“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba saya mempunyai keinginan untuk menceritakan bebrapa aspek perjalanan hidup saya. Tetapi saya akan meneruskan artikel-artikel ini sehinggalah saya puas apa yang ingin saya sampaikan sudah disampaikan, Insya Allah”
Raggie Jessy Rithaudeen
كالي ڤرتام ساي راس كبسرن الله اياله كتيك ساي دتيكم دان دبيار اونتوق ماتي
Baru ini, saya terserempak dengan seorang rakan dari Pulau Pinang yang tidak saya jumpa sejak menghabiskan kursus Ijazah Pertama di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1998.
Sahabat saya ini beragama Sikh. Beliau memberitahu saya betapa terkejutnya beliau ketika membaca artikel-artikel dan melihat video-video penceburan saya dalam bidang politik.
“Tidak sangka kamu yang kelakar, kuat berjenaka dan serius dalam bidang sains tiba-tiba boleh bawa watak ini. Tidak sangka,” katanya.
Ya saudara saudari, memang pada satu ketika dulu, saya boleh disifatkan sebagai seorang yang amat serius dalam bidang sains dan teknologi, khususnys bidang Polimer dan sintesis resin.
Malah, setelah rakan saya meninggalkan USM, saya meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang yang sama, iaitu Teknologi Polimer.
Pada ketika itu, USM mempunyai satu skima pengajian yang membolehkan seorang pelajar yang cemerlang untuk menukar pengajian dari jurusan Sarjana ke PhD secara terus (cobversion) setelah setahun mengaji jika diluluskan oleh panel di peringkat pusat pengajian.
Bukan hanya saya lulus dengan cemerlang di peringkat pusat pengajian, saya masih ingat lagi kata-kata Dekan Pusat Pengajian Siswazah yang secara kebetulan mempengerusikan pembentangan viva saya bagi tujuan membuat conversion.
“This is the best viva I have attended so far,” ujar beliau.
Saya kemudian diberitahu bahawa saya diluluskan sebagai pelajar PhD dan hanya perlu sambung pengajian bagi tempoh minimum satu tahun lagi sebelum membuat pembentangan tesis PhD.
Jadi saudara saudari bolehlah bayangkan betapa gembiranya saya pada ketika itu. Tetapi kegembiraan saya itu tidak bertahan lama.
Tiba-tiba, dua minggu setelah ‘diluluskan’ sebagai pelajar PhD, saya dipanggil oleh penyelia saya dan diberitahu bahawa Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) yang baru bertukar merasakan “conversion” saya perlu ditolak sebab tidak cukup pelajar Muslim yang berjaya dalam proses “conversion” tersebut.
Ya, saudara saudari, pada ketika itu, saya masih belum mengucap dua kalimah syahadah. Tidak ramai yang tahu bahawa kali pertama saya mengucapkan kalimah ialah pada tahun 2008, itu pun secara rahsia, disaksikan oleh seorang Tok Imam dan anak muruidnya dari Kampung Kastam di Pulau Pinang.
Saya akan berbalik pada cerita “conversion” itu di bahagian akan datang.
Buat masa ini, apa yang ingin saya sampaikan ialah rasa “ingin tahu kebesaran Allah” yang sudah lama ada pada diri saya pada ketika itu.
Saya sebenarnya dah lama rapat dengan Islam pada ketika itu. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak pernah diketahui oleh sesiapa, biar penyelia saya mahupun rakan-rakan serta ahli keluarga saya.
Tetapi penyelia saya ini prihatin orangnya. Beliau cukup marah dengan kata-kata Dekan IPS dan bertanya samada saya ingin menegakkan kebenaran sebab apa yang dilakukan oleh si dekan tersebut “tidak menurut protocol.”
“I will defend you,” kata penyelia saya yang turut merupakan seorang Muslim.
Saya menolak pelawaan tersebut dan sekadar mengucapkan terima kasih. Saya kemudiannya menghantar tesis yang dibentang di IPS sebagai tesis MSc dan dianugerahkan Ijazah Sarjana pada tahun berikutnya.
Saya kemudiannya menjadi seorang ‘trainer’ kursus “Polymer Injection Molding” di Penang Skills Development Center (PSDC) untuk seketika sebelum menjadi seorang pensyarah Mekatronik di First Robotics Industrial Science (FRIS), sebuah kolej swasta di Pulau Pinang yang ditubuhkan oleh seorang Mat Salleh dari Canada.
Namanya James (bukan nama sebenar).
James sebenarnya seorang Mualaf menerusi perkahwinan beliau dengan orang tempatan. Apabila tidak ada kelas, saya kerap bersantai dengan Allahyarham di sebuah restoran India berdekatan dengan FRIS di Bayan Baru.
Saya yakin bahawa semua orang di FRIS menyangka hingga ke hari ini bahawa James hanya masuk Islam sebagai memenuhi syarat perkahwinan beliau.
Tetapi pada satu petang di sekitar tahun 2004, ketika menghirup kopi bersama James di Starbucks di Bukit Jambul Complex, saya memandang beliau dengan serius dan bertanya kepadanya samada beliau benar-benar percaya kepada kebesaran Allah.
Perbualan kami (yang saya catit dan simpan hingga ke hari ini) adalah seperti berikut (diterjemah):
Saya: James, berterus teranglah dengan saya, kamu terima Allah sebagai Tuhan atau kamu “free thinker” seperti yang kamu selalu beritahu saya?”
James: (senyap beberapa ketika) Kamu kena janji perkara ini tidak akan kamu bongkar sehingga saya mati.
Saya: Saya berjanji.
James: Benar, tidak ada Tuhan selain Allah. Tidak ada.
Saya: (Terkejut) Habis, kenapa nak berahsia dengan saya?
Saya tidak mendapat jawapan kepada soalan tersebut hinggalah arwah James menghembuskan nafas terakhir, tak silap saya pada tahun 2007.
Sebenarnya, hubungan saya dengan arwah James menjadi agak regang setahun sebelum kembalinya beliau kembali ke Rahmatullah akibat ketegangan yang berlaku di dalam kolej melibatkan soal kerja dan sebagainya.
Tetapi apa yang saya lihat pada hari Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Batu Feringghi membuatkan bulu roma saya naik, sebab itu lah kali kedua saya dapat rasakan dalam setiap urat di tubuh saya cahaya kebesaran Allah S.A.W.
Kali pertama saya rasa begitu ialah pada tahun 2004 ketika saya ditikam dan dibiarkan untuk mati di Island Glades, Pulau Pinang selepas menghadiri satu sesi ‘pertemuan’ anti-Anwar dan kemudiannya bersenam di sebuah gym di situ.
Bersambung….
