“Saya lihat, Muhyiddin tidak sekali-kali akan membenarkan Najib atau orang-orang Najib, termasuk Tajuddin, untuk memanjat kepalanya dan tidak keberatan untuk memberi laluan kepada Mahathir untuk kembali menerajui kerajaan sekiranya tiada pilihan”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tidak dapat dinafikan bahawa pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana merupakan satu tindakan tepat malah dialu-alukan oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira mereka penyokong kerajaan atau sebaliknya.
Tetapi ada juga yang tertanya-tanya bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membenarkan Tajuddin dipecat sedangkan majoriti kerajaan masih dipertikai malah congakkan kasar menunjukkan dengan jelas Muhyiddin tidak memiliki majoriti.
Mereka yang tertanya-tanya berpendapat Muhyiddin berani menyingkirkan Tajuddin kerana yakin Darurat akan dilanjutkan pada bulan Ogos, sekaligus membolehkan kerajaan pimpinan beliau terus berkuasa tidak kira berapa ramai ahli parlimen menarik sokongan mereka terhadap kerajaan.
Mungkin ya, mungkin tidak.
Saya secara peribadi berpendapat bahawa negara kita tenat dan sedang menjurus ke arah kehancuran jika Darurat tidak ditamatkan dan kerajaan tidak diubah.
Tetapi persoalannya sekarang ialah bagaimana Muhyiddin boleh bersetuju dengan pemecatan Tajuddin, dan jawapannya mudah – Muhyiddin tahu Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kuncu-kuncu mereka hanya bersandiwara dan tidak berani menarik sokongan mereka terhadap kerajaan dalam masa terdekat.
Jadi akar umbi UMNO ditipu?
Ini yang saya nampak.
Pada 31hb Mac 2021, saya menulis:
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi diberi mandat untuk memutuskan bila UMNO akan keluar dari kerajaan bukan disebabkan akar umbi menaruh kepercayaan terhadapnya atau inginkannya kekal sebagai presiden UMNO.
Sebaliknya, mandat itu diberikan setelah Zahid terpaksa tunduk pada kehendak akar umbi dan perwakilan susulan perdebatan dan ucapan pedas oleh pelbagai pihak yang diselindungi dari media dan tidak disiarkan di portal rasmi UMNO.
BACA PENDEDAHAN PENUH DI SINI
BACA: ZAHID ADA SEMINGGU
BACA: KU LI: AKAR UMBI SEBENARNYA HARAPKAN SEMUA LETAK JAWATAN SEGERA, TAPI YANG JADI PELIK…
Kemudian, setelah Zahid sendiri mula ‘menyerang’ PPBM dan PAS sambil memberi persepsi seolah-olah beliau mahukan UMNO menarik sokongannnya terhadap Perikatan Nasional serta merta, barulah beliau diberi mandat untuk memutuskan bila UMNO akan keluar dari kerajaan.
Saya menambah:
Memandangkan perhimpunan agung UMNO berakhir dan tiada ada lagi alasan atau jalan bagi Zahid untuk membeli lebih banyak masa, andai kata beliau tiba-tiba mengumumkan UMNO bersedia menunggu hingga Mei, Jun, Julai atau Ogos, sesuatu akan berlaku.
Desakan dalaman untuk Zahid meletakkan jawatan dan mengadakan pemilihan UMNO sebenarnya sudah bermula, dan jika desakan itu diketepikan, akan berlaku usaha untuk mengadakan EGM dalam masa terdekat.
Jadi mengapa masih belum ada EGM?
Sebenarnya, tidak sampai seminggu selepas PAU tamat, desakan agar Zahid berundur dan mengadakan pemilihan parti disuarakan dengan jelas oleh beberapa pemimpin parti di media arus perdana.
Apabila Zahid mengenepikan desakan itu, satu pergerakan melibatkan sekumpulan pemimpin bahagian, cawangan dan beberapa tokoh veteran bermula ke arah mencetuskan EGM bagi menyingkirkan Zahid.
Tetapi rancangan tersebut tergendala buat sementara waktu atas sebab-sebab berikut:
1. Wabak Covid-19 yang makin menggila, dan
2. Saya difahamkan, mereka yang terlibat mengambil sikap tunggu dan lihat untuk memantau perkembangan politik terkini melibatkan Muhyiddin, kerajaan dan blok kuasa ketiga.
Najib dan Zahid pula tidak berani mengarahkan sesiapa untuk berundur malah akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kerajaan pimpinan Muhyiddin kekal selagi kes mahkamah mereka belum diputuskan.
Ini kerana:
1. Mereka tahu majoriti ahli-ahli parlimen dari UMNO tidak mempedulikan arahan mereka dan akan terus memutuskan sendiri apa yang harus dilakukan dan bila ianya perlu dilakukan.
2. Mereka masih berharap Muhyiddin akan berunding dengan mereka, dan saya jangka ini ada kaitannya dengan kes-kes mahkamah mereka.
3. Mereka tahu Muhyiddin sedang cuba memasuki perjanjian dengan Mahathir.
Kenapa Muhyiddin cuba berunding dengan Mahathir?
Sebab Muhyiddin tidak sekali-kali akan memaafkan Najib atau tunduk pada kehendak Najib kerana Najib memecatnya dari UMNO dan kerajaan, sekaligus mencantas peluang Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri mewakili UMNO dan Barisan Nasional.
RUJUK PENDEDAHAN PENUH DI SINI
Jika Muhyiddin berjaya mencetuskan EGM sebelum Darurat tamat dan jika proksinya berjaya menggantikan Zahid sebagai presiden UMNO, sudah pasti Muhyiddin akan membawa UMNO masuk menyertai Perikatan Nasional atau menggabungkannya terus dengan PPBM tanpa penglibatan Najib sebagai pemimpin bersama.
Sebaliknya, jika proksi Muhyiddin gagal menggantikan Zahid atau jika ada tanda-tanda Darurat akan tamat dalam masa terdekat atau tidak dilanjutkan, Muhyiddin tidak keberatan berundur bagi membolehkan pembentukkan kerajaan baharu dengan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-9 atau Perdana Menteri Interim (rujuk link pendedahan di atas).
Bagaimana dengan Zahid?
Jika Zahid tiba-tiba bersetuju untuk berundur dan membenarkan Muhyiddin meletakkan proksinya sebagai presiden UMNO menerusi EGM, saya fikir tidak mustahil Muhyiddin akan berunding dengan Zahid.
Apakah ini sebabnya Muhyiddin tidak keberatan membenarkan pemecatan Tajuddin?
Nampak gayanya begitulah.
Muhyiddin tidak rugi apa-apa kerana beliau sudahpun menjadi Perdana Menteri, peluang yang dirampas daripadanya oleh Najib pada tahun 2015 menerusi pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Muhyiddin juga tahu Najib dan Zahid terdesak dan tidak berani mengarahkan sesiapa untuk menarik sokongan dari kerajaan kerana tahu tindakan itu akan memungkinkan Mahathir kembali dan menguburkan sebarang peluang untuk Najib dan Zahid berunding dengannya.
Jadi Muhyiddin tidak cemas?
Oh, Muhyiddin memang cemas dan sedang cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kedudukannya.
Tetapi beliau tidak akan membenarkan Najib atau orang-orang Najib (Tajuddin) memanjat kepalanya dan tidak keberatan untuk memberi laluan kepada Mahathir untuk kembali menerajui kerajaan sekiranya tiada pilihan.
Ini yang saya lihat.
WAJIB BACA:
