KEGAGALAN PARTI POLITIK MALAYSIA MENYEBABKAN PENTINGNYA KUASA KETIGA (THIRD FORCE) DALAM POLITIK MALAYSIA

KEGAGALAN PARTI POLITIK MALAYSIA MENYEBABKAN PENTINGNYA KUASA KETIGA (THIRD FORCE) DALAM POLITIK MALAYSIA. BAHASKAN.

Oleh

MUHAMAD ATLIZAN BIN DARLIS

Note by TTF: Kertas ini berdasarkan keputusan PRU ke 13. Nilaikanlah betapa tepatnya pemerhatian penulis ini.




1.0 Pengenalan

Setelah sekian maklum, Negara Malaysia telah dipimpin oleh Barisan Nasional sejak dari tahun 1955 yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Perikatan.Sewaktu menjadi kuasa pemerintah, Barisan Nasional telah menjadi kuasa utama yang dominan. Pada waktu ini,  Kuasa kedua yang menjadi penentang kepada BN adalah parti pembangkang seperti Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP). Tidak ada parti gabungan yang mampu menggugat suara majoriti BN semenjak pilihanraya yang pertama melainkan pakatan rakyat.Justeru itu, kuasa kedua boleh ditafsirkan sebagai parti pembangkang yang kuat di dalam Malaysia iaitu pakatan rakyat. Selain daripada kerajaan dan pembangkang, muncul pula satu kuasa baru yang dipanggil kuasa ketiga yang mungkin akan menggugat kedua dua belah pihak dan mungkin menjadi ancaman baru untuk pihak kerajaan BN mahupun pakatan rakyat untuk memenangi pilihanraya.Namun, kuasa ketiga yang akan dibincangkan nanti tidak semestinya parti politik, ia juga boleh diterjemahkan sebagai suatu organisasi atau kumpulan atau individu yang mampu mempengaruhi masyarakat khususnya yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial.

Keputusan PRU ke-13 akhirnya menunjukkan  BN memenangi 133 kerusi, Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan PAS, pula mengumpulkan 89 kerusi Parlimen – menambah tujuh kerusi berbanding lima tahun lalu.Berikut ialah pemerhatian terhadap keputusan akhir tersebut. Pakatan kehilangan Kedah. Ketiga-tiga negeri PR yang lain – Selangor, Penang and Kelantan – kesemuanya menang dengan majoriti lebih 2/3:

Selangor                                   – Pakatan 44, BN 12
Penang                                      – Pakatan 30, BN 10
Kelantan                                  – Pakatan 33, BN 12

MCA hanya tinggal 6 kerusi parlimen (berbanding 15 pada 2008), sementara Gerakan hanya tinggal satu (berbanding 2 ). Kerusi tunggal Gerakan ialah Simpang Renggam di Johor, yang dipertahankan oleh Liang Teck Meng. DAP menambahkan 10 kerusi parlimen, sementara PKR dan PAS masing-masing kehilangan satu kerusi berbanding keputusan 2008: DAP dengan 38 kerusi, PKR – dengan 30kerusi dan PAS dengan 21 kerusi. Terdapat 7 kerusi tambahan yang dimenangi oleh Pakatan dari Sabah (2 kerusi) dan Sarawak (5 kerusi).  Pengiraan awal menunjukkan secara keseluruhan Pakatan Rakyat telah menang dari sudut menerima lebih banyak undi popular – 50% berbanding 49% (1% lain-lain).

Empat orang menteri kabinet tewas. Mereka yang kalah ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Benard Giluk Dompok. Diantara timbalan menteri yang kalah ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Puad Zarkashi dan Datuk Lee Chee Leong. Parti Progresif Penduduk (PPP) kalah di semua kerusi yang ditandinginya – satu kerusi parlimen dan empat kerusi parlimen – pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).Selain tidak berupaya menyingkirkan calon DAP Dr Tan Seng Giaw bagi kerusi parlimen Kepong, parti komponen Barisan Nasional (BN) ini juga kalah di kerusi dewan undangan negeri Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak) dan Guchil (Kelantan).

BN tidak mempunyai 2/3 majoriti di negeri-negeri berikut
Perak                                                            BN 31 PR 28
Terengganu BN 17 PR 15
Kedah                                                           BN 21 PR 15
NegeriSembilan                                         BN 22 PR 14

Kelima-lima pegawai Datuk Seri Najib Razak kalah di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini. Mereka ialah dua pegawai khas beliau tewas kepada calon PAS di Kedah, Datuk Shahlan Ismail dan Datuk Latt Shariman Abdullah. Shahlan tewas dengan majoriti 3,935 kepada calon PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala Latt Shariman pula tewas kepada calon PAS Mohd Nasir Mustafa dengan majoriti 1,044 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kubang Rotan. Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 5,511 berbanding keputusan yang diperoleh pada tahun 2008. Dua lagi pegawai khas beliau yang tewas di kerusi Parlimen adalah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Baru dan Datuk Mohamed Suffian Awang di Kuantan.  Bekas MB Johor, Abd Ghani Othman dan bekas KM Melaka, Mohd Ali Rustam tewas.PAS berjaya melahirkan anak sulongnya di Melaka melalui kemenangan Dr Khalid Kassim di Dun Bukit Baru.

Loading...

Rakyat telah menolak politik perkauman Najib & UMNO BN apabila calon dari PERKASA tewas. Veteran Ibrahim Ali tewas di tangan muka baru Nik Abduh Nik Aziz di Pasir Mas dan Zulkifli Nordin kalah teruk di tangan Khalid Samad di Shah Alam.
Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu tewas selepas kiraan semula dengan peningkatan jumlah kerusi kepada BN setelah kiraan awal PAKATAN menang di kerusi tersebut.

Perubahan landskap politik negara pasca pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13 adalah satu perkara amat menarik untuk dibincangkan. Tsunami politik yang berlaku pada PRU ke-12serta berlanjutan kepada PRU ke-13 telah membuka mata ahli-ahli politik terutamanya daripada parti Barisan Nasional yang selama ini menganggap diri mereka berada dalam zon yang agak selesa, namun keputusan yang mengejutkan pihak kerajaan dengan kemenangan yang agak besar parti pembangkang di negeri-negeri Semenanjung Malaysia menuntut mereka ini berkerja lebih kuat bagi menghadapi suasana politik semasa. Selain itu, keputusan PRU 13 juga menarik minat dan perhatian para pemerhati dan penganalisis politik untuk terus membuat kajian – kajian berkenaan isu-isu politik yang timbul dari semasa ke semasa serta kesannya terhadap perubahan sistem politik dalam negara. Selain itu, kemunculan kuasa ketiga hangat diperkatakan selepas PRU yang ke 13. Oleh itu, perbincangan yang meluas akan dibuat untuk mengenalpasti apakah kuasa ketiga dan bagaimana ia muncul di dalam Negara Malaysia.

2.1 Konsep Kuasa

Kuasa didefinisikan sebagai kebolehan atau ciri yang ada dalam pemerintah.Kuasa membawa maksud keupayaan menyelesaikan masalah dan melaksanakan sesuatu atau pengaruh dan mempunyai corak kawalan serta dikerah taat setia rakyat. Menurut David Easton, beliau mengatakan yang  kuasa sebagai  satu kebolehan yang dipunyai seseorang individu atau kumpulan dan kebolehan ini menjelma apabila mereka mempengaruhi individu atau kumpulan yang lain untuk mematuhi kehendak orang atau individu yang memegang kuasa (Hamdan Hj Aziz, 2012: 18).Definisi ini memberi gambaran bahawa kuasa mampu mempengaruhi orang ramai dan akan dituruti oleh mereka. Selain itu, menurut Betrand Russel, beliau menyimpulkan bahawa kuasa ketiga bersifat nilai yang mempunyai kuantiti, iaitu boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu kesan atau kejadian.Pentingya kuasa adalah untuk pemimpin mencapai matlamat dan mendapatkan sokongan daripada golongan yang diperintah untuk melaksana dan menjalankan sesuatu dasar.

Jika kuasa digunakan dengan sebaik mungkin, ia akan mencapai matlamat diri sendiri dan mungkin menjadi rujukan atau ikutan oleh orang ramai. Kuasa juga mampu mempengaruhi kepercayaan dan kepentingan orang lain terhadap seseorang pemimpin dan menjadi penentu samada arahan dipatuhi atau tidak. Menurut Kautilya, kuasa dipecahkan kepada tiga elemen iaitu pengetahuan, kekuatan dan ketenteraan. Menurut Alan Renswick dan Ian Swinburn, mereka membahagikan kuasa kepada tiga iaitu kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa ketenteraan.Kuasa politik adalah penggerak utama dalam masyarakat dan sukar digugat. Selain itu, ia terletak kepada penerimaan masyarkat terhadap kuasa atau pangkat yang mereka miliki. Kuasa ekonomi memperlihatkan situasi di mana sanjungan tinggi yang diberikan kepada mereka yang mempunyai sumber ekonomi yang kukuh.Kuasa ketenteraan yang kuat pula memberikan satu jaminan kepada kestabilan sesebuah kerajaan dan membolehkan kerajaan tersebut menakluk Negara yang lemah.

3.1 Konsep Masyarakat Sivil

Mengikut Edward (2004), masyarakat sivil adalah merupakan ruang yang wujud diantara pihak kerajaan dan rakyat biasa. Ruang ini dikenali sebagai ruang awam.Masyarakat sivil ini dikatakan amat penting di dalam menjaga kepentingan negara.Ia dikatakan sebagai “watchdog” atau pemerhati kepada tindak tanduk pihak kerajaan. Ia juga dikatakan sangat penting kepada sesebuah negara kerana dianggap sebagai pengimbang kepada pihak kerajaan. Kenyataan-kenyataan ini memang tidak dapat disangkalkan kerana golongan masyarakat sivil atau NGO amat penting kerana ia adalah merupakan saluran bagi memperjuangkan hak rakyat. Konsep masyarakat sivil ini telah digunakan dengan meluas sebagai konsep deskriptif untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian.Bagi tradisi liberal, masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu.Ernest Gellner pula memberikan takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara. Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya. Gerakan masyarakat sivil juga dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat.

Konsep masyarakat sivil ini telah digunakan dengan meluas untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian.Bagi tradisi liberal,masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu. Ini menjelaskan mengapa masyarakat sivil yang sihat dan kuat merupakan ciri penting kepada demokrasi liberal dan liberal klasik khususnya mempunyai rujukan moral kepada masyarakat sivil terhadap negara yang diterjemahkan melalui hasrat untuk mengurangkan ruang kuasa negara dan memaksimakan ruang persendirian.Kumpulan-kumpulan sukarela, pergerakan sosial, mediamassa dan lain-lain institusi bukan kerajaan dapat berfungsi tanpa kawalan kerajaan.Ciri-ciri utama masyarakat sivil adalah kewujudan NGO sebagai aktor utama dalam memainkan peranannya untuk menciptakan ruangyang seluas-luasnya dalam berkomunikasi di antara kalangan orang awam dengan kerajaan. Ruang komunikasi ini berkaitan denganmasalah-masalah kemasyarakatan yang dilakukan secara bebas danberdikari dari campur tangan mana-mana pihak (Ernest Gellner. 1990 :303)

4.1  Definisi Kuasa Ketiga

Kuasa ketiga adalah sebuah organisasi politik yang berbentuk kepartian bagi mewakili satu kumpulan yang besar dan berpengaruh dalam berkongsi arah tuju perjuangan politik di dalam negara (Shaharul Shafie, 2011). Ia juga boleh diterjemahkan sebagai badan berkecuali atau lebih dikenali sebagai badan bukan kerajaan (NGO) . Perjuangan atau matlamat kuasa ketiga adalah berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh dua kuasa politik yang utama dalam sesebuah negara. Kuasa ketiga yang benar-benar berpengaruh dan mempunyai daya tarikan terhadap masyarakat perlu mempunyai garisan perjuangan yang jelas, niat organisasi yang luhur, organisasi yang tersusun dan kepimpinan yang mempunyai aura(Khairuddin Mohd Zain, 2012).Namun ada juga pihak yang mengatakan kuasa ketiga ini muncul atas sebab kekecewaan individu terhadap parti lamanya samada dari Barisan Nasional (BN) ataupun dari pembangkang (Meor Hisham Zulkifli et al, 2012).Kuasa ketiga mampu mengubah suasana politik dengan menjadi kuasa yang utama dan paling dominan kepada pembentukan sesuatu kerajaan selepas pilihanraya. Dalam politik Malaysia hari ini, kuasa ketiga ini juga mampu berperanan sebagai penyemak-dan-imbang kepada parti kerajaan dan pembangkang yang setiasa mengambil pendirian liberal atau keterbukaan dan sama rata berbanding keadilan atas kehendak rakyat (Aizuddin Khalid, 2012).

Di Negara barat, kuasa ketiga sudah menjadi satu kebiasaaan bagi rakyat di Negara barat dalam menentukan calon yang akan mereka pilih menjelang pilihanraya umum, sebagai contoh di Negara Amerika Syarikat pada pilihanraya presiden tahun 1992, George W Bush yang mewaklili parti Republikan telah diberi tentangan yang hebat oleh Bill Clinton yang mewakili parti Demokrat dan seorang lagi calon presiden dari parti bebas. Oleh itu, disini boleh dirumuskan bahawa kuasa ketiga di negara barat adalah satu perkara yang biasa apabila menjelangnya pilihanraya (Abdul Aziz Bari 2010:168).

Di negara-negara maju seperti di barat yang mengamalkan demokrasi, kewujudan kuasa ketiga sudah mula wujud selepas era Perang Dingin.Antara kuasa yang memplopori kuasa ketiga di negara-negara maju yang mulai mendapat tempat telah dimulakan sebagai parti pencinta alam sekitar.Parti yang dimaksudkan adalah parti ‘Green’.Parti-parti berhaluan alam sekitar banyak ditubuhkan di beberapa negara di dunia Barat.Rakyat melihat yang ia adalah penting untuk mereka memilih calon dan parti yang sesuai. Namun begitu, di Amerika Syarikat, parti Green masih dilihat sebagai pilihan ketiga kepada pengundi kerana mereka tidak mempunyai  kemampuanuntuk mengutip sebilangan peratusan undi popular dan undi ysng mereka dapat masih di peringkat yang rendah. Parti-parti seperti Republikan dan Demokrat masih lagi dianggap teguh dan dipercayai di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem dua parti yang kukuh itu.

Selain itu, isu kuasa ketiga in muncul di Negara United Kingdom (UK).Semasa pilihanraya umum UK pada pertengahan tahun 2010, tiada satu parti pun yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.Sepertimana yang sedia maklum, gergasi politik atau Kuasa Pertama dan Kuasa Kedua di UK adalah parti Buruh dan parti Konservatif. Dewan Rakyatnya yang dikenali dengan nama House of Commons mempunyai 650 kerusi dan parti yang boleh membentuk kerajaan memerlukan 326 kerusi sebagai majoriti mudah (Shaharul Shafie, 2011).

Di dalam pilihanraya tersebut, kedua-dua parti itu gagal memperolehi jumlah mudah tersebut. Parti Konservatif dipimpin oleh David Cameron (kini Perdana Menteri) memperolehi sebanyak 306 kerusi manakala parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Gordon Brown pula mendapat 258 kerusi. Untuk membentuk kerajaan di dalam keadaan yang diistilahkan sebagai ’Parlimen Tergantung’, mereka perlu mencari mana-mana parti lain atau Bebas yang memenangi kerusi untuk bergabung dan membentuk kerajaan. Akhirnya, sebuah lagi parti yang layak ditakrifkan sebagai Kuasa Ketiga iaitu parti Liberal Demokrat dengan 57 kerusi akhirnya bersetuju bekerjasama dengan parti Konservatif bagi membentuk kerajaan.Dalam erti kata lain, keadaaan terdesak yang teramat sangat ke atas Liberal Demokrat oleh Konservatif dan Buruh menunjukkan kepada kita betapa kuatnya pengaruhnya sebagai satu kuasa. Selain itu, Liberal Demokrat yang memperolehi hampir 23% undi popular semasa pilihanraya tersebut dan ini turut melayakkan partinya dianggap sebagai Kuasa Ketiga yang menggugat kemampuan parti Konservatif dan Liberal di dalam membentuk kerajaan bersendirian. Ini adalah satu contoh yang jelas bagi menggambarkan keadaan sebenar politik tentang kuasa ketiga.

Setelah sekian maklum, Barisan Nasional (BN) telah mengalami kekalahan yang paling teruk pada pilihanraya umum yang ke-12.Rakyat sudah mulai sedar tentang suasana dan iklim politik Malaysia.Sebelum ini, apabila tibanya pilihanraya, ramai pemerhati politik akan memeberi fokus utama kepada pengundi muda dan atas pagar (Zul Baharin Shaari, 2012). Namun apabila menjelangnya pilihanraya umum yg ke-13 ini, situasi telah berubah kerana adanya kuasa lain yang akan mempengaruhi suasana politik Malaysia. Kuasa yang dimaksudkan ialah kuasa ketiga (third force).Setelah sekian maklum, dalam politik Malaysia, dua kuasa utama ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).Kedua- dua parti ini mendominasi pengaruh politik Malaysia, malah majoriti penduduk di Malaysia masih bergantung harap kepada kedua- dua parti ini untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.Kewujudan kuasa ketiga adalah berpunca daripada kesedaran masyarakat yang amat memerlukansatu suasana yang baru dalam politik Malaysia.Justeru itu, kewujudan kuasa ketiga amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat yang sudah muak dengan suasana politik Malaysia. Antara kuasa yang mempunyai potensi untuk menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia adalah seperti Jalur Tiga (JATI), Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(PERKASA), Hindu Rights Action Force (HINDRAF), Human Right Party (HRP) dan sebagainya.Jadi tidak hairanlah ada individu seperti Zamil Ibrahim dari parti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ingin mengajak PERKASA, JATI dan AMANAH untuk bergabung bersama-sama untuk membentuk kuasa baru bagi menyaingi parti politik yang ada di Malaysia pada ketika ini (Muda Mohd Noor, 2012). Disini dapat dilihat bahawa kuasa ketiga banyak muncul melalui organisasi bukan kerajaan  yang secara amnya wujud hasil dari kegagalan parti yang sedia ada unuk memenuhi tuntutan rakyat.Persoalan yang timbul adalah adakah kuasa ketiga di Malaysia ini muncul setelah kegagalan parti politik dalam Malaysia. Jawapannya mudah, ia memang berlaku disebabkan oleh kegagalan parti untuk memahami kehendak rakyat.

5.1 Kemunculan Kuasa Ketiga Dalam Politik Malaysia

Masyarakat sivil atau organisasi muncul hasil kesan daripada kegagalan pemerintah demokrasi menjalankan tugas atau tanggungjawab sosiopolitik terhadap masyarakat umum.Pemerintah dan pembangkang telah gagal untuk mewujudkan dasar sosial ekonomi dan juga politik yang kondusif dengan masyarakat demokrasi yang telah tersedia wujud.Menurut Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Faisol Keling (2012), kewujudan kuasa ketiga adalah kritikal bagi memastikan segala keputusan dan dasar yang diambil sama ada oleh pihak BN atau pembangkang adalah telus.

Beliau juga menekankan bahawa BN dan pembangkang harus sedar antara faktor kewujudan kuasa ketiga ini adalah akibat rasa tidak puas hati terhadap dasar-dasar yang dibawa di dalam parti.BN dan pembangkang perlu bersaing untuk mendapatkan sokongan yang  menyakinkan daripada masyarakat dan pihak ketiga kerana ia memberi kesan yang besar dan boleh mempengaruhi kemenangan serta menentukan pembentukan kemenangan kerajaan selepas pilihanraya. Selain itu, beliau turut menekankan kuasa ketiga patutnya memerhati, menganalisis dan menyuarakan pandangan bebas mengenai perkara yang dilakukan oleh parti-parti politik sama ada membawa kebaikan atau keburukan untuk rakyat dan negara, atau mengemukakan idea alternatif ke arah yang lebih baik dan harmoni.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi, terdapat segelintir kumpulan kuasa ketiga ini dikhuatiri akan mewujudkan perpecahan yang besar di kalangan rakyat sehingga boleh menjejaskan perpaduan yang telah dipupuk sekian lama. Maka disini boleh dirumuskan bahawa masyarakat perlu meneliti dahulu konsep dan perjuangan yang dibawa oleh kuasa ketiga samada ia bertepatan dengan kehendak masyarakat atau retorik politik semata-mata. Selain itu juga, menurut  Datuk Dr Zainal Abidin Borhan (2012) yang juga seorang penganalisis politik, beliau berkata kemunculan kuasa ketiga merupakan kesan daripada pelbagai polemik dan permasalahan politik dan bukan politik, yang tidak hanya wujud di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain. Beliau menegaskan yang masyarakat perlu matang dalam memikirkan hal politik dan dapat menilai kuasa ketiga yang mempunyai nilai perjuangan sesuai dengan peranan mereka supaya dapat mengimbangi kekuatan politik dari kerajaan BN mahupun pembangkang dari pakatan rakyat.

5.1.1. Kebebasan untuk bersuara dan menubuhkan persatuan

Mengikut perkara 10 (1) perlembagaan persekutuan Malaysia, tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.Selain itu, semua warganegara juga berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.Disini dapat dirumuskan bahawa kuasa ketiga muncul hasil daripada pendemokrasian yang telah dirangka oleh kerajaan untuk rakyatnya.Masyarakat menggunakan ruang demokrasi dengan sebaik yang mungkin untuk menyuarakan sesuatu isu disamping bebas untuk berhimpun dan menubuhkan apa-apa persatuan di dalam Negara.Secara amnya, penubuhan persatuan yang wujud di dalam Negara Malaysia adalah melalui organisasi bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja, kesatuan wanita dan media.Kewujudan pelbagai kesatuan dan organisasi adalah perantara rakyat dengan pemerintah yang mungkin bebas daripada pengaruh pemerintah dan adakalanya cenderung kepada pemerintah (Zaini Othman. 2002:45).Antara contoh persatuan atau organisasi yang ada di dalam Malaysia adalah seperti Kongres Kesatuan Pekerja-PekerjaDi Dalam Perkhidmatan Awam(CUEPACS), Persatuan Dong Jiao Zong, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sebagainya.

Disini dapat dilihat bahawa persatuan atau pertubuhan yang muncul ini akan menyuarakan masalah ataupun isu yang mungkin memberi kebaikan kepada ahlinya seperti isu pendidikan, agama, kaum, hak asasi, dan anti rasuah. Setiap persatuan mewakili masyarakat ataupun kelompok yang tersendiri untuk memperjuangkan apa yang dikehendaki oleh ahlinya. Persatuan yang ditubuhkan menggunakan medium yang ada seperti demonstrasi, debat, ceramah, dialog dan menggunakan media baru untuk menyampaikan sesuatu isu. Sebagai contoh, rakyat Malaysia mendesak kerajaan untuk memansuhkan Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).Disini dapat dilihat kesedaran masyarakat sivil yang ingin mendesak kerajaan suapaya menghapuskan dasar ini kerana mereka merasakan yang Bahasa Malaysia perlu dikekalkan dalam pembelajaran. Hasil daripada desakan tersebut, kerajaan telah menghapuskan dasar PPSMI dan akur dengan tuntutan dari masyarakat yang mendesak mereka sehingga turun berdemonstrasi di jalanan.Kerajaan melalui menteri yang bertanggungjawab akan melayan apa yang dituntuti oleh persatuan-persatuan yang membangkitkan isu agar dapat bekerjasama untuk menuju pembangunan bersama.Disini juga, kita dapat lihat kuasa yang ada pada tangan rakyat dan boleh dikategorikan sebagai kuasa ketiga yang mampu untuk mempengaruhi rakyat supaya mendesak kerajaan agar keinginan mereka tercapai.

5.1.2. Kegagalan dan kelemahan politik dalam Negara

Masyarakat Malaysia pada hari ini sudah sekian lama mengecap kemerdekaan hasil dari penjajahan barat.Banyak kesan yang telah ditinggalkan oleh barat dan hasilnya kita berada di dalam sebuah Negara yang mempunyai pelbagai kaum. Namun selepas lebih 50 tahun merdeka, rakyat seolah-olah tidak dapat mengecapi hak sama rata atupun layanan yang adil daripada parti memerintah. Parti UMNO dengan semangat kemelayuan yang amat tinggi sementara parti PAS pula mempunyai nilai Islam yang sangat tinggi. Ini membuatkan masyarakat lain yang berbangsa dan bergama selain dari melayu dan Islam memerlukan satu organisasi ataupun parti politik yang mampu untuk menjaga keadilan tidak kira bangsa dan agama. Pada hari ini, kuasa ketiga diilhamkan atau dicetuskan oleh masyarakat sivil iaitu masyarakat yang yang mempunyai ciri-ciri tamadun yang tinggi, menghormati demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia, menolak fahaman perkauman, pemahaman agama yang sempit dan juga menolak nilai-nilai feudal yang menyebabkan fanatisme, diskriminasi dan seumpamanya (Abd Shukur Harun, 2012). Hasil daripada ini, lahirnya organisasi atau parti yang ingin membawa masyarakat untuk berjuang bersama-sama.

Sebagai contoh, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditubuhkan untuk memperjuangkan hak rakyat sama-rata.Walaupun parti ini berteraskan sistem sosialis, namun asas pendiriannya hanya berpaksikan kepada kebajikan rakyat.Ia rentetan daripada kegagalan parti politik yang di ada Malaysia ini untuk memperjuangkan hak sama-rata tanpa mengira kaum. Antara asas pendirian parti ini ialah komited untuk bekerja, menegakkan satu sistem sosialis di mana semua orang dapat hidup bahagia, aman dan adil, pengagihan kekayaan secara adil, politik berteraskan keperluan dan bukan perkauman, bergerak dengan majoriti rakyat (orang miskin, pekerja), menentang sistem patriakal yang menindas golongan perempuan, membantah polisi neo- liberal dan penswastaan yang menyusahkan rakyat, memastikan rakyat mempunyai hak saksama untuk pendidikan, jagaan kesihatan, perumahan dan kemudahan asas yang lain (Parti Sosialis Malaysia, 2012).

Hasil daripada penubuhan PSM, kita dapat simpulkan bahawa parti ini ditubuhkan selepas masyarakat gagal untuk mendapat apa yang mereka inginkan selepas merdeka lebih dari 50 tahun. PSM memainkan peranan yang  positif untuk menjadikan perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat berbilang kaum sebagai objektif utama, dan tidak mengkritik secara melulu apabila isu perkauman dimainkan. Namun yang demikian, parti ini tidak dapat bergerak dengan sendirinya apabila pertembungan kuasa-kuasa besar seperti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.Oleh itu, mereka terpaksa bergerak atas bantuan rakan daripada parti politik yang lain seperti Pakatan Rakyat. Walaupun PSM sering dilihat sebagai parti kecil yang hanya menurut perintah daripada Pakatan Rakyat, namun PSM sering dan sentiasa menonjolkan idea berbeza, sperti membina kuasa rakyat berlandaskan perjuangan kelas dan menjalankan program-program baik kerja pilihan raya mahupun membina gerakan rakyat dengan matlamat memperkasakan rakyat untuk membawa perubahan dari bawah.

Hasilnya, pemimpin PSM di Parlimen, DUN dan Kerajaan tempatan telah membawa agenda lain dan berbeza daripada rakan mereka yang ada dalam Pakatan Rakyat. Parti ini mampu membawa kepada perubahan lanskap politik Malaysia pada masa akan datang kerana segelintir rakyat yang ada pada hari ini tidak mahu memikirkan soal politik perkauman yang telah sekian lama memerintah Negara. Malaysia sudah lama merdeka dan semua orang yang ada di dalam Negara ini adalah rakyat Malaysia. Justeru itu, disini, dapat dilihat politik perkauman yang telah dibawa oleh parti-parti yang ada sudah tidak relevan lagi kerana rakyat mahukan sesuatu yang mempunyai kelainan yang tersendiri agar kebajikan rakyat tanpa mengira akaum dan agamaakan terbela.Selain itu, PSM berpendapat bahawa kedua-dua parti dalam konteks ini iaitu BN dan PR menyokong sistem pasaran bebas sebagai sistem ekonomi yang dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.  PSM berpendirian bahawa sistem pasaran bebas akanmewujudkan dan melebarkan jurang antara kaya dan miskin dan merupakan sistem yang memastikan golongan majoriti yang bekerja tidak akan memerintah manakala minoriti kaum kapitalis akan terus memerintah (S.Arutchilven, 2009).

5.1.3.  Kepentingan peribadi dan politik kumpulan tertentu

Selain daripada itu juga, apa yang terjadi di Malaysia pada hari ini, kuasa ketiga banyak dikaitkan dengan masalah dalaman parti, yang bukannya datang dari kehendak rakyat. Sebagai contoh isu dalam kerajaan Selangor memahami tugas ahli Exco yang telah dilantik.Sebagai contoh, Jalur Tiga (JATI) ditubuhkan oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana ingin memartabatkan Islam, Melayu dan Raja. Sebelum wujudnya JATI, Dr Hasan Ali adalah Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor dan memegang jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kerajaan negeri Selangor. Apabila suaranya tidak didengari oleh kerajaan negeri dan partinya sendiri, beliau telah dilucutkan jawatannya sebagai Exco dan tidak lama kemudian beliau telah menubuhkan JATI yang mampu untuk menyuarakan pendapatnya yang telah ditenggelamkan oleh pakatan rakyat.Dr Hasan Ali telah membuka satu lembaran baru terhadap suasana politik Malaysia kerana beliau merupakan seorang tokoh motivasi dan ilmuan yang disegani ramai. Ada pihak yang mengatakan beliau bertindak sedemikian kerana mahukan jawatan menteri besar, namun segala tohmahan negatif telah dinafikan oleh beliau kerana apa yang penting adalah beliau mahu memperjuangkan kedaulatan Islam, Melayu dan Raja.

Oleh itu, apa yang telah terjadi kepada Dr Hasan Ali telah membuatkan masyarakat berfikir sejenak tentang perjuangan parti politik yang ada di Negara kita. Dr Hassan Ali merasakan yang suara beliau sudah menjadi seperti anak kecil yang tidak ada kuasa di dalam sebuah keluarga.Apa yang disuarakan oleh beliau sudah tidak diendahkan lagi oleh peaktan rakyat mahupun parti Pas, oleh itu beliau merasakan dengan penubuhan JATI, beliau mampu untuk merealisasikan apa yang telah terbuku sekian lama ketika memegang jawatan dalam kerajaan negeri.

Setelah sekian maklum, Dr Hasan Ali yang memegang Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah melakukan tugas dengan baik seperti membanteras jenayah syariah bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Tetapi, apa yang melemahkan keududukan beliau sebagai Exco adalah selepas isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikatakan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya dan  dikhabarkan terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam. Ada ura-ura mengatakan yang ketegasan beliau dalam menegakkan syiar Islam di Selangor menyebabkan kedudukan beliau dalam jwatan tetinggi kerajaan disingkirkan. Selain itu, di dalama kes rampasan arak di kedai 24 jam di Shah Alam, parti DAP tidak begitu senang dengan apa yang telah dibuat oelh Dr Hasan Ali hingga menyebabkan berlaku pertelingkahan antara beliau dengan seorang lagi Exco Selangor, Ronnie Liu. Akhirnya arak yang telah dirampas oleh beliau dikatakan telah dipulangkan semula kepada kedai tersebut dalam kejadian yang berlaku pada Julai 2009(Saifulnizam Mohamad, 2011) .

Rentetan daripada insiden insiden inilah yang menyebabkan Dr Hasan Ali mula disisihkan dari kerajaan negeri. DAP dikatakan tidak berapa menyenangi Dr Hasan Ali kerana pendiriannya yang begitu tegas dank eras dalam soal berkaitan yang memelihara kesucian agama Islam di Selangor.Hasan juga kurang disenangi kepimpinan Pas negeri dan rakan parti merka samada DAP atau Parti Keadilan Rakyat berikutan sokongannya terhadap usaha menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Kesan daripada sokongan itu pada Muktamar Tahunan Pas 2011, Jun lalu beliau digugur sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor (Malaysiakini, 2011).Hasil daripada kegagalan parti PAS sendiri untuk mempertahankan apa yang telah diperjuangkan oleh Dr Hasan Ali, beliau telah menubuhkan JATI yang mungkin akan membuka lembaran baru kepada masyarakat yang pentingkan akidah umat Islam di Malaysia. PAS dengan pendiriannya bersama parti komponen yang lain dalam pakatan rakyat ingin menjaga hubungan masing-masing agar dapat menjadi pemerintah dan pentadbir yang unggul dalam melaksanakan tugas masing-masing untuk kebaikan masyarakat sejagat.

Selain daripada kegagalan individu untuk menyuarakan sesuatu yang penting dalam parti, isu konflik dalaman juga harus diambil kira. Sebagai contoh, apa yang terjadi terhadap Dr Hasan Ali boleh dikatakan berpunca daripada konflik dalaman parti antara Pas dan DAP antaranya isu arak yang menyebabkan berlakunya pertelagahan antara Dr Hasan Ali dan Ronnie Liu. PAS dan PKR hanya berpeluk tubuh tanpa memberi sokongan kepada Dr Hasan Ali berhubung dengan konflik dalaman kerana ingin menjaga perpaduan antara parti.Sepatutnya, dalam hal ini, pihak yang terlibat seperti PAS, PKR dan DAP haruslah bekerjasama dan sepakat untuk menjaga kepentingan ahli pimpinan mereka agar keadaan seperti ini tidak berlaku. Kegagalan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini membuatkan ramai penyokong Dr Hasan Ali mula hilang kepercayaan terhadap pakatan rakyat.Apa yang penting adalah tolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain di kalangan parti. Kegagalan parti khususnya PAS dalam menyelesaikan isu yang membabitkan ahli pimpinannya menyebabkan parti ini tidak mempunyai pertahanan yang kuat untuk membela nasib ahlinya.

Sebagai parti politik, PAS perlu menegakkan apa yang telah diperjuangkan selama ini iaitu syiar Islam dan dalam masa yang sama dapat menyesuaikan parti dengan suasana yang baru iaitu dengan kerjasama antara DAP yang rata-ratanya bukan beragama Islam. Sekiranya parti dapat menyelesaikan isu yang menghimpit antara mereka, mungkin Dr Hasan Ali tidak akan keluar landasan parti dan menbuhkan satu organisasi yang baru. Selain itu, PAS yang kuat menentang jenayah dan sosial di kalangan masyarakat haruslah berani kedepan dan menyatakan pendirian mereka berhubung perkara tersebut. Disebabkan kegagalan parti untuk membela suara Dr Hasan Ali menyebabkan hilangnya seorang pemimpin dan mungkin akan menjadi pemipin kuasa ketiga yang kuat menjelang pilihanraya yang akan datang.Konflik dalaman yang berlaku antara individu dan parti mnyebabkan berlakunya kewujudan kuasa ketiga.Apabila berlakunya ketidakpuasan hati, ini menyebabkan sseorang pemimpin poltik bertindak untuk keluar dari parti dan menubuhkan satu organisasi baru. Ini juga menyebabkan pemimpin politik yang mempunyai pengaruh dapat menarik ramai ahli-ahli politik yang lain untuk serta bersama mereka. Apabila ramai orang yang tertarik dan dapat dipengaruhi maka wujulah suasana politik baru ekoran daripada konflik dalaman yang tercetus.Selalunya konflik dalaman tercetus kerana perebutan kuasa yang berlaku dalam parti politik seperti pemilihan pimpinan tetinggi parti yang melibatkan pencalonan dan pengaruh masing-masing.

5.1.4 Konflik dalaman

Sebagai contoh apa yang telah terjadi terhadap pemilihan jawatan pemilihan timbalan presiden parti keadilan rakyat (PKR). Isu mula timbul apabila berlakunya dua kem besar dalam PKR kerana pertembungan yang berlaku antara Datuk Zaid Ibrahim yang menentang Azmin Ali untuk perebutan kuasa timbalan presiden PKR.Kenyataan sokongan yang dibuat oleh sekumpulan wakil rakyat PKR juga mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat.Kenyataan dari kem Azmin Ali terhadap Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan wujudnya politik kelompok yang kuat dalam PKR (Pok Mang, 2010).Kegagalan parti yang diketuai oleh Dr Wan Azizah untuk mengawal keadaan menyebabkan berlakunya pertembungan yang cukup hebat antara Zaid dan Azmin.Ini menyebabkan berlakunya lompat parti oleh Datuk Zaid Ibrahim dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air atau Parti KITA terbentuk hasil daripada penggabungan daripada parti yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan KeadilanInsan Malaysia (Akim). Ia telah dinamakan semula pada 15 Dis 2010 dalam resolusi yang diluluskan oleh Akim ahli parti. (Partikita.com,2012). AKIM yang mengalu- alukan kehadiran Datuk Zaid Ibrahim dalam parti mereka dan sanggup untuk menukarkan nama parti AKIM kepada nama yang baru iaitu parti KITA. Disebabkan penggabungan ini maka ramai ahli PKR keluar parti untuk ikut serta dengan penghijrahan yang dibuat oleh Datuk Zaid Ibrahim. Ini sedikit sebanyak telah memberi impak yang besar kepada PKR kerana ramai ahlinya meninggalkan parti itu. Selain itu, Datuk Zaid Ibrahim yang merupakan bekas menteri dan seorang peguam mempunyai pengaruhnya yang besar dalam politik.

Hasil daripada pertembungan perebutan kuasa menyebabkan parti kehilangan pemimpin tertinggi. Ini boleh dielakkan sekiranya pimpinan dalaman parti bersatu dan bertindak secara profesional semasa proses pemilihan timbalan presiden yang baru. Kegagalan parti politik untuk meredakan dua kem yang besar sewaktu pemilihan menyebabkan berlakunya pertembungan yang hebat dan akhirnya salah seorang bertindak keluar parti. Selain itu , ada desas desus yang mengatakan Azmin Ali memilih untuk menggunakan wang sebagai senjata untuk memperolehi kemenangan dalam pemilihan parti tersebut pada tahun 2010 (Mirza Mahamood, 2012). Ini menunjukkan kegagalan parti untuk membuatkan pemilihan pimpinan pada waktu tersebut amat terserlah. Ada juga ura-ura yang mengatakan tidak ada ketelusan apabila berlakunya proses pemilihan parti kerana Azmin Ali mempunyai pengaruhnya yang besar dalam politik parti. Seharusnya pihak pimpinan parti pada waktu itu harus peka terhadap situasi ini kerana rakyat rata-ratanya yang ingin sesuatu yang baharu dalam politik seperti pemilihan yang bersih, adil dan profesional. Sekiranya perkara seprti ini berlaku, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap parti dan akan menumpukan kepada parti atau badan yang baru seprti KITA. Kuasa ketiga yang wujud selepas isu dalaman parti akan membuatkan rakyat semakin mempersoalkan kewibawaan parti dalam melaksanakan pembaharauan yang telah dicanangkan sejak sekian lama.

Memang diakui bahawa kuasa ketiga yang muncul ini hasil daripada pertelingkahan yang tercetus dalam parti, namun ia mungkin dapat dibendung sekiranya pihak pimpinan parti dapat mengesan dan memperbaikinya agar reputasi parti dapat dipulihkan dan mungkin juga pihak yang ingin keluar parti tersebut akan melupakan hasratnya. PKR seharusnya mengambil langkah yang adil selepas kedengaran politik wang ketika pemilihan pimpinan parti tersebut, sebagi contoh parti UMNO ketika pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Mohd Ali Rustam telah didapati bersalah dan dihukum dibawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan jawatan tersebut (Utusan, 2009). Ini menunjukkan komitmen parti UMNO untuk menjaga reputasi dan kewibawaan UMNO dalam menjalankan pemilihan jawatan tertinggi di dalam parti tersebut.Parti politik haruslah memiliki satu badan yang menjaga disiplin ahlinya supaya masalah yang berlaku dapat diselesaikan dalam parti sahaja.Jika tidak, muncullah kuasa-kuasa baru yang atas sebab ketidakpuasan hati dalam parti.

5.0 Kesimpulan

Seperti yang diketahui, kemunculan kuasa ketiga adalah hasil daripada pendemokrasian yang ada dalam Malaysia iaitu kebebasan untuk bersuara dan menubuhkan persatuan.Selain itu, kegagalan dan kelemahan politik dalam Negara turut menjadi faktor kewujudan kuasa ketiga.Kepentingan peribadi dan politik kumpulan tertentu dan konflik dalaman juga menjadi punca kewujudan kuasa ketiga di Malaysia.Kuasa ketiga juga boleh muncul hasil daripda penubuhan organisasi seperti organisasi bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja, kesatuan wanita dan media. Selain itu, kuasa ketiga juga boleh muncul melalui parti politik dan akan menggunakan kuasa politik yang ada untuk memperngaruhi orang ramai supaya menyokong mereka. Kerajaan adalah pihak yang paling berkuasa dan memiliki segala kemampuan serta berhak membuat segala pilihan yang menentukan hala tuju Negara Malaysia.

Kemunculan kuasa ketiga ini sebenarnya turut mewakili suara tidak puas hati samada dari organisasi dan persatuan ataupun parti politik terhadap prestasi yang dipamerkan oleh kerajaan ataupun pembangkang.Setakat ini, semua pihak yang menyokong dan mendokong kemunculan kuasa ketiga seharusnya setuju dengan kenyataan di atas, iaitu kerajaan sudah tidak boleh diharap.Begitu juga dengan pihak pembangkang dalam Dewan Rakyat yang dirujuk sebagai kuasa kedua.Untuk melahirkan politik yang matang dalam sesebuah Negara, kuasa ketiga ini perlu ada dalam Malaysia kerana ia mampu membuatkan kuasa pertama dan kedua tersentak dengan idea dan pembaharuan yang dibawa oleh kuasa ketiga ini. Namun begitu, soal prestasi pihak pembangkang tidak sewajarnya dipersoalkan kerana mereka masih belum memerintah dan diberi peluang untuk membuktikan kata-kata dan janji mereka.

Di Malaysia pada hari ini. kita sewajarnya menguji dahulu kemampuan pihak Pakatan Rakyat untuk memerintah Negara, supaya dapat melihat adakah mereka mampu mengotakan janji mereka. Sekiranya Pakatan Rakyat tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik apabila memegang tampuk pemerintahan, masyarakat di Malaysia harus mengambil alternatif yang lain dengan memilih kuasa ketiga pada pilihanraya kelak. Namun begitu, difahamkan penggerak paling popular kuasa ketiga ini sebenarnya didorong oleh, pertama kegagalan kerajaan menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin,kedua kegagalan pihak Pembangkang untuk muncul sebagai alternatif kepada kerajaan yang gagalitu tadi.Kuasa ketiga pula muncul ditengah-tengah perdebatan yang tiada kesudahan antara kedua-dua kuasa yang besar itu.

Soal hak sama rata tanpa mengira kaum dan agama amat dititik beratkan oleh kuasa ketiga ini. Selain itu, masalah yang timbul seperti faktor konflik dalaman dan kegagalan parti untuk berlaku telus adil dan adil telah mebuatkan kuasa ketiga muncul kerana tidak puas hati dengan apa yang terjadi dalam parti. Namun, perlu juga diingatkan, bahawa walaupun kuasa ketiga ini membawa ideologi dalam gerakan masing- masing, mereka sebenarnya tidak berapa kuat untuk memenangi dan mempengaruhi rakyat.Kuasa ketiga tidak mampu menyaingi kekuatan yang ada pada kuasa pertama iaitu pihak kerajaan, dan kedua iaitu pembangkang. Ini kerarna disebabkan rakyat sudah tahu dan sebati dengan perjalanan politik kuasa pertama dan kedua, mereka amat mempercayai yang pertembungan antara kuasa pertama dan kedua sudah cukup untuk politik Malaysia, dan rakyat tidak fikir yang kuasa ketiga mampu untuk memenangi hati mereka apatah lagi untuk memerintah Negara.

Kuasa ketiga yang ada di Malaysia hanya boleh menjadi pengacau daun ataupun melambatkan sistem perubahan Negara yang di buat di parlimen. Oleh sebab itu, jika kita lihat di parlimen, kewujudan pihak yang berhormat yang tidak mewakili parti ini hanyalah melambatkan proses pengusulan ataupun perbahasan kerana mereka tidak ada suara majoriti dan mereka hanya mampu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di parlimen tanpa diambil perhatian oleh pihak pembangkang dan kerajaan. Meskipun rakyat tahu bahawa suara ketiga ini mempunyai banyak idea baru untuk membawa kepada perubahan Negara, namun ia tidak cukup untuk meyakinkan rakyat yang kuat memegang dan percaya kepada dua golongan kuasa sahaja iaitu kuasa pertama dan kedua.

RUJUKAN

 Abd Shukur Harun.2012 : Golongan rasis bukan kuasa ke-3. http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/golongan-rasis-bukan-kuasa-ke-3-abd-shukur-harun/[30 September 2012]

Abdul Aziz Bari.2010 : Wakil bebas jadi kuasa ketiga, Perspektif Perlembagaan Persekutuan   Selepas Tsunami 2008, Institut for Democracy and Academic Affairs

Aizuddin Khalid. 2012 : Kuasa ketiga Melayu pertahan kedaulatan Islam. Diambil dari http://www.ismaweb.net/v4/2012/02/kuasa-ketiga-melayu-pertahan-kedaulatan-islam/[1 Oktober 2012]

Amin Iskandar. 2012 : Misteri tarikh pilihanraya. http://www.themalaysianinsider.com/mobile/opinion/article/misteri-tarikh-pilihanraya/[11 Oktober 2012]

Datuk Dr Zainal Abidin Borhan. 2012: Kuasa ketiga penting bagi keharmonian politik. http://www.malaysiakini.com/news/188330  [5Febuari 2012]

Ernest Gellner. 1990 :The Civil and the Sacred, hlm 303.Harvard University

Hamdan Hj Aziz. 2012: Konsep Kuasa .Politik &Kerajaan, hlm 18. Freemind Horizons Sdn Bhd

Khairuddin Mohd Zain. 2012 : Menilai kredibiliti kuasa ketiga. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm[1 Oktober 2012]

Lembaga Penyelidikan Undang-Undang.2009 : Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan. Perlembagaan Persekutuan, hlm 11. International Law Book Services

Malaysiakini.2011 : Hasan Ali digugur sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor. Malaysiakini.http://www.malaysiakini.com/news/166707 [8 Oktober 2012]

Muda Mohd Noor. 2012 : Zamil ajak , Amanah, Perkasa, Jati bentuk kuasa ketiga. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/02/04/pemimpin-kita-ajak-perkasa-amanah-jati-bentuk-kuasa-ketiga-baru/[2 Oktober 2012]

Meor Hisham Zulkifli et al. 2012 : Kuasa ketiga tidak relevan. http://www.bharian.com.my/articles/Kuasaketigatidakrelevan/Article/[1 Oktober 2012]

Mohamad Faisol Keling. 2012: Kuasa ketiga penting bagi keharmonian politik. http://www.malaysiakini.com/news/188330[5 Oktober 2012]

Mirza Mahamood. 2012 : Pembangkang Bergelut Bertelingkah Di Ambang Kekalahan. http://www.umno-online.my/?p=69429[9 Oktober 2012]

Partikita.2012 : Tentang KITA. http://www.partikita.com/[8 Oktober 2012]

Pok Mang. 2010 : Kenapa Zaid keluar parti dan haluannya selepas ini. http://www.harakahdaily.my/kenapa-zaid-keluar-parti-dan-haluannya-selepas-ini        [8 Oktober 2012]

Parti Sosialis Malaysia.2012 : Pendirian PSM. http://partisosialis.org/kenali-psm                 [10 Oktober 2012]

S.Arutchilven. 2009: Kuasa ketiga?.http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=10444[6 Oktober 2012]

Shaharul Shafie. 2011 : Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?. http://www.idhamlim.com/2010/12/mampukah-kuasa-ketiga-ubah-politik.html?m=0    [8 Oktober 2012]

Saifulnizam Mohamad. 2011 : Hasan Ali digugur, Utusan Malaysia. Diambil dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm[2 Oktober 2012]

Utusan.2009 : Setiausaha politik Ali Rustam antara yang digantung. Diambil dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_15.htm[3 Oktober 2012]

Zaini Othman. 2002: Masyarkat sivil dan pendemokrasian. Ghazali Mayudin (pnyt). Politik Malaysia Persfektif Teori Dan Praktik, hlm 45. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Zul Baharin Shaari. 2012 :Kuasa Ketiga atau Golongan Muda Penentu PRU13. http://malaysiaaktif.my/v2/index.php/News/Issues/Kuasa-Ketiga-atau-Golongan-Muda-Penentu-PRU13.html [2Oktober 2012]

Sumber: academia



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...