“Muhyiddin sudah pasti tahu bahawa kerajaan boleh menggunakan kuasa Darurat untuk bersidang bermula minggu ini agar ahli-ahli parlimen mempunyai masa yang cukup untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat”
Raggie Jessy Rithaudeen
Maruah Raja-Raja Melayu akan tercalar jika kerajaan gandingnan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dibenarkan terus mentadbir negara selepas tamat Darurat 1hb Ogos ini.
Ini kerana pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berulang kali mencabar dan menghina Yang Di-Pertuan Agong malah memberikan tafsiran yang tidak tepat berhubung kuasa sebenar Seri Paduka Baginda Tuanku.
Sebelum ini, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pernah cuba untuk memberi tafsiran palsu berhubung titah Yang Di-Pertuan Agong yang menghendaki parlimen bersidang ‘secepat mungkin’.
Menurut Takiyuddin, penggunaan perkataan ‘secepat mungkin’ bermakna Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen diadakan pada bulan tertentu.
“Perdana Menteri kata pun bulan September atau Oktober (Parlimen boleh berlangsung). Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September… sudah hampir,” katanya.
Ini tidak masuk akal.
Sebabnya, sasaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parlimen akan bersidang “pada bulan September atau Oktober” merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara.
Manakala itu, Yang di-Pertuan Agong menjelaskan bahawa sidang parlimen perlu disegerakan bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat dibahaskan, sekaligus bermakna Seri Paduka Baginda Tuanku inginkan sidang parlimen disegerakan lagi.
Jika dinilai bersama titah Yang Di-Pertuan Agong bahawa parlimen boleh bersidang ketika Darurat, ungkapan ‘secepat mungkin’ nyata merujuk kepada perlunya parlimen bersidang sebelum tamat Darurat.
Pada 17hb Julai 2021, saya menulis:
Saya hairan bagaimana Takiyuddin tidak dapat memahami logik ini atau perlunya kerajaan merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan tafsiran yang tepat bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan atau penghinaan terhadap institusi Diraja.
Bukan hanya andaian yang dibuat oleh Takiyuddin dan cara ianya disampaikan bersifat bongkak, kenyataan-kenyataan sebegini hanya akan meningkatkan lagi suhu politik dan memarahkan rakyat yang sudah sedia tertekan dan seksa dengan tindak tanduk kerajaan.
Muhyiddin pula duduk membisu.
Malah, Pejabat Perdana Menteri menunggu 21 jam sebelum memberi maklum balas berhubung titah Yang Di-Pertuan Agong.
Itu pun, PMO sekadar ‘mengambil maklum’ titah Seri Paduka Baginda Tuanku tanpa menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Raja-Raja Melayu atau komitmen kerajaan untuk menuruti titah Yang Di-Pertuan Agong.
Kemudian, apabila ditekan, Muhyiddin tiba-tiba mencadangkan pembentukkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti tarikh persidangan parlimen, sekaligus melenggahkan tarikh sebenar persidangan.
Bukan hanya tingkah lakunya mencabar titah Yang Di-Pertuan Agong, ianya memperlekeh usaha Seri Paduka Baginda Tuanku bertemu dengan 18 pemimpin politik dan pakar-pakar serta ketua-ketua agensi kerajaan bagi mendapatkan maklum balas mereka.
Akhirnya, apabila Yang Di-Pertuan Agong bertitah buat kali kedua, Muhyiddin akur dan mengumumkan sidang khas selama lima hari bermula 26hb Jun hingga 2hb Ogos 2021.
Malangnya, sidang lima hari ini hanyalah sesi “penerangan daripada menteri-menteri” dan bukannya untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat sepertimana yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Sidang ini turut melangkaui tempoh Darurat yang dijadualkan tamat pada 1hb Ogos 2021, sekaligus bermakna Muhyiddin telah mencabar kuasa Yang Di-Pertuan Agong buat kali ketiga dan menghantar mesej kepada rakyat bahawa “titah Agong tidak semestinya dipatuhi.”
Muhyiddin sudah pasti tahu bahawa kerajaan boleh menggunakan kuasa Darurat untuk bersidang bermula minggu ini agar ahli-ahli parlimen mempunyai masa yang cukup untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat.
Tetapi Muhyiddin berpura-pura tidak tahu dan berdiam diri apabila Peguam Negara membuat tafsiran-tafsiran kurang tepat berhubung kuasa sebenar Yang Di-Pertuan Agong dalam tempoh Darurat yang dikuat kuasakan pada 12hb Januari 2021.
Jika penghinaan ini berterusan, rakyat akan menganggap bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak berkuasa untuk menitahkan apa-apa kepada kerajaan dan Raja-Raja Melayu tidak berhak menegur kerajaan.
Ini bukan hanya akan mencalar maruah Institusi Diraja, rakyat akan beranggapan bahawa kerajaan amat berkuasa dan tidak perlu mematuhi sebarang titah Yang Di-Pertuan Agong, malah boleh mencabar kuasa Raja-Raja Melayu secara terbuka pada bila-bila masa.
WAJIB BACA:
