Jangan jadikan ribuan staf kerajaan bergaji sederhana sebagai sasaran

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar pegawai dan staf kerajaan tidak dijadikan sasaran mainan dan agenda politik kerajaan semasa.

Menurutnya, sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah serta ada antara mereka menerima gaji mengikut Gred 17.

Katanya, biarpun mereka adalah kakitangan sandaran, mereka mempunyai keluarga dan mulut untuk disuap. 

KUALA LUMPUR: Nasib ribuan pegawai dan staf kerajaan yang disebut ‘lantikan politik’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat perhatian Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menjadikan mereka sebagai sasaran mainan dan agenda politik kerajaan semasa.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah serta ada antara mereka menerima gaji mengikut Gred 17.

“Dakwaan bahawa mereka menjadi kroni Menteri juga adalah tidak benar kerana mereka hanya dilantik dengan persetujuan dan rujukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang menentukan tangga gaji yang sesuai dengan jawatan dan kelayakan yang disandang.

“Mereka tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa oleh banyak pihak, sebaliknya perlu melalui proses yang sama dengan penjawat awam lain termasuk temuduga dan saringan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, apa yang menimpa mereka sekarang mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap perkara ini apabila mereka ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut 1 Syawal.

“Biarpun mereka adalah kakitangan sandaran, mereka mempunyai keluarga dan mulut untuk disuap. Fikirkanlah soal kebajikan anak isteri mereka.

“Alangkah baik jika sebahagian besar mereka diserapkan ke perkhidmatan awam, supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat benar-benar ingin membela nasib rakyat, dan bukan menghukum tindakan serta kerja mereka.

Dalam pada itu, UMNO juga bimbang bahawa cubaan kerajaan PH untuk memberi gambaran tidak betul bahawa hutang kerajaan lebih tinggi dari yang dilaporkan dahulu akan digunakan sebagai alasan untuk memecat lebih banyak penjawat awam dalam masa terdekat.

Tambahnya, rakyat tidak akan lupa bahawa hasrat parti DAP dari dulu lagi ialah untuk mengurangkan beratus ribu penjawat awam.

Tidak mustahil bahawa ribuan penjawat awam ini hanya merupakan titik permulaan.

Baru-baru ini, PM mengambil keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan kakitangan sandaran dengan alasan mereka bergaji besar dan bertindak sebagai kroni Menteri dan Ketua Jabatan tertentu.

Sumber: Utusan Online

Comments

Comments


Loading...