
“Andai kata Ismail Sabri merombak kabinet, itu adalah ‘pengakuan’ bahawa kerajaan pimpinan beliau sebenarnya tidak mencapai KPI 90 peratus dan gagal berfungsi dengan baik dalam tempoh kurang empat bulan ianya ditubuhkan”
Raggie Jessy Rithaudeen
ءاسماعيل صبري مڠاكو ده توء
Desas-desus kononnya Datuk Seri Ismail Sabri bakal merombak kabinet bagi “mengembalikan keyakinan rakyat” menimbulkan seribu satu tanda tanya.
Awal bulan ini, Ismail Sabri memberi markah 90 peratus kepada kabinetnya sendiri sebagai “Petunjuk Prestasi Utama” (KPI) 100 hari kerajaan pimpinan beliau berfungsi.
Persoalannya, jika prestasi kabinet begitu memberangsangkan, buat apa rombak?
Bukankah kabinet yang mencapai KPI 90 peratus berfungsi dengan cekap dan pasti diterima rakyat?
Inilah yang dikatakan “kebodohan tahap gaban.”
Bukan niat saya untuk berbahasa begini, tetapi tidak ada ungkapan lain yang lebih sesuai untuk membayangkan tahap kemerosotan akhlak dan akal yang dipamirkan oleh gerombolan ahli-ahli parlimen UMNO, PPBM dan PAS.
Andai kata Ismail Sabri merombak kabinet, itu adalah ‘pengakuan’ dari pihaknya bahawa kerajaan pimpinan beliau gagal berfungsi dengan baik dalam tempoh kurang empat bulan ianya ditubuhkan.
Sebenarnya, rakyat Malaysia tertanya-tanya bagaimana Ismail Sabri boleh memberi KPI 90 peratus kepada barisan Jemaah Menteri, sedangkan menteri-menteri kabinet begitu lembap sehingga tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam situasi krisis.
Lihat sahaja cara kerajaan menangani isu banjir.
Minggu lalu, kita diberitahu bahawa Menteri Besar Selangor sebenarnya telah merayu kepada Ismail Sabri untuk “mengerahkan aset persekutuan” ke lokasi banjir, namun diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa itu adalah di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bukan dia.
Sebelum itu, Angkatan Tentera Malaysia dikatakan mahu membantu usaha bantuan banjir di Selangor yang bermula pada Jumaat (17 Disember) sekitar tengahari – namun tidak mendapat persetujuan daripada NADMA.
Parti Bangsa Malaysia yang dikaitkan dengan Datuk Zuraida Kamarudin pula sibuk membuat jemputan kepada media bagi pelancaran parti baharu itu di Hotel Wyndham Acmar, Klang.
Dan Datuk Seri Nancy Shukri?
Beliau dilaporkan terlibat dalam satu majlis tari-menari yang cukup meriah di Eastin Hotel, Kuala Lumpur, diakhiri dengan tepukan dan sorakan.
Manakala itu, Faizal Azumu sibuk mengadakan majlis rasmi pelancaran sukarelawan pasca banjir berlatar-belakangkan banner yang cukup besar.
Paling mengejutkan, dalam pada banjir meragut nyawa, ada menteri-menteri yang tergamak bercuti di luar negara, itu pun dengan kebenaran Ismail Sabri.
Bantuan kecemasan yang disalurkan pun tidak seberapa dan terlalu lambat sampai, dan apabila rakyat prihatin cuba membantu, penghuni Taman Seri Maju mendakwa mereka telah dihalang pada peringkat awal.
Apakah rombakkan kabinet mampu mengubah semua ini?
Media sosial kini dibanjiri dengan desakan “undur sekarang” dan “bubar parlimen” yang ditujukan khas kepada Ismail Sabri.
Jadi buat apa rombak kabinet, sedangkan rakyat terang-terang tidak lagi percaya kepada kemampuan Ismail Sabri?
Inilah natijahnya bila kerajaan yang rapuh ditubuhkan atas dasar sogokan kuasa dan kedudukan.
Disebabkan perlu sangat sokongan, sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri akan terpaksa tunduk pada permintaan semua ahli parlimen UMNO, PPBM dan PAS, sehingga tertubuhnya sebuah kerajaan yang tidak mampu berfungsi dengan baik.
Ramai akan meminta jawatan yang tidak bersesuaian dengan kelayakkan atau kemampuan mereka, tanpa mempedulikan langsung kesannya kepada rakyat dan negara sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab.
Tetapi apa yang hendak dihairankan, sedangkan ahli-ahli parlimen ini dari awal lagi sanggup mengkhianati mandat rakyat demi kuasa dan kedudukan – sudah pasti mereka akan terus menumpu kepada kelangsungan kuasa dan kedudukan berbanding masalah rakyat.
WAJIB BACA:
Kantoi lagi: Fitnah kononnya Mahathir rasis melantun balik kat Najib – Orang Cina bukan bodoh
