ISU JAWI, DONG ZONG: SURAT RAYUAN TERBUKA KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG

8 April 2019

Jumada I 1, 1441 AH




Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,

Dengan segala hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan berlanjutan sampai akhirat nanti.

Ampun Tuanku,

Loading...

MEMOHON SEMBAH AGAR TUANKU MASUK CAMPUR ISU KEBIADABAN DONG ZONG TERHADAP SISTEM KERAJAAN MALAYSIA YANG BERTUNJANGKAN RAJA BERPERLEMBAGAAN

Daulat Tuanku!

Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini, ingin merafakkan sembah akan perjuangan hamba-hamba rakyat Tuanku di Gerakan Bangsa Nasional (GBN) dan juga di kalangan rakyat jelata bagi memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, Islam di Malaysia sebagai agama persekutuan dan sistem kerajaan Malaysia yang bertunjangkan Raja Berperlembagaan sebagai sistem kerajaan yang mulia.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun,

Tuanku merupakan payung kepada semua orang Melayu-Islam dan kaum lain selaku hamba-hamba rakyat Tuanku yang menjunjung kasih Tuanku sebagai Raja mereka. Tuanku turut dijunjung sebagai “the people’s ruler” (raja berjiwa rakyat) dan begitu dikagumi segala lapisan masyarakat. Justeru, patek menaruh harapan yang teramat besar agar Tuanku masuk campur isu kebiadaban Dong Zong yang secara terang-terang memijak-mijak maruah raja, agama, bangsa dan negara dalam memperlekeh dan menentang secara terbuka keputusan kerajaan pusat memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi di peringkat sekolah.

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun,

Sikap Dong Zong yang mengapi-apikan semangat kebencian masyarakat Cina terhadap sistem pentadbiran yang bertunjangkan Raja Berperlembagaan menerusi penentangan secara terbuka keputusan kerajaan pusat berhubung pembelajaran tulisan jawi turut dilihat mencabar institusi diraja secara langsung. Ini memandangkan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri AgongTunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah sendiri menzahirkan pendapat berhubung perkara ini dengan menegaskan tiada yang rasis dalam isu pengenalan jawi. Nampaknya pihak Dong Zong memandang remeh pendapat Raja Permaisuri Agong.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun,

Sudah tiba masanya untuk kita umat Islam memperbetulkan keadaan ini dengan menuntut agar sistem kerajaan kita yang bertunjangkan Raja Berperlembagaan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Dengan berbekalkan semangat inilah patek akan hadir di perkarangan luar lokasi Kongres Jawi Dong Zong yang dijadualkan berlangsung pada pukul 1 petang di New Era College, Kajang. Patek telahpun menyeru hamba-hamba Tuanku dari kalangan rakyat jelata untuk hadir bersama agar kita mampu membuktikan bahawa rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, mampu bersatu dan berdiri teguh di belakang Raja Berperlembagaan tatkala pihak Dong Zong cuba memperlekeh dan memijak-mijak maruah agama, raja, bangsa dan negara.

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun,

Patek dengan ini mengakhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan menyembah pohon kepada Tuanku, dengan penuh rasa rendah diri, untuk memberi sokongan langsung kepada rakyat yang menjunjung kasih Tuanku demi menegakkan kebenaran dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. Patek memohon sembah harapan patek agar Tuanku yang hamba junjung sebagai Ulul-Amri (Amir) untuk negara Malaysia bertindak menjadi pembimbing kami dalam perjuangan ini, di mana kami akan berkumpul secara aman di perkarangan luar New Era College, Kajang, pukul 12.30 tengah hari esok, bersamaan 28hb Disember 2019.

Patek dengan ini mengakhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.

Payungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman, makmur dan diredhai Maha Pencipta.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya;

Raggie Jessy Rithaudeen



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...