
“Kenapa hendak tukar cerita sekarang, kenapa tidak berterus terang bahawa kerajaan ‘Melayu-Islam’ PAS-PPBM-UMNO yang ada sekarang tidak sepakat mempertahankan keperluan diadakan hukuman mengikut hukum syarak?”
Raggie Jessy Rithaudeen
ايسو رواو 355: ده توبوه ءكراجأن ملايو-اسلامء، ڤاس توكر چريتا
PAS sudah berada dalam kerajaan selama hampir dua tahun, namun, sehingga kini, belum ada sebarang usaha untuk membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355.
Sepintas lalu, cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) mula-mula diusulkan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) di Persidangan Dewan Rakyat pada 26hb Mei 2016.
Dalam persidangan tersebut, Hadi mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati, sebelum usul itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.
Kemudian, pada 24hb November 2016, Hadi mengemukakan pindaan kepada usul pertama yang dibuatnya pada 26hb Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.
Pada 6 Mei 2017 pula, usul Hadi dicadangkan semula dengan lebih mendalam oleh Hadi sendiri dan diperjelaskan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).
Namun, usul tersebut tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkannya untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya.
Hingga kini, RUU 355 masih belum dibahaskan.
Kenapa?
Bukankah PAS yang beriya-iya mahu melaksanakan hukuman mengikut hukum syarak, dan bukankah usul hadi sempat dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 hasil kesepakatan antara UMNO dan PAS?
Setahu saya, kesepakatan ini diperkukuhkan lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menerusi Piagam Muafakat Nasional yang dimetrai pada 14hb September 2019.
Kini, PAS dan UMNO bersekutu dalam kerajaan persekutuan dan boleh sahaja membentangkan RUU 355 pada bila-bila masa dan meluluskannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Jadi apa yang menghalang PAS?
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, PAS sebenarnya ingin menganjurkan program penerangan secara besar-besaran terlebih dahulu untuk menjelaskan RUU 355 kepada masyarakat majmuk.
Menurutnya, usaha untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah dengan melaksanakan RUU355 itu ‘terbantut’ kerana masih ramai tidak faham undang-undang yang ingin diperkenalkan itu.
Kenapa sekarang?
Kenapa PAS tidak terfikir perkara ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 di mana Hadi meluru untuk cuba membahaskan dan mendapatkan kelulusan RUU 355?
Hadi sebenarnya sudah mengaku bahawa RUU 355 masih belum dibahaskan kerana cadangan itu tidak disokong oleh semua ahli parlimen UMNO, menyebabkan PAS tahu sebarang usaha untuk mendapatkan majoriti mudah di Dewan Rakyat akan gagal.
Jadi kenapa hendak tukar cerita sekarang, kenapa tidak berterus terang bahawa kerajaan ‘Melayu-Islam’ PAS-PPBM-UMNO yang ada sekarang tidak sepakat mempertahankan keperluan diadakan hukuman mengikut hukum syarak?
WAJIB BACA:
MAAF, SAYA TAK BOLEH PERTAHAN ‘KERAJAAN SALIN KULIT’ ISMAIL SABRI
