib boleh mencapai kesimpulan ini, sedangkan beliau sendiri terlibat dalam syarikat yang disiasat dan tidak seharusnya mencampuri sebarang siasatan?

Jawapannya mudah – sel-sel media yang berkait rapat dengan Najib mencipta terori konspirasi baharu, di mana ketua pesuruhjaya SPRM pada ketika itu, Tan Sri Abu Kassim, didakwa ‘memalsukan’ satu kertas pertuduhan untuk menahan Najib ketika mesyuarat kabinet pada 29hb Julai 2015.

Bersambung…

WAJIB BACA:

Surat terbuka kepada Najib Razak – jangan selindung fakta ini dari rakyat (Pendedahan)



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...