Jangan sampai kita diabdikan kembali oleh ‘khalifah’ dan ‘ulamma’ kepalsuan

Raggie Jessy Rithaudeen. Sumber (gambar): Fail TTF

Raggie Jessy Rithaudeen

جاڠن سمڤأي كيت دعبديكن كمبالي اوليه ‘خليفه’ دان ‘اولمم’ كڤلسوان

Saya ke kawasan berhampiran dengan PWTC semalam untuk bertemu dengan rakan-rakan lama dari UMNO. Walaupun sudah berbeza hala tuju dan pendapat, namun kita beramah mesra dan sempat menjamu selera sambil membincangkan isu politik semasa.

Ya, mereka marah dengan saya, dan begitu juga saya dengan mereka. Tetapi ini tidak menghalang kami daripada berbahas secara diplomatik agar masing-masing memahami sebab sebenar kami tidak sehaluan lagi. Akhirnya, mereka memahami kedudukan saya dan sebab saya menolak UMNO.

Pokoknya, perjuangan penyatuan ummah yang diwar-warkan selama ini semuanya pembohongan belaka, dan inilah yang sebenar-benarnya. Saya tidak ingin mendalami isu ini dengan lebih lanjut, dan saya berjanji dengan mereka untuk melupakannya.




Tetapi saya tetap pantang Islam dijadikan senjata untuk kepentingan politik, dan saya sungguh sedih dengan gelagat PAS dan kluster mahkamah yang menjaja penyatuan ummah serta memetik dalil tak tentu hala demi memajukan agenda politik peribadi dan kepartian. Khususnya PAS.

Saya turut berang dengan misi puak pro-Zahid dan Najib untuk mecalar imej Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memutar belit fakta. Kononnya, Mahathir ini seorang yang zalim dan memfitnah Najib dan Zahid untuk kembali berkuasa demi mengayakan anak-anaknya.

Ini satu kepalsuan.

Hakikatnya, Najib memang bersalah, dan begitu juga Zahid. Kalau bukan dari sudut perundangan, sudut keagamaan pun jadilah. Mereka ini sedang merosakkan bangsa dan menunggang segala apa yang boleh ditunggang demi menyelamatkan tengkuk mereka. UMNO sememangnya sudah berpecah seribu dan akan dibelasah teruk di PRU15.

Ya, saya sayangkan UMNO. Tetapi saya lebih sayangkan kebenaran dan mendukung perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun sememangnya pemimpin Islam sejati yang selama ini saya tercari-cari. Kesilapan terbesar saya sebelum PRU14 ialah mempercayai sel media Najib yang mendewa-dewakan Najib ke tahap syurga.

Suka tak suka, UMNO yang ada bukannya lagi banteng pertahanan akhir maruah Bangsa dan Agama. Apa yang tinggal ialah serpihan dari satu impian mulia yang sudah lama berkecai dan kini lebih sesuai bergelar “Najib And Zahid Organization” (NAZO).

Kini, NAZO hanyalah platform tunggangan ‘pejuang dan khalifah palsu’ yang menggunakannya sebagai landasan untuk menuntut kebebasan dan menyucikan maruah mereka yang didakwa melakukan jenayah. Jauh sekali semangat kepahlawanan yang terpahat di dada pejuang-pejuang Melayu pada satu ketika dulu.

Loading...

Najib dan Zahid berjaya memajukan agenda serong mereka berbekalkan harapan dan doa penta’asub yang terperdaya bulat-bulat. Ketahuilah, bahawa jenayah memperdaya ummah dengan kepalsuan dan pendustaan amat berat dan sudah pasti diadili di hadapan Allah SWT di Padang Mahsyar.

Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada sesiapa, dan mereka yang berfikir demikian bersangka buruk terhadap saya. Apa yang saya harapkan kini hanyalah kesedaran di kalangan ummah tentang bahaya perpecahan yang sedang dibawa oleh kepimpinan UMNO yang bakal memudaratkan Melayu-Islam buat selama-lamanya.

Saya mengaku, saya memasuki arena politik pada awalnya dengan niat untuk berjuang di pentas kebangsaan bagi menegakkan kebenaran. Tetapi apa yang saya lihat di kiri kanan saya ialah perwatakan cetek nahkoda-nahkoda politik yang berpaut pada agama “Cash is King.”

Mereka sentiasa dikelilingi oleh individu-individu bermasalah dan lemah Iman kerana tahu orang-orang sebegini dahagakan duit dan sanggup berbuat apa sahaja jika diberi duit. Nahkoda-nahkoda ini kuat menipu, kuat mendusta dan sanggup menunggang sesiapa sahaja yang boleh ditunggang demi memajukan agenda politik masing-masing.

Nak berjuang macam mana?

Saya hampir berputus asa tetapi ‘diselamatkan’ oleh pihak yang tidak ingin saya namakan yang memujuk saya mengkaji semula perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad secara lebih mendalam. Saya dihalakan ke kenalan-kenalan lama Tun dan maklumat-maklumat tertentu yang saya kira tidak berada di bawah pengetahuan umum.

Di situlah saya menyedari betapa terkhilafnya saya dan bagaimana ramai diperbodohkan oleh orang-orang Najib. Misi saya sudah lama berubah dan tidak berunsur kepartian. Apa yang menjadi keutamaan buat saya sekarang ialah mendukung perjuangan pemimpin seperti Tun yang saya yakin berlandaskan kebenaran dan mampu membawa kita keluar dari belengu kejahilan.

Percayalah, perjuangan UMNO masakini bukannya perjuangan Agama, Bangsa dan Negara, tetapi perjuangan wang, kuasa dan kedudukan. Perjuangan cetek sebegini terdapat di merata-rata, bukan hanya di UMNO. Tetapi keadaan masih terkawal di belah pembangkang kerana puak pembangkang masih segar dan kurang bergelumang dengan dosa kepalsuan.

Tetapi UMNO?

Baik berkubur terus, usah bersandiwara lagi. Usah bersandiwara tahap ‘khalifah’ dan ‘dewa’, perkara ini terlarang Islam. Maaf kalau ada yang terasa, tetapi usah dilaung-laungkan “perjuangan yang masih belum selesai,” kerana tidak ada yang belum selesai yang mampu diselesaikan kepimpinan UMNO melainkan perjuangan memperdaya mereka yang ta’asub dengan UMNO.

Malah, tidak akan ada yang akan selesai dalam UMNO selagi kepimpinannya gagal menghayati kembali perjuangan pra-1946 sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Pejuang-pejuang kemerdekaan sanggup tumpahkan darah tanpa mengharapkan apa-apa demi menuntut kebebasan dari belengu keabdian di bumi Melayu-Islam.

Mereka sudah tiada lagi, dan legasi perjuangan mereka kini dicemari dengan perjuangan kepalsuan yang meracuni keimanan masyarakat Melayu-Islam. Perjuangan UMNO masakini sedang menghalakan ummah ke alam kejahilan dengan budaya songsang mendewa-dewakan pemimpin yang sama sekali terlarang Islam.

Bangkitlah wahai saudara ku, ayuh kita bersama-sama tumpaskan parasit kejahilan ini. Usahlah kita diabdikan kembali oleh ‘khalifah’ dan ‘ulamma’ kepalsuan selagi ada hayat dalam tubuh badan kita. Renungilah kata-kata ku ini, dan beranikan diri anda untuk berkata tidak kepada sesiapa sahaja yang cuba menunggang anda atau perjuangan agama, bangsa dan negara.

Wallahu A’lam

WAJIB BACA:

PAU 2020: Ucapan Noh Omar berhubung semangat Muafakat kurang sambutan, Hadi enggan ulas ucapan Zahid



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...