“Sehingga hari ini, Najib tidak berani menyatakan secara hitam putih bahawa semua dakwaan Clare yang menjurus kepada kes-kes jenayah Najib adalah palsu dan bermotifkan politik. Kenapa?”
Raggie Jessy Rithaudeen
كناڤ نجيب تاكوت سامن چلار بروون سڤرتي هادي اوڠ، سلطانه ترڠڬانو؟
Hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak memuat naik kenyataan berikut di Facebook:
“Atok, kawan kamu terbukti fitnah Sultanah.
“Harap atok pujuk kawan pulang ke Malaysia.”
Tulisan ini berserta gambar yang memaparkan Clare Rewcastle Brown bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan Najib merujuk kepada Mahathir sebagai “Atok” dan Clare Rewcastle Brown sebagai “kawan Atok.”
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajukan lima soalan yang harus dijawab oleh Najib jika benar beliau merupakan seorang pemimpin yang berintegriti:
1. Soalan Pertama
Sehingga hari ini, Najib tidak berani menyatakan secara hitam putih bahawa semua – dan saya maksudkan semua – dakwaan Clare yang menjurus kepada kes-kes jenayah Najib adalah palsu dan bermotifkan politik.
Kenapa?
2. Soalan Kedua
Banyak daripada dakwaan Clare – termasuk “money trail” yang dipaparkan menerusi Sarawak Report dan semua dakwaan berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion dari Arab Saudi – terbukti benar menerusi perbicaraan Mahkamah.
Apakah penjelasan Najib?
3. Soalan Ketiga
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Najib dan juga bloger-bloger yang berkait dengan sel-sel media Jabatan Perdana Menteri mendakwa kononnya RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib adalah ‘derma’ daripada Raja Arab Saudi.
Namun, Clare menafikan perkara ini dan memaparkan “money trail” sebagai bukti jejak sebenar aliran dana yang dimaksudkan.
Kenapa Najib tidak saman Clare di United Kingdom sepertimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
4. Soalan Keempat
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pada 26hb Oktober 2018, Najib mengaku kepada Al Jazeera bahawa beliau tidak mengesahkan sumber dana RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Dalam temuramah itu, Najib turut mengaku bahawa beliau hanya “menganggap” dana itu adalah ‘derma’ setelah Raja Arab Saudi pada ketika ‘derma’ itu dibuat, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud, mengesahkan sokongannya terhadap Najib.
Ini sekaligus bermakna Najib mengaku tidak tahu samada Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud benar-benar menderma RM2.6 bilion kepadanya ataupun tidak.
Ianya turut merupakan pengakuan secara tidak langsung oleh Najib sendiri bahawa beliau memperdaya seluruh rakyat Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 apabila mengesahkan bahawa dana itu merupakan derma daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud.
Kenyataan Najib turut bercanggah dengan apa yang disampaikan olehnya kepada saya secara peribadi bahawa dana itu ‘derma’ yang diberikan oleh pihak yang berkait dengan Raja Arab Saudi dan perkara ini diketahui oleh Zeti.
Bukankah Mahathir selama ini dakwa bahawa dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib bukannya derma daripada Raja Arab Saudi, dan bukankah dakwaan Mahathir ini terbukti benar?
Apakah penjelasan Najib?
5. Soalan Kelima
Najib mencadangkan secara sinis (menerusi posting Facebook hari ini) bahawa Clare ada kaitan dengan “Atok” dan hanya “Atok” boleh memujuknya untuk kembali ke Malaysia.
Tetapi setahu saya, Clare kini merupakan pengkritik “Atok” dan menjulang-julang nama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap pengerusi Pakatan Harapan.
Bukankah Najib penyokong Anwar, dan bukankah Najib sendiri menandatangani surat yang ditujukan kepada Istana Negara bagi menzahirkan sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri?
Jadi kenapa susahkan “Atok,” kenapa tidak minta kawan Najib sendiri (Anwar) pujuk Clare kembali ke Malaysia?
Soalan Bonus:
Najib sindir Mahathir dengan gelaran “Atok.” Tapi pernahkah Najib mendengar Mahathir menyindir sesiapa dengan gelaran buruk?
Bukankah ini menjadikan Najib seorang pemimpin “low class” dan Mahathir seorang tokoh negarawan yang harus dihormati?
WAJIB BACA:
Kerajaan pimpinan Ismail Sabri dijangka tumbang sebelum November ini
