Raggie Jessy Rithaudeen
Tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat boleh menakutkan pelabur global, menyebabkan mereka beralih kepada aset selamat seperti bon kerajaan AS. Apabila permintaan terhadap bon meningkat, kadar faedah (interest rate) AS akan jatuh.
Apabila kadar faedah AS jatuh dan kadar faedah negara seperti Malaysia kekal tidak berubah, nisbah antara kadar faedah Malaysia dan AS menjadi lebih tinggi secara relatif. Ini boleh membantu sedikit dalam mengimbangi kesan negatif tarif terhadap Malaysia, contohnya dari segi eksport.
Oleh itu, satu langkah logik untuk Malaysia dalam jangka pendek ialah menaikkan kadar faedah domestik bagi mengekalkan daya tarikan pelaburan dan mengelakkan aliran keluar modal.
Namun, kenaikan kadar faedah boleh menekan perbelanjaan isi rumah. Jadi, untuk mengekalkan momentum ekonomi domestik, kerajaan juga perlu mengurangkan cukai-cukai domestik bagi merangsang perbelanjaan pengguna – khususnya, golongan pertengahan – dan mengekalkan pertumbuhan dalam negeri.
Secara keseluruhan, kombinasi menaikkan kadar faedah dan mengurangkan cukai adalah strategi seimbang untuk menstabilkan aliran modal sambil memastikan ekonomi domestik terus berkembang dalam menghadapi ketidaktentuan global yang dicetuskan oleh dasar tarif AS.
Langkah-langkah ini akan mewujudkan satu ‘buffer period’ untuk Malaysia menyusun semula strategi bagi jangka sederhana dan panjang.
Dalam tempoh ini, Malaysia boleh menganalisis:
1. Tahap kebergantungan negara kepada rantaian bekalan global dalam sussana dinamika ekonomi baru dan mencari ruang untuk memperkukuh pengeluaran domestik.
2. Sektor industri yang paling terdedah kepada tarif AS, dan menilai keperluan untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan mengambil pendekatan-pendekatan lain yang bersesuaian, termasuk menilai semula tarif Malaysia terhadap produk AS dan mengadakan rundingan dengan kepimpinan AS.
3. Keberkesanan insentif pelaburan semasa dalam menarik pelabur asing dan tempatan untuk kekal di Malaysia.
4. Keupayaan teknologi dan automasi industri tempatan, sebagai asas untuk bersaing dalam dunia pasca-globalisasi.
Dengan mengambil pendekatan ini, Malaysia boleh bertindak proaktif dan bukan reaktif dalam menghadapi perubahan besar landskap perdagangan global yang kini sedang digerakkan oleh dasar tarif AS.
