
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen tidak terbabit dalam pengeluaran kad pekerja asing dengan label ‘kewarganegaraan Sabah’.
Rentetan kewujudan kad terbabit, kementerian memfailkan laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini bagi memastikan penyiasatan menyeluruh berupaya dilaksanakan secepat mungkin.
Media melaporkan sayap Pemuda sebuah parti politik berpangkalan di Sabah menggesa pihak berkuasa mengesahkan ketulenan kad data pekerja asing yang mencatatkan kewarganegaraan mereka sebagai ‘Sabah’.
Pengeluaran kad yang kini menjadi viral di media sosial didakwa dikeluarkan sebuah firma pengurusan, di sini, beberapa hari lalu.
SERDANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen tidak terbabit dalam pengeluaran kad pekerja asing dengan label ‘kewarganegaraan Sabah’.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya memandang berat isu pengeluaran kad pekerja asing yang didakwa didalangi sebuah firma pengurusan di Kota Kinabalu, Sabah.
Rentetan kewujudan kad terbabit, kementerian memfailkan laporan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini bagi memastikan penyiasatan menyeluruh berupaya dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya ingin menegaskan, JPN dan imigresen tiada kaitan dengan pengeluaran kad sedemikian, justeru ketua pengarah (kedua-dua agensi terbabit) diarah meneliti laporan itu.
“Ia bagi mengesahkan sama ada kad pekerja asing ini sah atau palsu. Jika palsu, tindakan tegas mesti diambil terhadap firma pengurusan yang didakwa menjadi dalang dokumen terbabit.
“Pengeluaran kad sedemikian melanggar Akta Pendaftaran Negara 1959,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2019, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim.
Media melaporkan sayap Pemuda sebuah parti politik berpangkalan di Sabah menggesa pihak berkuasa mengesahkan ketulenan kad data pekerja asing yang mencatatkan kewarganegaraan mereka sebagai ‘Sabah’.
Pengeluaran kad yang kini menjadi viral di media sosial didakwa dikeluarkan sebuah firma pengurusan, di sini, beberapa hari lalu.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan mengakui Malaysia dijadikan lokasi tumpuan dan transit oleh beberapa sel pengganas, khususnya yang dikaitkan dengan puak pelampau Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehubungan itu, kerajaan terpaksa menggunakan peruntukan perundangan sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan sebagainya.
“Kita akan terus memantau dan melaksanakan langkah pencegahan bersesuaian, selain berkongsi maklumat perisikan dengan agensi serta negara berkaitan bagi membendung aktiviti keganasan.
“Polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditetapkan di beberapa lokasi ‘panas’, khususnya di perairan Sabah akan bertindak supaya dalang kegiatan keganasan ini dibawa ke muka pengadilan.
“Kita ada sedikit kerjasama dengan Filipina bagi menangani isu ini, memandangkan perairan Sabah sangat luas dan berdekatan dengan negara terbabit,” katanya.
Beliau mengulas Laporan Negara Mengenai Keganasan 2018, terbitan Kerajaan Amerika Syarikat yang mengekalkan Malaysia sebagai sumber dan titik transit kumpulan pengganas seperti Daesh, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiah.
Sumber:
