
Khairuddin Abu Hassan
كڽاتأن محضير برهوبوڠ ڤنچلونن مخريز سباڬاي ڤردان منتري اداله اتس كهندق اهلي-اهلي ڤجوڠ، بوكن كهندق محضير
Apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah fakta yang nyata. Ianya bukan soal ‘anak pinak’ sebagai calon pengganti untuk menjawat jawatan perdana menteri pada suatu masa nanti.
Dalam isu Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir; kami pernah bersuara bahawasanya samada Tun Dr Mahathir Mohamad setuju ataupun tidak selepas ini ahli-ahli PEJUANG akan melonjakkan kedudukan Presiden parti PEJUANG sebagai calon potensi bagi menjawat jawatan ketua nombor satu negara.
Ini bukan soal ahli keluarga atau isu anak-pinak. Seandainya generasi kedua itu mempunyai pakej serta kualiti yang mencukupi maka sebagai pemimpin-pemimpin mahupun ahli-ahli PEJUANG kami akan tetap memasarkan Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir untuk berada pada ‘line up’ tokoh-tokoh pemimpin berpotensi di masa akan datang.
Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir mempunyai ciri-ciri tersebut. Jadi apa masalahnya sekiranya ayahanda beliau bercakap mengenai perkara tersebut bagi pihak ahli-ahli PEJUANG?!
Lihat saja keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai isteri dan anak beliau dalam hirarki politik semasa negara.
Kita tidak pernah mempertikaikan kebolehan serta kelayakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahupun YB Nurul Izzah Anwar untuk berada di pesada politik di samping suami mahupun bapanya.
Malahan, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah lantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri Malaysia.
Bagi saya mereka layak dan boleh menyumbangkan kebaikan kepada pembangunan negara; jadi apa salahnya?!
Begitu juga dengan anak-anak mendiang Karpal Singh serta ahli-ahli keluarga Lim Kit Siang.
Ahli-ahli keluarga mereka mempunyai kebolehan dalam arena politik; jadi salahkah untuk anak-pinak mereka hendak berpolitik di samping bapa atau suami masing-masing?!
Jika ahli-ahli keluarga mempunyai kualiti yang terbaik untuk menjawat jawatan apa sekalipun; rakyat boleh terima. Tiada masalah langsung.
Yang menjadi masalah ialah melantik kalangan yang tidak berkebolehan bagi menjawat jawatan-jawatan tertentu.
Bila Tun Dr Mahathir Mohamad sebut nama Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir sebagai salah seorang calon potensi perdana menteri di masa akan datang sebenarnya itu bukan suara mantan perdana menteri dua kali tersebut tetapi itu adalah suara serta hasrat kami yang mahu memertabatkan Presiden parti PEJUANG sebagai calon perdana menteri pada suatu hari nanti.
Saya nak ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara jujur akur dengan permintaan kami.
Selama ini Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu mengungkapkan hasrat kami ini secara terbuka walaupun didesak.
Sebenarnya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah bercakap tentang ‘legasi’ tetapi dalam isu Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir; kami yang mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk akur kepada permintaan ahli-ahli parti PEJUANG.
Namun, dalam dunia politik kita buatlah apa saja kebaikan kepada bangsa dan negara tetapi hakikatnya kita tidak boleh dapat sokongan seratus peratus dari rakyat jelata. Ini lumrah manusia.
Apapun terima kasih banyak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menzahirkan permintaan kami untuk ‘recognise’ seterusnya bekerja keras kearah memertabatkan Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir sebagai calon potensi perdana menteri pada suatu masa nanti.
Kali ini Tun Dr Mahathir Mohamad akur dan hormati permintaan ahli-ahli PEJUANG yang mana selama ini beliau tidak mahu menzahirkan hasrat kami secara terbuka.
