Jangan bekukan akaun bank parti politik dan menggangu kebangkitan pembangkang yang konstruktif

Najib Razak

Saya amat sedih dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang membekukan akaun bank pelbagai parti pembangkang termasuk UMNO dan SUPP.

Malah, seorang ahli parlimen Pakatan Harapan turut menggesa kerajaan membekukan akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Berdasarkan kepada pelbagai kenyataan dan laporan media, tindakan kerajaan baharu membekukan akaun UMNO dan SUPP dibuat kerana mengesyaki parti politik ini telah menerima dana dari 1MDB sebelum PRU13 dan wang ini didakwa kononnya dibelanjakan untuk pilihanraya umum.

PRU13 diadakan lima tahun lalu.

Untuk itu, membenarkan akaun bank parti politik terbabit beroperasi seperti biasa tanpa dibekukan, tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan. Bukankah rekod transaksi akaun bank terbabit mudah diperolehi jika diperlukan penyiasat.

Parti politik tidak bersalah. UMNO dan SUPP tidak bersalah. Sebagaimana parti politik lain termasuk parti di dalam gabungan Pakatan Harapan, adalah satu kelaziman untuk menerima derma politik. Di bawah undang-undang ketika ini, tiada peruntukan perundangan yang menyatakan pembiayaan politik adalah salah.

Bagaimana sesebuah parti politik dapat mengesahkan sumber dana yang diperolehi? Bolehkah PPBM atau DAP mengesahkan derma yang diterima mereka tidak datang dari penderma yang terlibat dalam aktiviti haram atau kegiatan ekonomi gelap (black economy)?

Memandangkan Pakatan Harapan telah berkempen untuk PRU14 dengan mendakwa saya terlibat dalam pelbagai salah laku, saya mengalukan siasatan terhadap saya namun jangan jadikan parti politik sebagai mangsa.

Tindakan tidak wajar membekukan akaun bank akan menjejaskan aktiviti parti dan pembinaan semula parti pembangkang. Ia juga akan memberi kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digajikan parti.

Selain itu, tindakan ini juga akan menjejaskan aktiviti kemasyarakatan yang berterusan dilakukan parti terutama membantu rakyat yang masih memerlukan dan jasa parti politik seperti UMNO ini tidak boleh dinafikan sama sekali.

Membekukan akaun bank terhadap parti terbesar ini akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang efektif dan dapat dilihat sebagai serangan dan penafian terhadap asas demoraksi.

Comments

Comments


Loading...