“Keputusan samada Najib harus dibenarkan hadir ke parlimen terletak sepenuhnya pada budi bicara Jabatan Penjara dan seharusnya bersandar juga kepada peraturan-peraturan Jabatan Penjara”
Raggie Jessy Rithaudeen
جابتن ڤنجارا اد كواس ڤرونداڠن ڤنوه هالڠ بندوان حاضر ديوان رعيت، نجيب جوڬ برحق رجوق محكمه
Jabatan Penjara berhak menghalang bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang parlimen susulan pemenjaraan bekas Perdana Menteri itu atas kesalahan jenayah.
Ini pernah dijelaskan secara terperinci dalam satu sesi dialog saya bersama peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla (hujung bawah) dan dalam satu lagi video You Tube saya bertarikh 8hb September 2022 (rujuk hujung bawah, atau klik di sini).
Pokoknya, proses Mahkamah yang menjurus kepada pemenjaraan Najib dan perkara-perkara berkait keahlian Najib dalam Dewan Rakyat sementara menunggu keputusan Rayuan Pengampunan jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, Perlembagaan Persekutuan tidak menyentuh perihal kehadiran seorang banduan di Dewan Rakyat sekiranya banduan berkenaan sedang menunggu Rayuan Pengampunannya diputuskan dan masih lagi merupakan ahli Dewan Rakyat.
Justeru, keputusan samada Najib harus dibenarkan hadir ke parlimen terletak sepenuhnya pada budi bicara Jabatan Penjara dan seharusnya bersandar juga kepada peraturan-peraturan Jabatan Penjara.
Tidak ada sesiapa boleh mendakwa bahawa “tanggungjawab berperlembagaan Najib kepada Dewan Rakyat dan konstituensi yang diwakilinya mengatasi keperluan Najib berada di penjara pada ketika Dewan Rakyat bersidang,” kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyentuh langsung perkara ini.
Najib bagaimanapun berhak memajukan perkara ini ke peringkat mahkamah bagi mendapatkan penghakiman samada beliau boleh atau tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Namun, perkara seumpama begini pernah berlaku terhadap seorang ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP yang dipenjarakan dan tidak dibenarkan menghadiri sidang Dewan secara fizikal.
Dalam kes ADUN berkenaan, Speaker DUN memutuskan bahawa beliau boleh mengajukan sebarang pertanyaan secara bertulis, dan kes ini sudah pasti menjadi rujukan sekiranya Najib merujuk kepada mahkamah.
Perkara ini sudah pasti berada di dalam pengetahuan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
