
“Jika UMNO menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP sebelum Pilhan Raya Negeri Melaka, keberkesanan dan kemampuan bersama jentera Pilihan Raya mereka sudah pasti bertambah berlipat kali ganda”
Raggie Jessy Rithaudeen
اينله سببڽ ڤيليهن راي نڬري ملاك امت ڤنتيڠ بوات انور، قلوستر محكمه
Untuk memahami sebab sebenar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi inginkan Pilihan Raya Negeri Melaka, anda perlu terlebih dahulu memahami kedudukan sebenar UMNO, PPBM, PAS dan Pakatan Harapan.
A. Kedudukan UMNO
UMNO mempunyai jentera Pilihan Raya yang sederhana kuat (menyusut sedikit berbanding Pilihan Raya Umum ke-14), namun sokongan Melayu-Islam terhadap parti itu berada pada tahap paling teruk dalam sejarah.
Ini disebabkan:
1. Penolakkan Melayu-Islam terhadap Kluster Mahkamah sebagai pemimpin masa depan,
2. Kegagalan UMNO mendaftarkan Muafakat Nasional dan percakaran berterusan antara pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS,
3. Kegagalan kerajaan gandingan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dan
4. Kerjasama Kluster Mahkamah bersama DAP di Perak serta sokongan Kluster Mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam surat yang diutus kepada Yang Di-Pertuan Agong.
B. Kedudukan PPBM
PPBM hampir tidak memiliki jentera Pilihan Raya atau akar umbi, dan sokongan masyarakat majmuk terhadap parti itu terlalu teruk, jauh lebih teruk berbanding UMNO.
Ini disebabkan:
1. Kegagalan kerajaan gandingan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,
2. Komplot PPBM bersama Kluster Mahkamah menerusi Langkah Sheraton dan yang terkini, Langkah Royale Chulan (yang menjurus kepada pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri),
3. Kesanggupan PPBM untuk tunduk pada Kluster Mahkamah menerusi Langkah Royale Chulan, walaupun Kluster Mahkamah sendiri menggerakkan misi yang akhirnya menumbangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan
4. Pengkhianatan PPBM terhadap Pakatan Harapan dan juga UMNO (apabila pemimpin UMNO bertindak lompat masuk PPBM dan kini memegang jawatan menteri) – faktor yang menyebabkan hampir keseluruhan rakyat Malaysia menolak PPBM.
C. Kedudukan PAS
PAS memiliki jentera Pilihan Raya dan akar umbi yang sederhana besar (kuat hanya di kawasan luar bandar di beberapa negeri sahaja), namun sokongan Melayu Islam terhadap parti itu makin teruk disebabkan faktor-faktor berikut:
1. Kegagalan kerajaan gandingan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,
2. Komplot PAS bersama Kluster Mahkamah menerusi Langkah Sheraton dan yang terkini, Langkah Royale Chulan (yang menjurus kepada pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri),
3. Kegagalan PAS mengharamkan perjudian dan kilang arak walaupn berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan,
4. Kesanggupan menteri PAS membenarkan kerajaan meningkatkan jumlah cabutan nombor ekor yang dikurangkan ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, dan
5. Kesanggupan menteri PAS memasuki MoU bersama DAP yang secara tidak langsung mengawal kerajaan dalam pelbagai aspek, termasuk aspek penyediaan Belanjawan 2022.
D. Kedudukan Pakatan Harapan
Seperti UMNO, Pakatan Harapan turut memiliki jentera Pilihan Raya yang sederhana kuat (menyusut sedikit berbanding Pilihan Raya Umum ke-14), namun sokongan masyarakat majmuk terhadap parti itu berada pada tahap paling teruk dalam sejarah.
Ini disebabkan:
1. Kesanggupan DAP dan PKR membincangkan jajaran politik baharu bersama ahli-ahli Kluster Mahkamah,
2. Kesanggupan DAP memasuki MoU bersama sebuah kerajaan yang dikatakan gagal,
3. Kesanggupan DAP memasuki MoU bersama sebuah kerajaan yang dikawal oleh UMNO dan ditubuhkan menerusi sekongkol Kluster Mahkamah bersama PAS dan PPBM, dan
4. Kesanggupan DAP memasuki MoU bersama sebuah kerajaan yang melibatkan menteri-menteri PAS yang dikatakan membawa agenda Islam ekstrim
Jadi persoalannya, siapa perlukan siapa?
Suka tak suka, Pilihan Raya Umum ke-15 akan menyaksikan gelombang kuasa ketiga, melibatkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang tercari-cari calon berwibawa yang tidak bersama puak pemerintah (BN, PN) atau puak yang pernah memerintah (PH).
PAS pula terdesak untuk mengembangkan sayapnya ke seluruh negara dan memasuki Perikatan Nasional tanpa restu UMNO.
Ini kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlalu yakin bahawa Muhyiddin akan menerajui kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Andai kata Muhyiddin masih bergelar Perdana Menteri, PAS sudah pasti boleh mengharapkan sokongan beliau untuk membenarkan parti itu bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15, berbekalkan jentera kerajaan dan bantuan kewangan daripada kroni-kroni kerajaan.
Malangnya, Muhyiddin tidak kekal sebagai Perdana Menteri, dan saya yakin Hadi sedar bahawa PAS tidak mungkin boleh kembali bekerjasama dengan UMNO di Pilihan Raya Umum ke-15.
Ini kerana akar umbi PAS terlalu berang dengan sikap Kluster Mahkamah yang enggan menyertai Perikatan Nasional dan terlalu mementingkan agenda peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Zahid.
Manakala itu, UMNO tidak mungkin bekerjasama dengan PAS dan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15, kerana:
1. PPBM amat dibenci oleh akar umbi UMNO
2. Ramai menganggap PAS sebagai ‘pengkhianat’ kerana meminggirkan UMNO untuk Muhyiddin, dan
3. Perhimpunan Agung UMNO sudah menetapkan bahawa UMNO tidak boleh bekerjasama dengan PPBM di Pilhan Raya Umum ke-15.
Namun, jika UMNO menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP sebelum Pilhan Raya Negeri Melaka, keberkesanan dan kemampuan bersama jentera Pilihan Raya mereka yang agak kuat sudah pasti bertambah berlipat kali ganda.
Kerjasama ini boleh dilakukan secara senyap, di mana Barisan Nasional dan Pakatan Harapan cuba mengelak daripada bertembung di banyak kerusi dan menumpukan sepenuhnya kekuatan masing-masing terhadap usaha melumpuhkan calon-calon kuasa ketiga.
Persoalannya, adakah langkah ini dapat mengukuhkan lagi UMNO, DAP dan PKR di Melaka dan menengelamkan terus Perikatan Nasional?
Inilah yang Kluster Mahkamah ingin ketahui, dan memandangkan perpecahan dalam UMNO Melaka tidak dapat diubati, Pilhan Raya Negeri merupakan langkah yang difikirkan perlu untuk menguji keberkesanan kerjasama antara UMNO, DAP dan PKR sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Bersambung…
WAJIB BACA:
MAAF, SAYA TAK BOLEH PERTAHAN ‘KERAJAAN SALIN KULIT’ ISMAIL SABRI
