
“Berikut adalah bukti kenapa Najib bukannya ‘pakar ekonomi’ sepertimana yang diwar-warkan oleh penta’asubnya dan bagaimana beliau memecahkan lubangnya sendiri apabila cuba ‘spin’ isu pengeluaran i-Citra”
BACA VERSI INGGERIS ARTIKEL SAMA DI SINI
Raggie Jessy Rithaudeen
ا-چيترا – نجيب ترسيلڤ ڤچه لوبڠ سنديري
Sebuah portal berita memetik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, mereka yang memihak kepada pengeluaran simpanan KWSP menerusi program i-Citra mempunyai asas yang kukuh untuk menyokong pengeluaran itu kerana wang yang dikeluarkan boleh ‘dipulihkan’.
Merujuk kepada Facebook Najib, laporan itu berkata, pengeluaran tambahan i-Citra boleh diuruskan dengan meningkatkan caruman daripada majikan dan menstruktur kembali kadar dividen.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
“Kerajaan boleh memberikan projek kepada KWSP seperti yang dilakukan semasa Barisan Nasional berkuasa dengan saya sebagai perdana menteri,” kata Najib.
Najib menambah, mereka yang menyokong i-Citra percaya kebanyakan rakyat Malaysia adalah daripada golongan yang bertanggungjawab.
“Mereka yang membuat pengeluaran menerusi i-Citra sememangnya memerlukan wang. Walaupun mereka mengeluarkan wang, mereka akan bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula simpanan mereka melalui KWSP atau beberapa pelaburan lain,” katanya.
Najib juga berkata, mereka yang menyokong i-Citra sedar bahawa pandemik yang berlaku merupakan situasi luar biasa dan ramai yang masih belum pulih berikutan kekangan pergerakan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Inilah sebabnya cadangan Najib cacat:
1. Jika benar kerajaan boleh memberi projek kepada KWSP supaya dividen kepada pencarum ditingkatkan, kerajaan sudah pasti yakin bahawa projek berkenaan mampu menghasilkan pulangan yang lumayan untuk membantu pencarum ‘membina’ semula simpanan mereka.
Persoalannya, jika kerajaan begitu yakin bahawa projek yang diberikan mampu menghasilkan pulangan lumayan, mengapa tidak bantu sahaja pencarum dengan menyalurkan wang terus ke dalam akaun bank peribadi mereka, kemudian memberikan projek yang dimaksudkan kepada KWSP dan menggunakan sebahagian pulangan ‘lumayan’ yang dijana untuk menampung semula kerugian yang ditanggung oleh kerajaan menerusi penyaluran wang ke dalam akaun bank peribadi pencarum?
2. Biarpun KWSP menaikkan kadar dividen, apabila seseorang individu telah mengeluarkan RM10,000, dividen yang dikenakan dikira berdasarkan baki dana yang ada di dalam akaun individu berkenaan, yang kini sudah berkurang sebanyak RM10,000.
Sekarang, bayangkan jika seorang lelaki berusia 45 tahun mempunyai baki RM5,000 selepas mengeluarkan RM10,000 – adakah KWSP akan menaikkan kadar dividen sebegitu rupa, supaya lelaki berkenaan boleh mendapat balik jumlah yang hampir sama dengan jumlah yang mampu dikumpulkannya pada umur 55 sekiranya beliau tidak mengeluarkan RM10,000 menerusi program 1-Citra?
3. Najib mengakui bahawa kerajaan telah mengecewakan rakyat kerana gagal menguruskan pandemik dengan baik.
Malah, katanya, Lockdown yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah “separuh masak” dan tidak berkesan, kerana ianya seolah-olah memihak kepada perniagaan besar, menyebabkan ratusan ribu perniagaan kecil dan sederhana besar menanggung kerugian, sekaligus memudaratkan berjuta rakyat Malaysia yang samada hilang pekerjaan atau berkurang sumber pendapatan.
Persoalannya, mengapa benarkan orang ramai mengeluarkan RM10,000 daripada simpanan KWSP dan bukannya meminta kerajaan untuk menyalurkan RM5,000 – 10,000 terus ke dalam akaun peribadi mereka, terutamanya akaun individu yang dikatakan menderita akibat “Lockdown separuh masak” kerajaan?
4. Najib berkata, mereka yang membuat pengeluaran menerusi program i-Citra akan bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula simpanan mereka melalui KWSP atau pelaburan lain.
Apakah ini penyelesaian yang kita harapkan daripada seorang yang didakwa ‘pakar ekonomi’ oleh penta’asubnya?
Cuba cerita, adakah kerajaan sanggup bergantung pada keyakinan sebegini untuk membuat perancangan masa depan, dengan mengandaikan bahawa orang yang mengeluarkan RM10,000 menerusi program i-Citra akan tiba-tiba bekerja seperti anjing untuk mendapatkan jumlah simpanan yang setaraf dengan jumlah yang mereka mungkin boleh kumpulkan sekiranya mereka tidak membuat pengeluaran awal?
Bagaimana dengan lelaki berusia 45 tahun yang saya sebutkan sebelum ini?
Jika lelaki ini hanya tinggal RM5,000 selepas membuat dua pengeluaran, sudah pasti gaji atau pendapatannya tidak begitu besar.
Kini, dengan usia yang meningkat dan dengan daya tenaga yang kurang berbanding dengan kemampuannya ketika mula-mula bekerja, apakah anda fikir lelaki ini boleh menyimpan (dalam tempoh 10 tahun) apa yang mampu dikumpulkannya sekiranya dia tidak membuat pengeluaran awal?
5. Najib berkata pengeluaran menerusi program i-Citra boleh diuruskan dengan menambah caruman daripada majikan.
Tetapi bukankah Najib pernah memberitahu bahawa Lockdown Muhyiddin adalah “separuh masak” dan tidak berkesan, menyebabkan perniagaan kecil dan sederhana menderita?
Jika beratus ribu perniagaan kecil dan sederhana sudah menderita, apakah Najib ingin menambah penderitaan mereka daripada meminta kerajaan untuk menyalurkan wang terus ke dalam akaun peribadi pekerja mereka yang terkesan?
Sekarang adakah anda faham mengapa Najib bukannya ‘pakar ekonomi’ sepertimana yang diwar-warkan oleh penta’asubnya?
WAJIB BACA:
Kantoi lagi: Fitnah kononnya Mahathir rasis melantun balik kat Najib – Orang Cina bukan bodoh
