Kenyataan media: Kerajaan Pakatan Harapan masih tidak bersedia

Unit Komunikasi Strategik UMNO

1. Selepas sebulan memerintah, Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya masih tidak bersedia menamakan sesiapa ke jawatan Menteri Luar, Menteri Pelancongan, Menteri Kerja Raya dan Menteri Belia dan Sukan.

2. Agak menghairankan kerana kerajaan mengambil masa yang sebegitu lama untuk berbuat demikian, seolah-olah berlaku krisis pemilihan calon di antara parti-parti komponennya.

3. Rakyat juga masih tidak jelas mengenai dasar luar negara, apa lagi ia adalah antara perkara paling awal diumumkan oleh mana-mana kerajaan di dunia apabila membentuk Kabinet. Apatah lagi YAB PM akan ke Jepun tanpa kelibat Menteri Luar.

4. Dasar luar amat penting bagi negara seperti Malaysia kerana keanggotaannya dalam banyak kesatuan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN,  OPEC dan sebagainya.

5. Kenapa PH dilihat liat berbuat demikian? Apakah wujud pergelutan kuasa dalam kalangan komponennya atau tidak ada calon layak dan berpengalaman untuk menerajui kementerian terbabit?

6. Sejak memerintah, kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu asyik dengan ‘dendam politiknya’ terhadap Dato Sri Najib Razak, 1MDB, hutang luar yang diputarbelitkan dan janji manifesto yang terpaksa dipinggirkan kerana seolah-olah keadaan tidak mengizinkan.

7. Isu perlantikan Peguam Negara juga berkecamuk walaupun Perdana Menteri sudah membuat keputusan tidak populis dengan menamakan Tommy Thomas bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

8. Malah, ada cubaan anggota pentadbiran PH yang cuba memperlekehkan Perlembagaan negara dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mempunyai hak di dalam perkara ini. PH sudah mula terjebak dengan perangkapnya sendiri.

9.  Kerajaan sekarang dilihat dianggotai ahli hipokrit dan pemutar belit fakta. Mereka mempunyai ‘rating agency’ sendiri dan bersikap ‘bodoh sombong’ dengan keengganan mengiktiraf angka rasmi yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan sebagainya.

10. Inilah negara ‘free for all’ atau negara ‘koboi’ yang mengikut ‘rule of law’ yang hanya termaktub ke atas orang lain sedangkan mereka terkecuali darinya. Ini menjadikan negara kita mundur ke belakang.

11. Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun untuk menghadiri Persidangan Nikkei ke-24, di samping memikul tugasnya sebagai ‘salesman’ demi menarik lebih ramai pelabur Jepun ke Malaysia.

12. Ketika menjadi Perdana Menteri keempat, sudah ada cakap-cakap mengenai ‘Malaysia dijual kepada Jepun’ kerana banyaknya projek mega yang membabitkan firma dan dana negara berkenaan.

13. Bezanya, luahan sebegitu tidak dapat dirasai kerana tidak wujudnya Internet dan kekangan ISA yang digunakan sehalus mungkin terhadap para pengkritiknya.

14. Jika beliau pernah menuduh Kerajaan BN menjual negara kepada China, apa bezanya dengan usaha beliau untuk menarik pelaburan Jepun? Dalam sejarah, pernahkah China menakluk Tanah Melayu?

15. Semoga usaha Dr Mahathir berjaya dan semoga beliau dapat mengatasi serangan dan asakan pengundi PH yang sudah mula menyesali pilihan yang dibuat pada PRU ke-14.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur

Comments

Comments


Loading...