Isytihar Darurat Politik & Kesihatan, lantik Perdana Menteri Interim

“Saya dengan ini merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menghadkan pengisytiharan Darurat kepada Darurat Politik dan Kesihatan dan mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri interim dan berganding bahu dengan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk memperkenalkan Ordinan-Ordinan Darurat yang ketat agar sosioekonomi dan sosiopolitik negara dapat dipulihkan seperti sediakala”

Raggie Jessy Rithaudeen

اشتهار ضرورت ڤوليتيك & كصيحتن، لانتيق ڤردان منتري انترايم

1. Biarpun saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam meminta Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat, saya menyokong penuh pengisytiharan tersebut tetapi berpendapat ianya harus dihadkan kepada Darurat Kesihatan dan Politik.

2. Ini dapat dicapai sekiranya Darurat yang sudah diisytiharkan diperinci semula berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutan, dibaca bersama Perkara 40 demi memastikan kestabilan politik untuk melawan pandemik yang sudah masuk gelombang ketiga.




3. Artilel 40 (1) menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri (yang diketuai oleh Perdana Menteri) atau seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, manakala perkara 2 Artikel yang sama turut menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi-fungsi berikut:

a. melantik seorang Perdana Menteri;

b. tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

c. meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.

4. Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat sekiranya Baginda Tuanku berpuas hati wujud ancaman kepada keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan

5. Sepertimana yang pernah dijelaskan oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla, darurat politik atau kesihatan tidak mewajibkan pentadbiran tentera untuk mengambil alih tadbir urus negara seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang menjadi badan pentadbir negara pada tahun 1969 selepas tragedi 13 Mei.

6. Apa pun, memandangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli parlimen dan kestabilan politik negara akan terus terancam di bawah pentadbirannya, Seri Paduka Baginda Tuanku boleh bertindak mencadangkan kepada Muhyiddin agar beliau berundur bersama barisan Jemaah Menteri.

Loading...

7. Susulan itu, menurut peruntukan-peruntukan Perkara 43(2), 43(3) dan 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seluruh kabinet Muhyiddin tidak boleh berfungsi secara biasa, dan peletakan jawatan Muhyiddin akan membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.

8. Perkara 32(1) dan 39 mempunyai penetapan yang berbunyi:

Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

9. Jika dikaji Perkara-Perkara tersebut, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa yang ada padanya untuk melantik seorang Perdana Menteri sementara, yakni Perdana Menteri Interim (atau Caretaker), sehingga Jemaah Menteri baru dilantik menurut peruntukan-peruntukan Perkara 40(2) dan 40(2)(a), 43(1) dan 43(2), yang berbunyi:

40 (2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

43 (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;

10. Atas kuasa-kuasa ini, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak melantik seorang Perdana Menteri interim yang pada hemat Seri Paduka Baginda Tuanku berniat menstabilkan politik negara dan memastikan kesihatan rakyat terjamin sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

11. Pihak yang dilantik sebagai Perdana Menteri pula boleh membentuk sebuah kabinet interim dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan seterusnya ‘menasihati’ Seri Paduka Baginda Tuanku dalam hal-hal penggubalan Ordinan-Ordinan Darurat baharu memperbetulkan keadaan.

12. Dalam tempoh ini, Perdana Menteri interim boleh, bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Polis Diraja Malaysia dan RoS, bertindak mengharamkan terus kumpulan-kumpulan politik dan bukan politik yang difikirkan mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan.

13. Saya dengan ini merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menghadkan pengisytiharan Darurat kepada Darurat Politik dan Kesihatan dan mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri interim dan berganding bahu dengan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk memperkenalkan Ordinan-Ordinan Darurat yang ketat agar sosioekonomi dan sosiopolitik negara dapat dipulihkan seperti sediakala.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...