Haniff Khatri
Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
AsSalamualaikum dan Salaam Sejahtera :
1. Pada hari ini, Isnin, 01.05.2023, MALAYSIAKINI bertajuk “Lembaga pengampunan: Permohonan Najib akan dibawa pada masa sesuai” telah memetik KHAIRUL DZAIMEE DAUD, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan merangkap Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai berkata :
““Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.
“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” kata Khairul Dzaimee yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Khairul berkata pada mesyuarat Lembaga Pengampunan baru-baru ini, sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000 telah dipertimbangkan.”
2. Adalah diharapkan KENYATAAN RASMI oleh Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan meletakkan NOKTAH ke atas mana-mana pihak politik daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah perihal keberadaan :Permohonan Pengampunan NAJIB RAZAK yang difailkan pada 02.09.2022 yang lalu.
3. Dalam mematuhi konsep KEDAULATAN UNDANG-UNDANG kesemua pihak yang berkenaan samada NAJIB RAZAK dan keluarganya mahupun yang menyokong permohonannya ataupun yang membantah permohonannya wajar SABAR dan HORMAT menanti perkembangan semasa yang dimaklumkan melalui KENYATAAN RASMI daripada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, sahaja.
POLITIK TERLETAK DI BAWAH KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG!!
DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!
