
“Jika kluster Mahkamah cuba untuk menggulingkan Ismail Sabri, DAP dikatakan telah bersetuju untuk menyokong kerajaan agar Ismail Sabri tidak tumbang selagi kes-kes Najib dan Zahid belum diputuskan. Benar atau tidak, Najib tidak mampu mengambil risiko dan kini sedang berbaik-baik dengan Ismail Sabri dengan harapan rancangan asal untuk adakan Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum hujung tahun akan diteruskan”
Raggie Jessy Rithaudeen
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sedar bahawa sokongan pengundi Melayu-Islam terhadap mereka kini berada pada tahap paling lemah.
Bagi meningkatkan peluang memperolehi sekurang-kurangnya 45 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kedua-dua gabungan ini perlu menguasai jentera-jentera pentadbiran negara sehingga parlimen dibubarkan.
Inilah sebabnya PPBM, PAS dan UMNO masih bersetuju untuk bekerjasama.
Disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, beliau diberi taraf menteri walaupun hanya menerajui Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Dengan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN, beliau kini bertanggungjawab mengendalikan satu portfolio yang teramat besar, merangkumi aspek sosial, kesihatan, ekonomi dan politik negara.
Portfolio ini memberikan Muhyiddin akses kepada jentera pentadbiran yang seakan-akan sama besarnya dengan jentera yang dikuasai oleh Perdana Menteri.
Namun, Ismail Sabri tetap memiliki kuasa penentu dalam segala keputusan yang dibuat, dan inilah yang dikejar-kejar oleh Kluster Mahkamah apabila menggulingkan Muhyiddin.
Sebelum ini, Muhyiddin terpaksa menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Majlis Pemulihan Negara tanpa memberi peluang kepada UMNO.
Beliau terpaksa berbuat demikian kerana PPBM tidak memiliki akar umbi atau jentera Pilihan Raya seperti UMNO.
Dengan melantik dirinya sebagai pengerusi MPN, Muhyiddin mempunyai alasan kukuh untuk menggembangkan jentera pentadbiran negara bagi membantu MPN dengan dana tambahan dari kerajaan pimpinannya sendiri.
Dengan adanya jentera dan dana tambahan ini, Kluster Mahkamah khuatir Muhyiddin tidak lagi memerlukan jentera Pilihan Raya UMNO dan hanya akan bubarkan parlimen setelah kes-kes mahkamah Zahid dan Najib diputuskan.
Atas sebab inilah Najib dan Zahid mencetuskan “Langkah Royale Chulan” – mereka ingin menggulingkan Muhyiddin dan menggantikannya dengan seorang Perdana Menteri dari UMNO yang akan menurut segala keputusan Kluster Mahkamah.
Zahid dan Najib ingin memastikan dua perkara:
1. Jentera pentadbiran negara tidak dimonopoli oleh Muhyiddin, dan
2. Perikatan Nasional sentiasa memerlukan sokongan Kluster Mahkamah.
Namun, sudah timbul kesedaran di kalangan kluster menteri (UMNO) bahawa Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak lagi perlu bergantung kepada Kluster Mahkamah.
Kluster Menteri yakin bahawa formula kerjasama yang ada sekarang antara Ismail Sabri dan Muhyiddin akan memampukan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengekalkan target pencapaian minima 45 kerusi (jumlah) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 biarpun Najib dan Zahid didapati bersalah.
Ini kerana Perikatan Nasional dan Barisan Nasional akan mendapat sedikit sebanyak sokongan dari sekumpulan pengundi yang dahulunya menyokong Barisan Nasional tetapi beralih ke pembangkang kerana menolak Kluster Mahkamah.
Sokongan tambahan ini berserta kekuatan jentera pentadbiran di bawah pengaruh bersama Ismail Sabri (menerusi Jabatan Perdana Menteri) dan Muhyiddin (menerusi MPN) akan mampu mengatasi pengunduran sebahagian penyokong “Bossku” yang mungkin marah kerana Ismail Sabri tidak membantu Najib.
Inilah yang sedang merungsingkan Najib.
Saya difahamkan, Najib pada awalnya bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN kerana pelantikan ini dapat digunakan sebagai alasan untuk mendesak parlimen dibubarkan selepas status Covid-19 diubah dari “pandemik” ke “endemik” (baca pendedahan penuh di bawah).
BACA PENDEDAHAN PENUH DI SINI
Namun, Kluster Mahkamah kini bimbang bahawa Ismail Sabri terpengaruh dengan Muhyiddin dan tidak cenderung ke arah pembubaran parlimen sebelum kes-kes Mahkamah Zahid dan Najib diputuskan.
Jika kluster Mahkamah cuba untuk menggulingkan Ismail Sabri, DAP dikatakan telah bersetuju untuk menyokong kerajaan agar Ismail Sabri tidak tumbang selagi kes-kes Najib dan Zahid belum diputuskan.
Benar atau tidak, Najib tidak mampu mengambil risiko dan kini sedang berbaik-baik dengan Ismail Sabri dengan harapan rancangan asal untuk adakan Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum hujung tahun akan diteruskan.
WAJIB BACA:
Pelantikan Muhyiddin terancang, Pilihan Raya Umum dijangka sebelum hujung tahun
