Kemunculan Blok Bebas Kuasa Ketiga menandakan sejarah berulang

“Lanskap politik tanah air pada ketika ini terbahagi kepada tiga blok utama, iaitu “Kuasa Pertama” (parti-parti lazim kerajaan), “Kuasa Kedua” (parti-parti lazim pembangkang) dan “Kuasa Ketiga” (blok bebas Mahathir)”

Raggie Jessy Rithaudeen

1. Buat pertama kali dalam sejarah tanah air semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa masuk ke dalam UMNO pada tahun 1982, negara kita mempunyai sebuah blok politik bebas berupa “Kuasa Ketiga” yang tidak melibatkan Anwar, DAP, MCA, MIC, PAS atau UMNO.

2. Blok ini wujud semenjak 10hb Julai 2020 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bersama WARISAN dan lima ahli parlimen dari PPBM bahawa blok beliau merupakan blok bebas tanpa Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.




3. Sebelum ini, Kuasa Ketiga pertama yang muncul di negara ini ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ditubuhkan pada tahun 1968 dan berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan Pulau Pinang menerusi Pilihan Raya Umum tahun 1969.

4. Pada ketika itu, Gerakan tidak terlibat dalam apa jua kapasiti dengan mana-mana parti lain yang lazimnya mendominasi blok kerajaan mahupun blok pembangkang.

5. Biasanya, apabila wujud satu parti pembangkang baharu dalam arena politik kebangsaan, parti itu tidak akan memiliki peluang cerah dalam Pilihan Raya Umum terdekat dan dianggap sebagai “sebahagian daripada pembangkang”

6. Tetapi lain pula halnya dengan Gerakan.

7. Disebabkan penglibatan bekas presiden MCA, Lim Chong Eu, dalam parti itu, Gerakan mendapat perhatian serius oleh masyarakat majmuk.

8. Ini kerana Lim merupakan seorang pemimpin kontroversi terkenal yang meninggalkan MCA pada tahun 1959 atas dasar tidak puas hati dengan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, dan beberapa pemimpin MCA yang menyokong dasar Tunku berhubung isu agihan kerusi.

9. Lim turut mendapat perhatian umum kerana berjaya menubuhkan Gerakan pada tahun 1968 bersama beberapa tokoh politik dan akademik terkenal, termasuk Professor Syed Hussein Al-Attas, di mana adiknya, Syed Naquib Al-Attas, pernah berdebat di pentas umum dengan Lim Kit Siang berhubung isu penggunaan Bahasa Melayu.

Loading...

10. Justeru, walaupun Gerakan merupakan sebuah parti baharu, ianya mula memiliki aura “Kuasa Ketiga” kerana tidak dikawal oleh mana-mana parti politik lazim, ditubuhkan bersama oleh seorang pemimpin kontroversi yang berani dan dianggap menjiwai sebuah “organisasi bukan kerajaan.”

11. Aura ini diperkukuhkan lagi apabila Lim memberanikan diri membawa Gerakan memasuki Pilihan Raya Umum 1969 bagi mempertahankan prinsipnya dengan menentang kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang biarpun Gerakan hanya berumur setahun.

12. Atas dasar inilah lanskap politik tanah air pada ketika itu terbahagi kepada tiga blok utama, iaitu “Kuasa Pertama” (parti-parti lazim kerajaan), “Kuasa Kedua” (parti-parti lazim pembangkang) dan “Kuasa Ketiga” (Gerakan).

13. Di sini, kita dapat lihat, walaupun Lim merupakan seorang pemimpin kontroversi yang diselar oleh sebilangan tertentu ahli masyarakat Melayu-Islam dan Cina atas penentangannya terhadap Tunku Abdul Rahman dan kepimpinan MCA, beliau berjaya ‘merampas’ Pulau Pinang dengan mudah daripada MCA dan disokong oleh majoriti Melayu-Islam di situ biarpun pada satu ketika dahulu bergelar presiden MCA.

14. Malah, Lim turut berjaya menguburkan impian DAP di Pulau Pinang walaupun DAP ditubuhkan lebih lama dari Gerakan dan membelanjakan jauh lebih banyak dana ketika kempen Pilihan Raya Umum 1969.

15. Hari ini, sejarah berulang.

16. Hari ini, Mahathir merupakan seorang pemimpin kontroversi yang terkenal kerana meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dasar tidak berpuas hati dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin membawa PPBM bekerjasama dengan UMNO secara en bloc.

17. Mahathir tidak ingin bekerjasama dengan UMNO secara en bloc kerana tidak bersetuju untuk berdamping dengan pemimpin-pemimpin bermasalah dari Team A UMNO

18. Disebabkan itu, beliau membuat keputusan untuk membentuk blok bebas tanpa Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional, sekaligus membuktikan bahawa bukan hanya beliau tidak ‘dikawal’ oleh DAP (sepertimana yang didakwa oleh Team A UMNO), beliau tidak mengiktiraf Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-9 dan tidak terikat dengan apa-apa perjanjian peralihan kuasa.

19. Mahathir turut membuktikan bahawa beliau tidak memerlukan Anwar untuk bersmanya bagi menempuhi Pilihan Raya Umum ke-15 dan cukup berpuas hati dan yakin dengan “jenamanya” sendiri, iaitu jenama “Mahathir.”

20. Beliau turut berani membawa blok bebasnya memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mempertahankan prinsipnya dengan menentang sesiapa sahaja biarpun blok itu baru ditubuhkan tak sampai sebulan.

21. Justeru, walaupun blok Mahathir merupakan sebuah blok baharu, ianya mula memiliki aura “Kuasa Ketiga” kerana tidak dikawal oleh mana-mana parti politik lazim.

22. Pada ketika ini sahaja, Mahathir sudahpun memiliki sokongan parti WARISAN dan majoriti ahli-ahli parlimen daripada PPBM dan Team B UMNO.

23. Beliau turut mendapat sokongan tambahan daripada sebilangan tertentu ahli parlimen dari Team B UMNO, Sabah, Sarawak dan juga PKR yang mula berkomunikasi dengan orang-orang beliau sebaik sahaja beliau mengumumkan pembentukkan blok bebas.

24. Atas sebab-sebab inilah lanskap politik tanah air pada ketika ini kembali terbahagi kepada tiga blok utama, iaitu “Kuasa Pertama” (parti-parti lazim kerajaan), “Kuasa Kedua” (parti-parti lazim pembangkang) dan “Kuasa Ketiga” (blok bebas Mahathir).

25. Bukan hanya sokongan yang dimiliki oleh blok Mahathir 10 kali ganda lebih padu daripada sokongan yang dimiliki oleh Gerakan pada tahun 1969, beliau merupakan seorang pemimpin Melayu-Islam yang sedang menerajui sebuah blok Kuasa Ketiga yang akan menempuhi Pilihan Raya Umum dalam suasana undi Melayu-Islam berpecah teruk disebabkan pencaturan Team A UMNO yang gagal.

26. Maka tidak syak lagi  Pilihan Raya Umum ke-15 akan didominasi oleh Blok Kuasa Ketiga kerana ramai pengdundi Melayu-Islam sudah muak dengan senario politik kini yang dipenuhi oleh pemimpin-pemimpin berkepentingan yang sanggup menjaja apa sahaja demi memperdaya pengundi.

Wallahu A’lam

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...