Khairuddin Abu Hassan
كمال عزيز بوكن اهلي ڤجوڠ ولايه ڤرسكوتوان يڠ سه
Saya amat tertarik membaca kenyataan Kamal Aziz dari Lembah Pantai mengenai kes pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampong Bharu.
Kenyataan beliau juga menyentuh mengenai Akta Pengambilan Tanah 1960 yang amat diketahui umum.
Sesungguhnya, beliau tidak faham kes pengambilan tanah ini yang sudah pun dimeterai di antara pihak pemaju dengan sebahagian penduduk Kampong Bharu pada tahun 2016.
Separuh dari penduduk setempat telah bersetuju dengan tawaran pihak pemaju namun sebahagian lagi membantah kerana kadar pampasan yang terlalu rendah dari nilai harga pasaran.
PEJUANG Wilayah Persekutuan sudah pun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan ahli-ahli lembaga Malay Agricultural Settlements (MAS) dan Persatuan Penduduk Kampong Bharu seterusnya memahami kes ini secara mendalam.
Insya-Allah PEJUANG Wilayah Persekutuan akan ketemukan ahli lembaga MAS dan Persatuan Penduduk Kampong Bharu untuk bertemu dengan Pengerusi parti PEJUANG pusat seterusnya akan mengadakan sesi rundingan dengan DBKL serta pemaju kearah mencari satu solusi ‘amicable’ demi kepentingan penduduk setempat yang terlibat dalam isu ini.
Pihak PEJUANG Wilayah Persekutuan turut beriltizam untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampong Bharu agar mereka tidak dimanipulasikan oleh pemaju yang hanya pentingkan keuntungan mereka semata-mata secara menunggang mana-mana badan kerajaan bagi mencapai matlamat komersil mereka.
Pihak kami juga tidak akan merelakan pihak kerajaan atau mana-mana badan kerajaan menekan rakyat atau menyalah guna kuasa dengan pelbagai akta pengambilan tanah secara ‘compulsory.’
Lebih kurang 37 ahli keluarga yang menghuni di rumah teres serta 264 unit penduduk di rumah pangsa di kawasan berkenaan sudah pun mendapat notis untuk mengosongkan premis mereka dengan jumlah pampasan yang terlalu rendah di antara rm200,000 hingga rm250,000 sahaja.
Saya tidak faham langsung dengan kenyataan Kamal Aziz yang hanya bercakap berdasarkan persepsi peribadinya secara cetek dan tidak tepat sama sekali.
Beliau tidak faham asas dan perkembangan mutakhir kes pengambilan tanah seluas 4 ekar ini di Sungai Baru yang membuatkan sebahagian daripada penduduk yang terlibat untuk terus bangun mempertahankan hak mereka.
Seperkara yang menarik perhatian PEJUANG Wilayah Persekutuan ialah kenyataan beliau yang mengakui sebagai ahli parti PEJUANG Lembah Pantai yang mengeluarkan kenyataan di facebook ‘Pejuang Lembah Pantai – Rasmi.’
Sesungguhnya, setakat ini keahlian beliau di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan belum disahkan lagi.
Dalam ertikata yang lain, Kamal Aziz belum diterima sebagai ahli PEJUANG Wilayah Persekutuan secara rasmi setakat ini dan tidak berhak untuk mengelirukan orang ramai di bawah ‘Pejuang Lembah Pantai – Rasmi.’
WAJIB BACA:
MALAYSIAN POLITICS – THE UGLY AND BITTER TRUTH EVERYONE SHOULD KNOW (PART 1)
