
Raggie Jessy Rithaudeen
Hari ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan dakwaan baru bekas Inspektor polis elit, Azilah Hadri, berhubung kes pembunuhan model Mongolia berprofil tinggi, Altantuya Sharibuu.

Menerusi satu surat Akuan Bersumpah (SD) terperinci bertarikh 17hb Oktober 2019, Azilah, yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Menurut Azilah, dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”
Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.”
Saya kurang yakin dengan pendedahan Azilah ini dan tertanya-tanya mengapa beliau sanggup merangkak dalam penjara menunggu dijatuhkan hukuman mati sedangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selesai membicarakan kes dan menjatuhkan hukuman pada 19hb Oktober 2006.
Tidak masuk akal seorang yang tidak bersalah yang mampu membuat SD begitu terperinci tidak menampilkan fakta-fakta yang terkandung dalam SD berkenaan kepada Mahkamah sewaktu dibicarakan biarpun tahu penyembunyian fakta berkenaan akan menjurus kepada hukuman gantung sampai mati.
Justeru, saya mengesyaki Azilah disogok membuat SD terbaru ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
Walaubagaimanapun, saya tidak dapat pastikan pihak mana, sekiranya ada, yang menyogok Azilah berbuat demikian, cuma bahawa ianya kelihatan seperti satu konspirasi tahap tinggi untuk memutarbelit fakta dan mempengaruhi persepsi umum.
Sesiapa sahaja yang berdepan dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman mati sudah pasti akan menampilkan segala-apa bukti ataupun hujah yang ada sebagai alibi bagi pertimbangan Mahkamah.
Malah, tidak kurang juga yang akan cuba menampilkan bukti ataupun hujah yang palsu bagi mempengaruhi keputusan Mahkamah dan melepaskan diri kerana tahu mereka tidak akan rugi berbuat demikian memandangkan mereka sudahpun berdepan kemungkinan maut.
Saya berharap agar dakwaan Azilah yang terbaru ini disiasat dengan teliti oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan mencadangkan beliau diwajibkan menjalani ujian poligraf bagai tujjuan membantu siasatan.
