“Najib terang-terang melakukan penipuan dengan menampilkan fakta yang ‘positif’ terhadap dirinya dan menyelindungi fakta yang ‘negatif’, barangkali bagi menimbulkan persepsi palsu dan mengelirukan penyokongnya”
Raggie Jessy Rithaudeen
هورايان ترڤرينچي 3 ڤنيڤوان نجيب، ترماسوق فتنه ترهادڤ كراجأن ڤيمڤينن محضير
Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya makin cekap memutar belit fakta agar penyokong beliau keliru dan tidak nampak masalah sebenar yang ditimbulkannya.
Izinkan saya memberikan tiga contoh terkini:
1. Isu hutang 1MDB
Semalam, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Menurut Najib, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat, tetapi sebaliknya, wang yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.
Dari satu sudut, memang tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan SETAKAT INI untuk membayar prinsipal 1MDB.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Namun, apa yang Najib gagal nyatakan atau sengaja tidak nyatakan ialah hakikat, bahawa Malaysia sedang membuat bayaran faedah tertunggak hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion menggunakan duit rakyat.
TONTON: ANDA SUDAH DITIPU
Najib sedia maklum bahawa hutang prinsipal 1MDB masih belum dibayar kerana ia melibatkan terbitan bon oleh subsidari 1MDB yang belum matang dan tidak perlu dibayar lagi.
Jika diambil kira jumlah faedah dan hutang prinsipal 1MDB, Malaysia masih berhutang lebih kurang RM38.8 bilion, manakala sejumlah RM12.8 bilion lagi sudah pun dibayar menggunakan duit rakyat.
Ini yang Najib gagal jelaskan.
Najib juga gagal memaklumkan bahawa bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs merupakan penalti yang perlu dibayar oleh bank tersebut kerana menyeleweng dana 1MDB.
Jumlah tersebut dan jumlah RM23 bilion yang dimaksudkan oleh Najib dalam penghujahannya di Dewan Rakyat tidak memadai untuk menampung pembayaran balik jumlah keseluruhan hutang 1MDB (prinsipal dan faedah) sebanyak RM52 bilion.
Di sini, Najib terang-terang melakukan penipuan dengan menampilkan fakta yang ‘positif’ terhadap dirinya dan menyelindungi fakta yang ‘negatif’, barangkali bagi menimbulkan persepsi palsu dan mengelirukan penyokongnya.
2. Isu RCI Forex
Pada 27hb Oktober 2021, Najib menulis:
“….semasa Tun menjawat sebagai PM7, kerajaan PH telah menarik balik laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kehilangan dana FOREX BNM sebanyak RM33 bilion (bernilai lebih RM100 bilion sekarang) dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA atau Tiada tindakan lanjut. Dengan itu, seorang pun tidak pernah bertanggung jawab atau didakwa walaupun dana negara yang begitu besar telah lesap tanpa satu sen pernah dikembalikan biarpun RCI telah selesai dilaksanakan.”
Ini fitnah.
Hakikatnya, penarikan balik laporan polis yang dimaksudkan oleh Najib bukannya dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan, tetapi orang yang dicalonkan oleh pejabat Najib sendiri sebagai ahli panel RCI pada ketika Najib masih bergelar Perdana Menteri.
Orang ini tidak lain dan tidak bukan Datuk Dr Yusof Ismail, iaitu Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Najib.
Hakikatnya, Yusof sendiri membuat laporan polis dan Yusof sendiri menariknya, menyebabkan siasatan RCI Forex diklasifikasikan NFA oleh pihak polis, bukannya kerajaan Pakatan Harapan.
Ini sekaligus bermakna Najib telah memfitnah kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Mahathir, dan saya telahpun membuat laporan polis berkenaannya pada 2hb November 2021 di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang jaya.
3. Pendedahan Tim Leissner
Baru-baru ini, media melaporkan keterangan seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs di Mahkamah Amerika Syarikat, berhubung Datuk Seri Najib Tun Razak dan satu pertemuan yang diadakannya bersama bekas CEO bank tersebut, Lloyd Blankfein.
Menurut Tim Leissner, Najib membawa satu agenda dalam pertemuannya bersama Lloyd, di mana Najib meminta peluang kerja diberikan untuk tiga anaknya sebagai balasan kepada perniagaan yang lumayan melibatkan 1MDB.
Keesokkan harinya, anak Najib sendiri, Noryana Najwa, mengakui bahawa dia berjaya mendapatkan pekerjaan dengan bantuan Leissner di TPG Capital, sekaligus mengesahkan hubungan baik Leissner dengan keluarga Najib.
Menurut Noryana, pengenalan kepada TPG dibuat selepas beliau diberitahu bahawa kerja yang dimintanya di Goldman Sachs boleh menjadi konflik kepentingan, memandangkan bank pelaburan itu menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
Ini mengesahkan bahawa anak Najib sememangnya telah cuba untuk mendapatkan pekerjaan di Goldman Sachs dan menimbulkan persoalan jika Leissner akhirnya membantu Noryana mendapatkan kerja di TPG sebagai “trade-off” bagi memenuhi syarat Najib kepada Lloyd.
Apa pun, memandangkan Leissner merupakan pegawai atasan Goldman Sachs yang berurusan dengan 1MDB, dan memandangkan 1MDB dikepalai oleh Najib pada ketika Noryana dibantu oleh Leissner, sudah wujud konflik kepentingan dan kemungkinan salah guna kuasa yang kini wajib disiasat.
Justeru, saya membuat saranan agar pihak-pihak berkaitan di Malaysia mengambil keterangan Najib dan ketiga-tiga anaknya serta mendapatkan bantuan kerajaan Amerika Syarikat bagi menyoal Lloyd dan Leissner.
Dalam pada itu, Najib membuat dakwaan yang tidak berasas dalam Facebook miliknya apabila menulis:
“..tajuk berita media-media tempatan memberi bayangan bahawa saya disogok oleh Goldman Sachs yang tawarkan bagi anak-anak saya bekerja di bank tersebut, apa yang diterangkan oleh saksi bekas eksekutif Tim Leissner ialah CUBAAN mereka untuk menyogok saya.”
Ini palsu, kerana:
1. Tidak ada mana-mana media arus perdana yang saya tahu, yang melaporkan atau memberi bayangan kononnya Najib disogok oleh Goldman Sachs yang tawarkan anak-anaknya bekerja di bank tersebut, dan
2. Fokus keterangan Leissner tiada kaitan dengan “CUBAAN Goldman untuk menyogok Najib,” tapi dakwaan bahawa Najib CUBA mendapatkan peluang kerja bagi tiga anaknya sebagai balasan kepada perniagaan yang lumayan melibatkan 1MDB.
Ini bermakna, Najib sekali lagi telah cuba memutar belit fakta bagi mengelirukan penyokongnya, tanpa menyentuh langsung isu pokok yang dibangkitkan oleh Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat.
WAJIB TONTON:
