“Menurut sumber dalaman, Osman mungkin akan beralih kepada pembangkang dalam masa terdekat, sekaligus menyebabkan dewan negeri Johor tergantung kerana Perikatan Nasional hanya mempunyai 29 kerusi di DUN negeri manakala Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi”
Raggie Jessy Rithaudeen
Ada ura-ura kerajaan negeri Johor akan bertukar tangan tidak lama lagi susulan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, saya pernah melaporan pemberontakan di kalangan ahli-ahli PPBM Johor yang dikatakan ingin bersama Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam laporan itu, saya memberitahu bahawa pemberontakkan ini turut melibatkan bahagian Pagoh pimpinan Muhyiddin yang sekadar menunggu kehadiran beliau untuk memberikan penjelasan sebelum ahli-ahlinya membuat membuat keputusan.
Perkara ini terus dinafikan oleh pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang, yang berkata semua 26 ketua bahagian termasuk ahlinya akan kekal bersama Muhyiddin.
Walaubagaimanapun, sumber dalaman PPBM memberitahu saya bahawa laporan saya adalah tepat dan penafian Mazlan sekadar ‘manisan’ untuk meredakan kemarahan kepimpinan Johor sementara menunggu Muhyiddin berdepan dengan mereka.
Perjumpaan itu akhirnya berlaku pada 15hb Ogos 2020 di mana Muhyiddin mengumumkan keputusan PPBM untuk menyertai Muafakat Nasional dan membenarkan bukan Muslim menjawat jawatan dalam parti.
Pada jangkaan Muhyiddin, penguumuman itu akan membantu meredakan kemarahan akar umbi, pemimpin bahagian dan cawangan dengan memberi mereka harapan bahawa masa depan PPBM cerah kerana parti itu akan menguasai satu gabungan besar bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.
Malangnya, pengumuman itu memarahkan lagi majoriti pemimpin yang sekadar mengangguk kepala tetapi memutuskan secara senyap untuk mengisytiharkan pengundudan mereka dari PPBM secara berperingkat.
Mereka tidak menunggu lama.
Keesokan harinya, media sosial digegarkan dengan laporan pengunduran beberapa pengasas PPBM dari bahagian Pagoh pimpinan Muhyiddin sendiri di mana pengasas-pengasas ini membawa bersama mereka lebih 1,000 akar umbi dan pemimpin bahagian.
Pada hari itu sahaja, lebih 50 peratus pemimpin bahagian, cawangan dan akar umbi PPBM dari seluruh negeri Johor samada mengumumkan keluar parti atau memberi komitmen secara bertulis untuk berbuat demikian secara berperingkat.
Dua hari kemudian, akar umbi PPBM Bahagian Johor Bahru menganjurkan “Flash Mob” di depan Pejabat Bersatu Johor Bahru, Pejabat ADUN Larkin @ Exco Kerajaan Negeri dan Pejabat BPN Johor sambil mengisytiharkan penentangan mereka terhadap pemecatan Mahathir yang disifatkan sebagai “tidak menurut perlembagaan parti.”
Ini disusuli dengan pengunduran secara berperingkat dan berterusan beribu-ribu pemimpin dan akar umbi parti dari seluruh negeri Johor, termasuk 1,229 daripada 2,333 atau 52.6 peratus ahli PPBM Johor Bahru yang menyerahkan surat pengunduran mereka.
Saya difahamkan, jumlah yang telahpun berundur sehingga kini mencecah 65 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli berdaftar di Johor sahaja manakala 15 peratus lagi akan berbuat demikian dalam masa terdekat, termasuk beberapa ADUN yang tidak berpuas hati dengan Muhyiddin.
Umum sedia maklum, keahlian bekas Menteri Besar Johor Osman Sapian dalam PPBM kini menjadi tanda tanya susulan tindakan beliau berkempen untuk calon Parti Pejuang Tanah Air di Slim dan kehadirannya dalam acara Pejuang dua malam yang lalu, tiga hari selepas lembaga disiplin PPBM membuat pusingan U atas keahliannya dalam parti (rujuk bawah).
Keengganan Muhyiddin mengumumkan “perlucutan jawatan Osman secara otomatik” turut memarahkan lagi beberapa pemimpin bahagian, akar umbi dan ADUN yang sudahpun memberi komitmen untuk keluar parti tetapi masih lagi bersama PPBM.
Menurut sumber dalaman, Osman mungkin akan beralih kepada pembangkang dalam masa terdekat, sekaligus menyebabkan dewan negeri Johor tergantung kerana Perikatan Nasional hanya mempunyai 29 kerusi di DUN negeri manakala Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.
Walaubagaimanapun, saya yakin dua atau tiga ADUN Johor sedang tertunggu-tunggu pengumuman dari Osman sebelum mengisytiharkan sokongan mereka terhadap PEJUANG.
Sekiranya berlaku, kerajaan Johor sudah pasti akan bertukar tangan melainkan menteri besar Johor bertindak menasihati Sultan terlebih dahulu untuk membubarkan DUN agar Pilihan Raya Negeri dapat diadakan.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
