
“Boleh jadi kenyataan ketua-ketua parti berhubung calon pilihan 114 ahli parlimen ini tidak sejajar dengan pilihan sebenar beberapa ahli parlimen yang mungkin akan berikan pilihan lain jika ditanya secara rahsia oleh Yang Di-Pertuan Agong. Saya sendiri difahamkan bahawa bukan semua ahli parlimen UMNO dan PPBM menyokong Ismail Sabri. Mungkin sumber saya silap, mungkin dia betul. Apa pun, kita tunggu dan lihat, yakinilah kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.”
Raggie Jessy Rithaudeen
جاڠن ترلالو چڤت بوات انداين برهوبوڠ سيسي مڠهادڤ 114 اهلي ڤرليمين هاري اين
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Satu kesilapan besar yang dilakukan oleh beberapa pihak ialah menganggap, bahawa Yang Di-Pertuan Agong akan bersetuju melantik sebagai Perdana Menteri orang yang kononnya dicalonkan oleh kesemua 114 Ahli Parlimen yang bakal menghadap Seri Paduka Baginda Tuanku hari ini.
Boleh jadi anggapan ini benar, boleh jadi Yang Di Pertuan Agong hanya ingin menilai sendiri cara ahli-ahli parlimen ini menjawab soalan-soalan yang diajukan kepada mereka berhubung calon Perdana Menteri pilihan mereka.
Memang amat pelik jika seluruh batalion yang terbukti tidak sepakat dan menjadi punca utama kemelut politik melanda negara kita dan rakyat begitu sengsara dibawa kembali sebagai blok kerajaan.
Saya tidak tahu mana satu yang betul, samada Yang Di-Pertuan Agong ingin menilai jawapan 114 ahli parlimen ini atau jika Seri Paduka Baginda Tuanku hanya ingin kepastian daripada mereka berhubung calon pilihan mereka sebelum membincangkannya dengan Raja-Raja Melayu Jumaat ini.
Yang pasti, jika saya diberi pilihan, saya akan bertanya bagaimana batalion ini boleh tiba-tiba bersetuju untuk bersama-sama setelah memporak perandakan politik negara dengan percakaran tidak tentu hala mereka.
Saya akan bertanya kepada 15 ahli parlimen UMNO (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan 15”) yang mendakwa kerajaan terdahulu gagal bagaimana Datuk Seri Ismail Sabri tiba-tiba boleh dipertimbangkan untuk jawatan Perdana Menteri.
Ini kerana Ismail Sabri sendiri tergolong sebagai “menteri gagal” dan terang-terang menyokong dasar-dasar pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kumpulan 15 ini mendakwa telah gagal.
Saya juga akan bertanya kepada ahli-ahli parlimen PPBM apakah jaminan mereka kerajaan baharu yang terbentuk boleh teguh sedangkan PPBM dan kepimpinan UMNO terang-terang bermusuhan dan sentiasa bercakaran secara terbuka.
Saya ingin tahu apakah menteri-menteri UMNO, PAS dan PPBM yang terbukti gagal dan menderhaka sebelum ini akan diketepikan untuk memberi laluan kepada muka-muka baharu tanpa perlu kabinet yang begitu besar.
Akhir sekali, saya akan bertanya kepada kumpulan 15 apakah jaminan mereka satu langkah baharu untuk menumbangkan Ismail Sabri tidak akan dilancarkan atas sebab-sebab yang mungkin dirahsiakan.
Apa pun, kita tidak tahu sebab sebenar 114 ahli parlimen dipanggil untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong, dan kita belum dapat kepastian samada kesemua 114 ahli parlimen ini mencalonkan Ismail Sabri meskipun perkara ini dilaporkan oleh beberapa media.
Boleh jadi Yang Di-Pertuan Agong ingin berjumpa dengan kesemua ahli parlimen ini untuk mendapat kepastian berhubung pilihan mereka kerana kesemua ahli parlimen ini terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kerajaan yang diruntuhkan oleh orang mereka sendiri.
Boleh jadi kenyataan ketua-ketua parti berhubung calon pilihan 114 ahli parlimen ini tidak sejajar dengan pilihan sebenar beberapa ahli parlimen yang mungkin akan berikan pilihan lain jika ditanya secara rahsia oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Saya sendiri difahamkan bahawa bukan semua ahli parlimen UMNO dan PPBM menyokong Ismail Sabri. Mungkin sumber saya silap, mungkin dia betul.
Yang penting, elak buat spekulasi berhubung sesi menghadap hari ini dan yakinilah kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Nota: Berikut merupakan posting saya di Facebook:
“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Bererti Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon PM yang menang” – Ahmad Maslan
Dua kecacatan menerusi statement ini:
1. Ahmad Maslan tidak tahu secara pasti samada 114 MP menyokong Ismail Sabri
2. Ada banyak lagi sebab Yang Di-Pertuan Agong boleh panggil 114 MP untuk menghadap, antaranya;
a. Untuk memastikan siapakah sebenarnya yang disokong oleh setiap seorang MP setelah UMNO, PAS dan PPBM pandai-pandai mengumumkan sokongan padu MP-MP kedua-dua parti itu terhadap Ismail Sabri
b. Kepastian ini perlu memandangkan UMNO, PAS dan PPBM telah mengengkari titah Yang Di-Pertuan Agong bahawa semua MP perlu menjaga kerahsiaan surat akuan mereka sehingga keputusan dibuat.
Ahmad Maslan sepatutnya duduk diam dan benarkan Yang Di-Pertuan Agong jalankan tugas
Sekian
RJ Rithaudeen
WAJIB BACA:
