Raggie Jessy Rithaudeen
Kenyataan pemuda MCA menentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular secara paksaan amat merisaukan biarpun ianya bukan penentangan bulat-bulat.
Saya mengesyaki MCA bersubahat dengan perkumpulan Dong Zong dan Jiao Zong dalam isu ini kerana pemimpinnya dilihat menyokong perkumpulan tersebut ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarnya ‘rasis’.
Kenyataan presiden MCA Dato’ Seri Wee Ka Siong bahawa “we are not racist” sepertimana yang dilaporkan The Star Online pada 13hb Ogos 2019 memberi gambaran seolah-olah kenyataan Mahathir ditujukan kepada kaum Cina dan (atau) MCA sekali.
Hakikatnya, Mahathir menyelar Dong Zong kerana membuat kenyataan menghasut kononnya pembelajaran seni khat merupakan satu bentuk pengislaman pendidikan kerana bersifat ‘Quranic’ dan dipraktikkan dalam pembelajaran Islam.
Ini jelas satu pembohongan – biarpun seni khat dipraktikkan dalam pembelajaran Islam, ia tetap merupakan seni semata-mata melibatkan ulisan jawi yang hanya merupakan satu bentuk abjad, tidak lebih dari itu.
Sekiranya benar pembelajaran seni khat jawi merupakan satu bentuk pengislaman pendidikan, saya turut boleh mendakwa bahawa pembelajaran abjad Cina merupakan satu bentuk ‘pem-budha-an’ dan ‘pen-Cina-an’ pendidikan memandangkan abjad Cina ada digunakan dalam buku-buku penganut agama Budha untuk tujuan pembelajaraan.
Justeru, saya turut boleh cadangkan agar pembelajaran abjad Cina di sekolah vernakular samada dihentikan terus ataupun di jadikan opsyen bagi mengelakkan segelintir pelajar Islam yang belajar di sekolah berkenaan daripada ‘di-budha-kan’ atau ‘di-cina-kan’.
Tetapi saya tidak berbuat demikian ataupun cuba menghasut masyarakat Islam untuk berfikir demikian kerana tahu pembelajaran abjad Cina tidak ada kena-mengena lansung dengan ‘pem-budha-an’ ataupun ‘peng-cina-an’.
Lain pula dengan Dong Zong.
Saya lihat, kenyataan perkumpulan tersebut memiliki unsur-unsur Islamophobia yang mampu menimbulkan rasa takut masyarakat bukan Islam terhadap budaya, kepercayaan, sejarah, pentadbiran dan nilai-nilai peradaban yang dipegang suci oleh masyarakat Islam.
Lebih mengelirukan lagi ialah kenyataan Ka Siong yang dilihat melonggokkan MCA bersama dengan Dong Zong apabila berkata “we are not racist,” walhal kenyataan Mahathir hanya ditujukan kepada Dong Zong, bukannya MCA ataupun masyarakat Cina.
Apakah MCA mewakili Dong Zong ataupun bersekutu dengan perkumpulan tersebut?
Saya mempersoal kenyataan Ka Siong dan turut mempersoal tindakan beliau ‘mempertahankan’ Dong Zong walhal kenyataan perkumpulan tersebut jelas tersasar dari kebenaran dan mampu menimbulkan rasa resah masyarakat bukan Islam terhadap masyarakat dan agama Islam.
Atas dasar inilah saya mengesyaki MCA bersubahat dengan perkumpulan tersebut dalam membantah secara terbuka pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular biarpun bantahan tersebut terhad kepada pengenalan tulisan jawi secara paksaan.
Amat sukar bagi saya meyakini mana-mana pihak yang bersekongkol dengan puak Dong Zong yang jelas bersikap rasis, cauvinis dan tidak bertanggungjawab.
Pada tanggapan saya, MCA tidak jauh berbeza dengan DAP dari segi kecenderungannya mempersoalkan isu-isu yang sensitif kepada masyarakat Melayu-Islam secara terbuka dengan nada dan gaya yang hanya mampu menjarakkan lagi jurang perbezaan antara masyarakat bukan Islam dan Islam di tanah air.
