Kegawatan politik Pakatan Harapan

Shahir Adnan

BERDASARKANkiraan masa, hari ini sudah genap 9 bulan 10 hari Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara sejak Pilihan raya Umum ke-14. Kalau diikutkan proses kehamilan manusia, selepas 9 bulan, seorang bayi yang cukup sifatnya bakal lahir ke dunia. Berita gembira buat si ibu dan keluarga.

Namun begitu, lain pula ceritanya dalam politik tanah air. Janji 10 perkara dalam masa 100 hari masih samar-samar. Terbaru, berlaku pula pergelutan kuasa sesama sendiri, hingga mengheret parti pembangkang seperti PAS untuk memperbaiki keadaan.

Hari ini, seorang pemimpin DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau, menerusi laporan portal berita online, mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu. Beliau turut menyelar tindakan PPBM menerima bekas ahli Parlimen Umno.


Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kepimpinan Pakatan Harapan agar fokus dalam mentadbir negara dan kurangkan drama politik. Sejak memegang tampuk pemerintahan negara, nilai matawang Ringgit jatuh merundum berbanding matawang lain, termasuk Thai Baht dan Singapore Dollar.

Sehingga kini tiada pelaburan besar dibawa masuk oleh menteri-menteri, menyebabkan Perdana Menteri terpaksa mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Di sebalik kegawatan ekonomi yang tidak dapat diperbetulkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, beliau pula kelihatan teruja untuk memberi komen mengenai perjumpaan antara Perdana Menteri dan pemimpin PAS.

Namun begitu, hari ini terbukti bahawa perkara yang diberitahu oleh pemimpin PAS semalam, merujuk kepada solidariti YB Ahli Parlimen PAS seramai 18 orang untuk menyokong kepimpinan Tun Mahathir sehingga PRU15, adalah suatu perkara yang benar. Open attack daripada pemimpin DAP Johor tersebut merupakan serangan awal pertama yang ditujukan kepada pentadbiran Perdana Menteri.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga mendapati bahawa kempen PRK Semenyih, Pakatan Harapan tidak semeriah PRK sebelumnya, kerana pemimpin dari parti lain dalam Pakatan Harapan kebanyakannya tidak hadir berkempen. Tiada kelibat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Siang. Ini jelas menunjukkan petanda berlakunya “masalah rumah tangga” yang parah. Nampaknya, DAP, PKR dan PAN sudah tidak sebulu dengan PPBM.

“Perkahwinan” antara Pakatan Harapan ini dilihat sudah retak. Berkemungkinan besar, tempoh 9 bulan ini hanyalah tempoh “pernikahan” paling singkat dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah pakatan yang membentuk kerajaan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menggesa agar pemimpin politik kerajaan memberi fokus kepada hal ehwal negara dan kebajikan rakyat, bukan lagi bermain politik siapa yang menjadi Perdana Menteri. Rakyat sudah memilih pada PRU14 dengan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan. Rakyat di bawah mahukan kerajaan yang boleh beroperasi demi kebaikan rakyat dan negara.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir perlu diberi ruang untuk memimpin Malaysia, tanpa gangguan politik yang melemahkan pentadbiran kerajaan. Cubaan untuk menukar Perdana Menteri secara mendesak bukan sahaja merumitkan perjalanan pentadbiran negara, malah memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia dan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera

Sumber:

 

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...