KENYATAAN RASMI
Saya terbaca laporan portal Malaysiakini yang memetik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, beliau akan patuh kepada keputusan parti susulan kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, Zahid memberi gambaran pihaknya akan membuat satu “keputusan politik besar” susulan keputusan kes mahkamah Najib Razak hari ini.
Zahid dilaporkan berkata demikian selepas mahkamah mendapati Najib bersalah dalam tujuh tuduhan termasuk salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
“Saya amat simpati dan berasa sedih bukan hanya sebagai seorang presiden Umno, yang paling penting, beliau adalah sahabat saya. Tapi ini bukan penghujung dunia.
“[…] Namun, tentunya kita akan mengambil sesuatu keputusan politik yang agak besar hasil daripada keputusan (mahkamah) yang dibuat hari ini,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Berikut adalah pendirian peribadi saya berhubung kenyataan Najib dan Zahid:
1. Sekiranya apa yang dimaksudkan oleh Zahid dengan “keputusan politik besar” ialah keputusan dalaman UMNO berhubung kedudukan Najib dalam parti, saya akan menghormati keputusan itu kerana ianya bukan urusan saya memandangkan saya bukannya ahli UMNO.
2. Tetapi sekiranya apa yang dimaksudkan oleh Zahid dengan “keputusan politik besar” ada hubungkaitnya dengan kedudukan UMNO dalam Perikatan Nasional, maka saya akan berkempen tanpa behenti dan secara terbuka menentang UMNO habis-habisan atas dasar “gagal menghormati keputusan mahkamah” dan “gagal memimpin dengan berkesan.”
3. Saya akan melakukan demikian kerana UMNO secara tidak langsung akan “menghina institusi kehakiman” dengan mempengaruhi pengikutnya untuk sangsi terhadap keputusan mahkamah.
4. Untuk makluman, keputusan mahkamah dicapai di bawah pentadbiran Perikatan Nasional yang disokong oleh kedua-dua Zahid dan Najib dan pelantikan Peguam Negara baharu dibawah pentadbiran berkenaan.
5. Justeru, alasan terdahulu beberapa kumpulan kononnya kes SRC dan 1MDB melibatkan Najib merupakan “political persecution” tidak boleh digunapakai kerana tidak pernah ada apa-apa rujukan semula yang dibuat oleh pihak pembelaan berhubung “kesahihan tuduhan” dalam kes SRC seleaps pertukaran kerajaan.
6. Sekiranya UMNO bertindak keluar Perikatan Nasional bersandarkan semata-mata kepada keputusan kes SRC, ianya bukti pemimpin-pemimpin UMNO menjaja kestabilan politik negara semata-mata bagi kepentingan politik dan peribadi mereka serta tidak menghormati institusi kehakiman.
Apa pun, supaya tidak berlaku salah faham, biar apa pun keputusan yang dicapai oleh UMNO, saya telah lama hilang kepercayaan terhadap parti itu disebabkan sikap pemimpin-pemimpin Team A yang tamak wang, kuasa dan kedudukan.
Wallahu A’lam
Tanpa Prejudis,
Raggie Jessy Rithaudeen
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
